Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    TEROKAI KEINDAHAN, KEUNIKAN BORNEO

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pulau Sapi Sabah
    Pulau Sapi Sabah

    Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, terkenal dengan hutan hujan yang subur dengan pelbagai hidupan liar eksotik. Sabah dan Sarawak membentuk kira-kira satu perempat dari pulau berkenaan sebagai negeri-negeri Malaysia Timur yang diapit oleh Wilayah Persekutuan Labuan. Ketiga-tiga negeri tersebut menampilkan destinasi pelancongan terbaik di rantau ini tidak kiralah daripada trekking, terumbu karang hingga meluncur di latar langit menyaksikan keindahan pemandangan semula jadi.

    Serlah Keunikan Tempat Kunjungan

    Berikut adalah beberapa sorotan tempat untuk dikunjungi dengan daya tarikan penuh unik sekali gus mewujudkan ketenangan sejenak daripada kesibukan kehidupan bandar. Dengan menaiki bot dari Kota Kinabalu, Taman Tunku Abdul Rahman  terdiri daripada sekumpulan lima pulau iaitu Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug. Bagi para pengunjung yang teringin menyaksikan secara langsung keindahan dasar laut bolehlah berkunjung ke Pulau Gaya iaitu pulau terbesar yang mempunyai terumbu karang warna-warni sekeliling pulau dan sangat ideal untuk melakukan aktiviti snorkeling dan menyelam. Salah satu aktiviti kepuasan pencetus adrenalin yang mesti dicuba oleh penggemar sukan lasak ialah Coral Flyer, iaitu zipline sepanjang 250m dari ‘pulau ke pulau’ terpanjang di Malaysia yang terbentang di antara Pulau Gaya dan Pulau Sapi.

    kit Sosodokon, Kundasang, Ranau, Sabah
    kit Sosodokon, Kundasang, Ranau, Sabah
    Pulau Taman Tunku Abdul Rahman, Sabah
    Pulau Taman Tunku Abdul Rahman, Sabah

    Apabila berbicara mengenai susu segar, Ladang Tenusu Desa atau Desa Dairy Farm sudah lama menjadi sebutan sebagai salah satu tempat menarik yang harus dikunjungi di Sabah.

    Dikenali sebagai ‘Little New Zealand’ Sabah, ia terletak di kaki Gunung Kinabalu dan menghasilkan jenama susu tempatan yang diperah daripada lembu baka Holstein Friesians, pengeluar susu tertinggi dari semua baka lembu.

    Dengan udara yang sejuk dan persekitaran berkabus, orang ramai dapat menimba pengalaman memberi makan kepada lembu dan kambing sekali gus menyaksikan bagaimana proses memerah susu segar dilakukan.

    Di Sarawak, salah satu tarikan budaya yang paling ikonik ialah Kampung Budaya Sarawak di mana pengunjung boleh mempelajari budaya tempatan pelbagai kumpulan etnik di rumah asli mereka.

    Berpeluang menerokai bangunan replika yang tersimpan kekayaan sejarah mewakili kumpulan etnik utama di rantau ini termasuk Bidayuh, Iban, Orang Ulu, Penan, Melanau, Melayu dan Cina termasuklah mengenali keunikan budaya seperti pakaian tradisional dan persembahan tarian asli, dan gaya hidup mereka.

    Kampung Budaya Sarawak, Sarawak
    Kampung Budaya Sarawak, Sarawak
    Hutan Simpan Semenggoh, Sarawak
    Hutan Simpan Semenggoh, Sarawak

    Selain itu, salah satu tempat menarik yang boleh dikunjungi semasa di Sarawak ialah Taman Negara Mulu iaitu sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2,000 lagi di mana ia meliputi 544 kilometer persegi hutan hujan dengan adanya tiga gunung iaitu Mulu, Api dan Benarat serta beberapa gua yang mengagumkan.

    Sementara itu, jika di Wilayah Persekutuan Labuan, para pelancong juga boleh melawat Muzium Chimney, terletak di atas bukit di Tanjong Kubong. Ia merupakan bukti peninggalan era perlombongan arang batu di Labuan.

    Di sana juga terdapat galeri yang memaparkan sejarah Labuan sebagai salah satu pengeluar arang batu terbesar Borneo dan pembangunan sistem pengangkutan kereta api, yang dianggap sebagai salah satu yang terawal di Malaysia.

    Muzium Chimney, Labuan
    Muzium Chimney, Labuan
    Taman Nasional Mulu, Sarawak
    Taman Nasional Mulu, Sarawak

    Variasi Pusat Membeli-belah

    Bukan hanya menawarkan tempat kunjungan menarik, tetapi ketiga-tiga negeri Malaysia Timur ini turut menampilkan pelbagai pilihan gedung membeli-belah yang bercirikan jualan besar-besaran beberapa kali setahun.

    Di Sabah, kebanyakan pusat membeli-belah utama terdapat di kawasan bandar Kota Kinabalu, dengan rangkaian jenama terkenal yang memastikan keluaran produk yang ditawarkan kepada orang ramai berkualiti tinggi.

    Imago ialah salah sebuah pusat membeli-belah yang paling kerap dikunjungi di Kota Kinabalu, direka untuk memenuhi keperluan penting dan gaya hidup pelanggannya.

    Pusat membeli-belah ini terbahagi kepada empat tingkat merangkumi produk rekaan fesyen, kecantikan dan kesihatan, hiburan, teknologi dengan jenama-jenama antarabangsa yang terkenal.

    Pelbagai pilihan kedai makan terdapat di tingkat bawah, bersama-sama Everrise Supermarket khususnya bagi keperluan barangan runcit. Selain itu, beberapa pusat membeli-belah yang tidak kurang hebatnya tersedia di Sabah ialah Centre Point, Suria dan Kompleks Karamunsing.

    Manakala apabila para pelancong berada di Sarawak, rebut peluang untuk mengunjungi dua destinasi pusat membeli-belah utama yang terletak di ibu kota Sarawak, Kuching dan Miri.

    Plaza Merdeka yang terletak bersebelahan keindahan panorama Kuching Waterfront dan Jambatan Darul Hana, menjadi salah sebuah pusat membeli-belah kebanggaan di Kuching sejak perlaksanaan memajukan semula daerah tersebut. Begitu juga AEON Mall Kuching Central turut menjadi pilihan pusat membeli-belah di Kuching yang menempatkan 135 buah kedai di dalamnya.

    Miri mempunyai pembeli setianya sendiri bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat di Sarawak tetapi juga daripada pengunjung dari negara jiran, Negara Brunei Darussalam lebih-lebih lagi setiap hujung minggu.

    Terletak di tengah-tengah Miri, Bintang Megamall terdiri daripada 200 buah kedai yang mampu memberi kepuasan pengunjung dari segi pencarian produk dan perkhidmatan menarik dalam aktiviti membeli-belah, riadah serta memenuhi cita rasa selera di bawah satu bumbung.  Sebuah lagi pusat membeli-belah yang popular di Miri ialah Permaisuri Imperial City Mall.

    Manakala menjejaki Wilayah Persekutuan Labuan, salah satu tarikan terbesar ialah kegiatan membeli-belah bebas cukai, yang mana kebanyakan kedai bebas cukai berhampiran terminal feri.

    Kompleks Taman Kewangan Labuan ialah hab perniagaan dan gaya hidup dinamik di pusat bandar Labuan. Berkeluasan 12 ekar, kompleks itu merupakan mercu tanda komersial bersepadu terbesar di pulau tersebut, dengan dua tingkat ruang runcit dan ruang letak kereta yang luas. Di sini pengunjung akan menemui kedai bebas cukai, gedung serbaneka, pasar raya, restoran, pawagam dan bermacam-macam.

    Teroka Kulinari Menyelerakan

    Keunikan negeri-negeri di Malaysia juga terserlah dalam budaya kulinari yang diketengahkan oleh para penduduk setempatnya di mana setiap sentuhan hidangan itu memiliki nilai kekayaan rasa tersendiri.

    Warung Pokdi Kelate terletak di Sulaman Sentral, Sabah mempunyai pelbagai jenis juadah Kelantan, terkenal dengan nasi kerabu ikoniknya yang dihidangkan dengan nasi biru digabungkan dengan bunga Telang, ayam perap, keropok dan salad.

    Jika ingin menikmati cita rasa yang lebih unik, Warung Kepayan terkenal dengan nasi kuning boulu, nasi goreng lalap dan cendol ABC pada harga yang murah dan berpatutan.

    Begitu juga bagi penggemar makanan laut digalakkan mengunjungi Restoran Pasar Makanan Laut Terapung Kampung Nelayan yang terletak di Taman Fun Fuad, Kota Kinabalu.

    Setiba pengunjung di Kuching, Sarawak, janganlah lupa untuk singgah di Lepau di mana tempat ini menyajikan bukan sahaja makanan tempatan tetapi pengalaman menjamu selera ala etnik Sarawak, ditambah lagi dengan persembahan muzik oleh penduduk tempatan.

    Selain itu, gerai ala Melayu, Warung Hasmida adalah tempat yang sesuai untuk hidangan bajet di Kuching dan Hazzana Mee Udang di Bintulu turut terkenal dengan udang galah air tawar dengan pelbagai jenis masakan.

    Sementara itu, di Wilayah Persekutuan Labuan tidak kurang hebatnya dengan penyediaan tempat makan bagi para pelancong.

    Warung Ganu Perantau Jaya terkenal dengan masakan Semenanjung dengan hidangan seperti nasi kerabu, nasi dagang dan nasi kukus ayam berempah.

    Anjung Selera Indera Gusu juga menjadi salah satu tarikan kulinari yang harus diterokai oleh para pengunjung di Wilayah Persekutuan Labuan di mana antara hidangan yang sering menerima permintaan tinggi ialah nasi goreng ayam, nasi goreng sotong ‘butter’, kuetiau kung fu dan mi goreng, sambil menikmati ketenangan hembusan angin laut dan pemandangan matahari terbenam.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...