Friday, May 10, 2024
33.8 C
Brunei

    -

    Kemahiran seni tangan bantu jana pendapatan

    KUALA LUMPUR – Seorang anak jati Sekuau, Sibu, Sarawak menggunakan kemahirannya dalam bidang seni tangan kreatif dengan menghasilkan rekaan busana anak patung bagi mengabadikan penyanyi yang diminatinya, Datuk Francissca Peter.

    Wesley Anak Juntan, 35, berketurunan Iban menghasilkan busana kurung moden berwarna ungu bercorak abstrak yang dipakaikan kepada anak patung persis penyanyi itu ketika mendendangkan lagu Sekadar Di Pinggiran pada edisi pertama Juara Lagu 1986.

    “Saya sangat meminatinya malah saya membesar dengan lagu-lagunya. Bagi saya, Francissca Ikon Perpaduan, dia mewakili kita semua termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak.

    “Saya kagum dia mampu menyanyikan lagu berbahasa Melayu dengan baik walaupun dia bukan berbangsa Melayu sehingga menyentuh jiwa ketika mendengarnya,” katanya kepada Bernama.

    Menggunakan patung Barbie tulen daripada Mattel, busana sentuhan Wesley itu mengambil tempoh sebulan untuk menyiapkan patung, yang merangkumi proses daripada merangka idea hingga ke pembuatannya.

    Fransisca (kiri) bergambar bersama Wesley, sambil menunjukkan anak patung persis penyanyi itu ketika mendendangkan lagu Sekadar Di Pinggiran pada edisi pertama Juara Lagu 1986. – Bernama

    “Biasanya, proses membuat sebuah anak patung mengambil masa dua hingga tiga hari, namun proses menjadi sukar apabila saya perlu mencari kain yang mempunyai rekaan corak asal seperti busana yang pernah dipakai Francissa. Nasib saya baik, saya menjumpai sehelai tudung yang mempunyai corak seakan-akan sama,” katanya.

    Pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan itu berkata bagi menyerlahkan lagi penampilan, patung itu turut dilengkapkan dengan gaya rambut bergelombang klasik, solekan, piala kemenangan, mikrofon, serta aksesori lain yang dihasilkan dengan cukup teliti, sekali gus menyamai baju yang dipakai pelantun lagu Aku Hanya Pendatang, pada malam bersejarah itu.

    Selain busana patung Francissca, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini juga pernah menghasilkan rekaan seni busana anak patung beberapa artis tempatan lain seperti Dayang Nurfaizah, Daphne Iking dan Melissa Francis serta koreografer dan penari balet klasik, Datuk Ramli Ibrahim.

    Wesley turut terlibat dalam beberapa projek besar antaranya dengan Muzium Petaling Jaya, Taylor’s University dan Barbie Malaysia untuk Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2021 serta kolaborasi istimewa bersama pereka fesyen tempatan, Carven Ong dalam menghasilkan kostum nasional, ‘Kampung Ku’ yang diperagakan Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James untuk ke pentas ratu cantik Miss Universe 2020 di Amerika Syarikat.

    Nama Wesley mula mendapat perhatian selepas menghasilkan busana etnik Sarawak di bawah koleksi Borneo Doll pada 2020, ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

    “Saya adalah pengumpul patung Barbie sejak dari kecil. Saya minat bukan kerana mahu bermain sebaliknya ingin mencipta dan menjahit pelbagai jenis busana untuk dipakaikan pada patung tersebut.

    “Asalnya, ini hanyalah hobi bagi mengisi masa lapang, namun tidak sangka pula, menerima permintaan tinggi daripada pelanggan di dalam dan luar negara sehingga mampu menjana pendapatan sampingan,” katanya yang telah menghasilkan lebih 500 koleksi Borneo Doll sehingga hari ini.

    Bagaimanapun, penerima Anugerah Reka Bentuk Kraf Malaysia WICITRA Craft Award 2021 anjuran Kraftangan Malaysia itu mengakui menghadapi kekangan masa sehingga memaksanya mengehadkan tempahan agar mutu dan kualiti seni busana anak patung yang dihasilkannya terjaga.

    “Ia bukanlah satu kerja yang mudah dan memerlukan ketelitian. Buat masa ini, saya tidak dapat memenuhi permintaan untuk membuat anak patung dengan pelbagai rekaan dan kostum lain, jadi saya hanya memberi fokus utama kepada pembuatan Borneo Doll,” katanya yang turut merancang menghasilkan busana tradisional dari Semenanjung Malaysia pada masa hadapan.

    Setiap anak patung yang dihasilkan Wesley dijual pada harga bermula RM350 dan ke atas dan boleh ditempah menerusi laman sosial di Facebook dan Instagram miliknya.

    Sementara itu, Franscissa, 62, menyifatkan boneka istimewa hasil buatan tangan Wesley itu adalah hadiah paling bermakna selama bergelar penghibur kerana ia mempunyai nilai sentimental tersendiri.

    “Rasanya, tidak pernah lagi saya mendapat hadiah istimewa seperti ini dan saya amat berterima kasih dengan Wesley atas pemberian ini.

    “Saya sangat hargainya kerana anak patung ini membawa saya kembali mengimbau kenangan indah Juara Lagu pada 1986, yang sudah tentunya menjadi satu nostalgia abadi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jepun cadang perluas penangkapan ikan paus komersial kepada ikan paus sirip

    TOKYO, 10 MEI - Agensi Perikanan Jepun telah mencadangkan memperluaskan penangkapan ikan paus komersil di sepanjang pantai negara kepada ikan paus sirip, spesies yang...