Sunday, April 28, 2024
24.2 C
Brunei

    Kemaskini langsung Majlis Mesyuarat Negara ke-20

    Persidangan MMN bagi hari ke-18 ditangguhkan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Mesyuarat Pertama dari Musim Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-20 yang bersidang bagi hari ke-18, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

    Penangguhan itu diumumkan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib di Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Pehin sebelum mengumumkan penangguhan itu menyatakan bahawa Persidangan MMN telah selesai dilaksanakan dengan selamat dan teratur. Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan dalam pelaksanaan Persidangan MMN yang diadakan selama 18 hari bekerja, dalam suasana yang penuh harmoni, muhibah dan saling hormat-menghormati yang berpaksikan dan berlandaskan kepada teras negara, Melayu Islam Beraja.

    Yang Berhormat Pehin bersama ahli-ahli MMN yang lain menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan Baginda bercemar duli untuk membuka rasmi Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan MMN ke-20 pada 27 Februari lalu serta berkenan mengurniakan titah pada majlis berkenaan.

    “Alhamdulillah, kita bersyukur kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia masih berupaya menyediakan peruntukan belanjawan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 dan mengemukakan perancangan bagi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 untuk meneruskan projek-projek dan inisiatif-inisiatif pembangunan negara demi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin turut berpandangan bahawa Persidangan MMN merupakan landasan rasmi bagi ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengadakan perbincangan secara bermuafakat serta mengongsikan pandangan-pandangan yang meliputi pelbagai aspek dan perspektif yang mungkin berbeza yang mana memerlukan kebijaksanaan dan seterusnya kesediaan untuk menerima serta menghormati keputusan yang telah dibuat dengan berpandukan peraturan-peraturan MMN, kita boleh melaksanakan perkara ini dengan menjaga adab dan tatatertib dengan baik.

    “Walau bagaimanapun, sikap keterbukaan dalam Dewan Majlis memerlukan kematangan dan tidak wajar untuk diambil kesempatan oleh mana-mana pihak untuk melancarkan agenda peribadi ataupun memperkecilkan mana-mana usaha atau keputusan yang telah diambil,” tekan Yang Berhormat Pehin.

    Tambahnya, perbezaan pendapat seharusnya menjadi landasan kepada pencetus idea-idea terbaharu untuk membangun dan menyatupadukan negara kita ini. Hanya dengan bersatu padu, negara kecil yang cantik molek ini akan terus dapat kita tanai. Apa yang kita rasai sekarang akan terus dapat dirasai oleh generasi anak cucu kita yang akan datang.

    “Saya berharap ahli-ahli Yang Berhormat akan dapat meneruskan pelbagai usaha untuk menyokong dan meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara seperti permuzakarahan dan mengadakan perbincangan di luar dewan dari semasa ke semasa,” ujarnya. Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa Persidangan MMN ke-20. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Pandangan, cadangan sangat dihargai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Penglibatan dan penyertaan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dalam memberikan pandangan yang bernas dan cadangan-cadangan penyelesaian yang membina menunjukkan komitmen dan kesungguhan ahli-ahli Yang Berhormat dalam sama-sama menanai dan mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara maju selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Yang Berhormat selaku wakil rakyat dan penduduk di negara ini adalah sangat-sangat dihargai dan setentunya akan diambil perhatian serta dijadikan sebagai rujukan, panduan dan nilai tambah oleh pihak kerajaan dalam menggubal dan melaksanakan apa juga dasar, strategi dan inisiatif ke arah pembangunan sosioekonomi negara.

    Perkara berkenaan sangat penting dalam memastikan segala dasar, strategi dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan itu akan dapat memenuhi kehendak dan ekspektasi kesemua pihak yang berkepentingan serta mendatangkan impak yang positif terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk.

    Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim menekankan perkara berkenaan pada ucapan penangguhan pada hari terakhir Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN, yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Pehin menambah, ia juga diharap akan dapat meningkatkan keyakinan terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan di samping memastikan perkembangan dan pembangunan yang inklusif dan menyeluruh bagi semua pihak sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    “Brunei Darussalam adalah Negara Zikir, etika Negara Zikir mengenai kuasa dan kepimpinan aksinya adalah keadilan dan justeru semua pegawai dan kakitangan yang dipertanggungjawab dengan kuasa untuk memimpin rakan-rakan dan kakitangan bawahan dalam mana-mana organisasi mempunyai kewajipan untuk menanai dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia tersebut, iaitu menggunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan dengan adil dan saksama terutama sekali apabila mempertimbangkan sesuatu sokongan seperti kenaikan pangkat, sokongan disiplin ke atas mana-mana pegawai dan kakitangan,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin turut berkata, dalam persidangan berkenaan beberapa akta penting telah diluluskan termasuk Akta Perbekalan 2024/2025, yang akan membolehkan jentera kerajaan untuk terus bergerak ke arah melaksanakan rancangan-rancangan dan inisiatif pembangunan yang mana demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.

    “Belanjawan negara pada tahun ini akan memfokuskan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk melalui pembangunan infrastruktur, menjana kepelbagaian ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas, dan menyediakan sistem pendidikan yang berkualiti ke arah melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada pembangunan negara,” jelas beliau.

    Semua ini, tambah Yang Berhormat Pehin, setentunya memerlukan komitmen sokongan, kerjasama dan usaha gigih yang berterusan daripada semua pihak termasuk sektor perkhidmatan awam dan swasta serta seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama bekerja keras, berganding bahu dan bersatu-padu menggembleng tenaga ke arah membina masa depan yang lebih cerah dan makmur untuk seluruh rakyat dan penduduk selaras dengan pendekatan seluruh negara yang sering kita dengar dan ungkapan pada masa ini.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa semasa ucapan penangguhan pada hari terakhir Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Belanjawan $6.25 bilion diluluskan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Majlis Mesyuarat Negara (MMN), sebulat suara meluluskan belanjawan 2024/2025 berjumlah $6.25 bilion yang akan berkuat kuasa pada 1 April.

    Peruntukan belanjawan bagi Tahun Perkhidmatan 2024/2025 itu telah diluluskan semasa Persidangan MMN yang bersidang pada hari ke-17 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Belanjawan bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2023/2024 itu telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada 29 Februari lalu.

    Semasa pembentangan belanjawan berkenaan, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa daripada jumlah berkenaan, $2.29 bilion adalah untuk membiayai emolumen termasuk gaji, faedah perkhidmatan, kemudahan-kemudahan lain dan caruman majikan, $2.40 bilion adalah untuk membiayai perbelanjaan berulang-ulang dan $500 juta diperuntukkan untuk membiayai sebanyak 305 projek pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12.

    Bagi tempoh RKN12 yang bermula pada Tahun Kewangan 2024/2025 dan berakhir pada Tahun Kewangan 2029/2030, Jawatankuasa Tertinggi RKN yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meluluskan sebanyak $4 bilion untuk membiayai 305 projek di pelbagai sektor dan kluster ekonomi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Selebihnya iaitu $1.06 bilion adalah untuk membiayai perbelanjaan di bawah tajuk Perbelanjaan yang Diakui.

    Dengan berasaskan unjuran dan hala tuju ekonomi dunia pada masa ini serta mengambil kira tahap pengeluaran minyak negara, anggaran hasil kerajaan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 adalah diunjurkan berjumlah $3.26 bilion di mana $2.47 bilion iaitu 75 peratus adalah hasil daripada sektor minyak dan gas dan $793.52 juta iaitu 25 peratus adalah hasil daripada sektor bukan minyak dan gas.

    Oleh itu, berdasarkan kepada anggaran hasil dan perbelanjaan yang dinyatakan itu, maka kerajaan dijangka akan mengalami defisit belanjawan berjumlah kira-kira $2.99 bilion, jelas Yang Berhormat Dato semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2024) Perbekalan 2024/2025, baru-baru ini.

    Beliau juga menerangkan bahawa unjuran defisit itu akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa berdasarkan kepada tahap pengeluaran minyak dan gas negara, harga minyak dunia, kadar pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat, hasil pendapatan daripada sektor bukan minyak dan gas serta perbelanjaan sebenar kerajaan.

    Yang Berhormat Dato menyatakan, tema belanjawan negara bagi Tahun Kewangan 2023/2024 iaitu Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur, dikekalkan dan dilanjutkan bagi tempoh dua tahun bermula Tahun Kewangan 2024/2025 hingga 2025/2026.

    Yang Berhormat Dato menyatakan, tema berkenaan menumpukan kepada tiga keutamaan iaitu meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti awam, memupuk kepelbagaian ekonomi yang mampan serta pembangunan modal insan yang dinamik dan berwawasan.

    Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Dato mengongsi mengenai kedudukan fiskal kerajaan bagi tahun kewangan 2022/2023 di mana kerajaan telah mencatatkan kutipan hasil pendapatan sebanyak $6.35 bilion iaitu peningkatan 33.1 peratus berbanding $4.77 bilion pada Tahun Kewangan 2021/2022.

    Peningkatan itu adalah berikutan kenaikan harga minyak pada 2022 yang secara purata di paras melebihi AS$90 setong.

    Lindungi kesejahteraan kanak-kanak

    Oleh Nurdiyanah R.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Dalam sama-sama menangani cabaran penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) melalui Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) turut tidak ketinggalan melaksanakan inisiatif tersendiri menerusi Rangka Kerja Perlindungan Kanak-kanak Secara Dalam Talian yang telah disediakan dengan kerjasama International Telecommunication Union (ITU).

    Inisiatif berkenaan turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Peguam Negara, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), dan IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS).

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha mengongsikan perkara berkenaan bagi menjawab perbahasan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin berkisar insiden eksploitasi kanak-kanak dalam talian yang membimbangkan sekali gus mencadangkan pentingnya Rangka Kerja Perlindungan Kanak-kanak Secara Dalam Talian berkenaan diwartakan oleh pihak-pihak berkepentingan dan menjadikannya boleh diakses secara terbuka oleh orang awam secara dalam talian bagi memastikan akauntabiliti dan memupuk kepercayaan dalam perlindungan kanak-kanak dalam talian, semasa berlangsungnya Persidangan MMN bagi hari ke-17 di Dewan Majlis, hari ini.

    Tambah Yang Berhormat Pengiran Dato lagi, selain itu, AITI juga sentiasa aktif mengadakan program-program tersendiri seperti kesedaran di sekolah-sekolah termasuklah membuat buku untuk kanak-kanak dan pelajar tentang apa yang diperlukan dan dilakukan sebelum membuat sebarang aktiviti dalam talian.

    Ini juga termasuk dalam penyediaan video kesedaran untuk kanak-kanak dan juga ibu bapa tentang cara memantau dan perkara yang perlu dipantau bila anak-anak membuat aktiviti-aktiviti secara dalam talian.

    Inisiatif-inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama ITPSS untuk memastikan kanak-kanak tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti dalam talian.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pengiran Dato turut mengongsikan Cyber Securtiy Brunei (CSB) juga mengadakan program-program outreach yang menyasarkan golongan remaja dan kanak-kanak. Pada tahun 2023, CSB telah mengadakan program-program berkenaan hampir 50 buah sekolah dengan melibatkan lebih kurang 5,000 orang pelajar.

    Jelas Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, CSB dan ITPSS juga bekerjasama dengan agensi-agensi yang lain melalui Program Sinar yang diungkayahkan oleh pelbagai kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Pendidikan dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti PPDB dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk memberigakan kesedaran kepada golongan remaja dan kanak-kanak khususnya isu-isu buli siber, buli seksual, dan ketagihan Internet.

    Pada masa yang sama, CSB juga turut bekerjasama dengan membantu Jabatan Pendidikan Kurikulum, Kementerian Pendidikan untuk memasukkan content yang bersesuaian ke dalam kurikulum pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga menengah iaitu bagi menerapkan nilai-nilai seperti keselamatan dalam talian yang mana diteruskan dari semasa ke semasa.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    $500j perbelanjaan kemajuan untuk projek RKN12

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Peruntukan Rancangan Kemajuan Negara ke-12 (RKN12) bagi Tahun Kewangan 2024/2025 berjumlah $500 juta bagi perbelanjaan kemajuan untuk membiayai projek-projek yang telah diluluskan di bawah RKN12, telah diluluskan sebulat suara pada hari ke-17 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Bagi tempoh RKN12, jumlah harga rancangan yang telah diluluskan ialah sebanyak $4 bilion untuk membiayai 305 projek iaitu $1.7 bi-lion bagi 153 projek tunda dan $2.3 bilion bagi 152 projek baharu.

    “Manakala bagi Tahun Kewangan 2024/2025 ini, sejumlah $500 juta telah diperuntukkan bagi perbelanjaan kemajuan untuk membiayai projek-projek yang telah diluluskan di bawah RKN12,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam pembentangan peruntukan belanjawan kemajuan Tahun Kewangan 2024/2025.

    Beliau berkata di sebalik situasi fiskal yang mencabar pada masa ini, peruntukan besar yang disediakan di bawah RKN12, dihasratkan sebagai pelaburan dalam masa hadapan kita, di mana projek-proek yang telah dicadangkan akan membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti pihak-pihak berkenaan serta mengurangkan perbelanjaan secara jangka masa panjang.

    Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa RKN12 akan menumpukan kepada projek-projek yang berwawasan dan utama serta mempunyai ciri-ciri matlamat jangka panjang bagi menjamin kesejahteraan generasi akan datang serta projek yang akan mendatangkan impak tinggi dan dapat merubah corak dan pencapaian sosio-ekonomi negara.

    Demi mencapai sasaran keberhasilan Wawasan Brunei 2035, sebanyak lapan objektif RKN12 telah ditetapkan iaitu meningkatkan kemahiran dan kepakaran sumber tenaga manusia tempatan, menyumbang kepada transformasi digital ke arah meningkatkan daya inovasi dan tahap produktiviti negara, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan aktiviti perdagangan khususnya pengeksportan produk daripada sektor bukan minyak dan gas, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat ke arah meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan penduduk, memanfaatkan pembiayaan secara alternatif seperti perkongsian awam swasta dan memperluas sumbangan dan kerjasama dari pihak-pihak yang berkepentingan daripada sektor bukan kerajaan seperti GLC dan FDI, meningkatkan sekuriti ataupun keselamatan negara daripada ancaman-ancaman keselamatan seperti ancaman di sempadan, siber dan sebagainya serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

    Yang Berhormat Dato dalam pembentangannya lagi menyatakan bahawa daripada harga rancangan sebanyak $4 bilion dan peruntukan sebanyak $500 juta yang telah disediakan mengikut kluster iaitu mengukuhkan Keselamatan Negara, Mengukuhkan Kemudahan Akses Pendidikan, Meningkatkan dan Mengukuhkan Bekalan Elektrik, Meningkatkan Penyediaan Perumahan, Mengukuhkan Sekuriti Makanan, Menyediakan Prasarana Untuk Kesihatan Yang Baik, Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Awam, Mengukuhkan Infrastruktur ICT, Menyediakan Pembekalan Air Bersih, Kemudahan Awam Untuk Urusan Melalui Jalan Darat, Memantapkan Kecekapan Sistem Pengangkutan, Mengukuhkan Perkembangan Syiar Islam, Menangani Risiko Menghadapi Bencana Alam, Menangani Perubahan Iklim, Untuk Kajian, Pembangunan Industri dan Memajukan Industri Pelancongan.

    Kluster lain ialah Menaiktaraf dan Meningkatkan Kadar Penyambungan Sistem Pembentungan dan Menjaga Kualiti Air Sungai-Sungai, Mengukuhkan Kelestarian Alam Sekitar, Penyediaan Pelan Induk, Memantapkan Pembangunan Sumber Manusia, Mengukuhkan Pusat-Pusat Jaminan Kualiti Dan Akreditasi serta peruntukan di bawah Simpanan Gagasan juga disediakan Harga Rancangan.

    Perkhidmatan pos perlu dinaik taraf

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Peranan Jabatan Perkhidmatan Pos dalam menyampaikan bungkusan perkhidmatan dari rumah ke rumah telah dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari ke-17 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed menjelaskan, dengan adanya perkhidmatan seperti itu, ia akan mengurangkan masa dan kesesakan di Pusat Pemprosesan Mel (MPC) dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan jabatan termasuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan.

    Mengulas perkara itu, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha berkata, dengan transformasi Jabatan Perkhidmatan Pos, peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam penghantaran bungkusan berkenaan.

    Jabatan itu, menurut beliau, terlibat secara aktif dan menjalankan beberapa kajian dalam membuat perubahan dalam memproses tuntutan bungkusan dan membuat penambahbaikan dalam menaik taraf sistem back-end.

    Menyentuh proses back-end MPC, jelasnya lagi, jabatan tersebut hanya boleh memproses mel atau bungkusan yang datang dari luar negara selepas barang tersebut tiba di negara ini, dan ia tertakluk kepada penghantaran dari negara asal, sama ada melalui pengangkutan laut atau udara.

    “Bungkusan yang tiba di negara ini akan dibawa dari Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (BIACC) jika tiba melalui udara, atau Kontena Pelabuhan Muara jika tiba melalui laut, ia terlebih dahulu akan menjalani saringan x-ray yang dijalankan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), dan akan dicap sewajarnya sama ada label hijau atau merah,” tambahnya.

    Hanya bungkusan yang dicap dengan label hijau akan dihantar terus kepada pelanggan, manakala yang dicap dengan label merah memerlukan pemeriksaan lanjut.

    “Terdapat beberapa bungkusan atau bungkusan kecil yang tidak mempunyai ciri jejak atau barang yang tidak dapat dikesan, walaupun mempunyai nombor penjejakan.”

    Ke arah menangani isu itu, jelas beliau, pihak jabatan telah mengambil inisiatif merekodkan kemasukan data bagi semua pakej kecil bagi tujuan pengesanan domestik.

    Selain itu, ia juga akan memudahkan pelanggan mengumpul, menjejak dan menuntut bungkusan mereka melalui aplikasi BruTrack.

    Manakala bagi pelanggan yang beratur untuk menuntut bungkusan mereka di MPC, jelasnya, ia adalah untuk bungkusan, dan bungkusan kecil dengan label merah, kerana ia memerlukan pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

    “Pada masa yang sama, jabatan itu juga akan melaksanakan projek untuk menangani penyelesaian bagi bungkusan yang dicap dengan pakej label merah, boleh diperiksa oleh pihak berkuasa tanpa kehadiran pelanggan, sebagai usaha untuk membolehkan bungkusan label merah ini dihantar terus kepada pelanggan,” jelasnya lagi.

    Kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol menurun

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dari 2019 hingga 2023, jumlah mereka yang didakwa di mahkamah atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah telah menurun.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha mengongsikan, pada 2019 terdapat 14 kes dicatatkan, manakala pada 2020, lapan kes telah dikenakan denda sementara pada 2021 hanya mencatatkan dua kes, 2022 mencatatkan lima kes dan hanya tiga kes direkodkan pada 2023.

    Beliau mengongsikan statistik itu pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ke-17 di Dewan Majlis, hari ini, bagi mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir, yang turut mencadangkan agar hukuman bagi kesalahan jalan raya yang dilakukan di bawah pengaruh alkohol dikaji semula.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut menyatakan, mengikut Seksyen 26 (1) Akta Trafik Jalan Penggal 68, memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah boleh dikenakan penalti, bagi kesalahan pertama, denda $10,000 dan penjara dua tahun, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda $20,000 dan penjara empat tahun.

    Selain itu, Yang Berhormat Haji Sulaiman turut mencadangkan penubuhan zon perangkap laju dengan menyediakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lokasi strategik sebagai sebahagian daripada usaha ke arah menggalakkan pengguna jalan raya memandu dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.

    Mengulas perkara itu, Yang Berhormat Pengiran Dato menjelaskan bahawa salah satu lokasi strategik yang dikenal pasti adalah di Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Jambatan SHOAS), di mana sebanyak 287 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di sepanjang jambatan itu.

    “Pemasangan CCTV ini adalah pemantauan dari pusat kawalan utama Jambatan SHOAS bagi memastikan had laju dipatuhi oleh pemandu,” jelasnya.

    Antara yang hadir semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Proses mendapatkan lesen memandu warga asing diperketatkan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Proses bagi mendapatkan lesen memandu dalam kalangan warga asing di negara ini terus diperketat memandangkan peningkatan jumlah kes-kes kemalangan yang melibatkan warga asing.

    Dalam hal itu, warga asing yang ingin mendapatkan lesen memandu di negara ini diperlukan melalui ujian tertentu di mana menguasai bahasa juga merupakan elemen keselamatan yang ditekankan terutamanya dari segi memahami papan-papan tanda di jalan raya yang secara lazimnya menggunakan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu.

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menekankan perkara berkenaan bagi menjawab perbahasan yang disuarakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman berhubung proses mendapatkan lesen memandu dalam kalangan warga asing di negara ini termasuklah mereka yang tidak memahami atau menguasai kedua-dua bahasa iaitu bahasa.

    Melayu dan bahasa Inggeris, pada hari ke-17 Persidangan MMN di Dewan Majlis, hari ini.
    Yang Berhormat Pengiran Dato juga menjelaskan, sebagai alternatif bagi memudahkan seseorang yang mengikuti ujian lesen memandu, bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa yang diguna pakai oleh kebanyakan negara termasuk negara-negara komanwel, turut disediakan.

    Namun begitu, jika terdapat dalam kalangan warga asing yang tidak menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, maka dalam hal ini pihak Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi akan meneliti lagi dengan mencari penyelesaian bagi menangani permasalahan yang dihadapi.

    Lebih $573j diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Kesihatan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 telah disokong untuk disediakan peruntukan sebanyak $573, 064, 540.

    Peruntukan berkenaan dirangka dengan memberikan penekanan kepada matlamat dan keutamaan perbelanjaan yang mendukung tema Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2024/2025 iaitu Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, tema Kementerian Kesihatan adalah lebih merujuk kepada salah satu fokus utama belanjawan iaitu Meningkatkan Kesejahteraan dan Produktitviti Awam.

    Bagi mendukung tema ini, Yang Berhormat Dato berkata, kementeriannya akan memberi perhatian kepada usaha-usaha untuk memenuhi keperluan pelanggan melalui pendekatan-pendekatan yang lebih berkesan lagi kos-efektif bagi jangka masa panjang dan secara langsung peningkatan status kesihatan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, khususnya ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Yang Berhormat Dato mengongsikan perkara berkenaan semasa pembentangan mukadimah peruntukan Kementerian Kesihatan pada hari ke-15 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Beliau seterusnya menjelaskan, jumlah peruntukan berkenaan merupakan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding jumlah belanjawan yang diluluskan pada tahun kewangan sebelumnya.

    Peningkatan berkenaan antara lain disebabkan tambahan bilangan doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu; penyelenggaraan dan pembaikan aset; bekalan bahan perubatan dan guna habis; sewa dan pajakan; dan pembangunan sumber tenaga manusia.

    Namun, peningkatan yang paling signifikan ialah pemindahan peruntukan bagi rawatan pesakit di Gleneagles JPMC dan Pantai Jerudong Specialist Centre sejumlah $150 juta daripada peruntukan Kementerian Kewangan dan Ekonomi ke Kementerian Kesihatan iaitu 35.9 peratus berbanding peruntukan Tahun Kewangan 2023/2024.

    Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan, dalam melaksanakan matlamat Kementerian Kesihatan, pelaksanaan belanjawan kementerian memfokuskan kepada lima bidang keutamaan.

    Ini termasuk menaik taraf fasiliti termasuk pemeliharaan bangunan, peralatan perubatan di hospital-hospital, pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik kerajaan; mempertingkatkan aktiviti saringan bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) serta aktiviti mempromosi kesihatan yang berkaitan melalui kerjasama dengan pihak swasta atau pihak yang berminat untuk menyebarluaskan serta menjalankan aktiviti saringan tersebut; dan memperkesankan perancangan sumber tenaga manusia bagi menghasilkan kakitangan yang berkemahiran dan kompeten.

    Dua bidang keutamaan lagi yang diberikan tumpuan adalah meningkatkan penggunaan digital dalam proses kerja terutamanya bagi sistem pembayaran kerajaan seperti pembayaran digital melalui BruHealth, OCBS dan platform pembayaran secara atas talian yang lain; dan Menyokong pelaksanaan Protokol Hijau dengan memanfaatkan penggunaan sistem teknologi maklumat dalam proses kerja harian.

    Tingkat kesedaran kesihatan mental

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Kesihatan terus memperkasa masyarakat dalam pengetahuan dan tindakan mengenai kesihatan mental di negara ini.

    Sehubungan itu, Pusat Promosi Kesihatan telah melaksanakan beberapa program bersama badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan termasuk pihak sukarelawan, agensi swasta dan melalui kerjasama antarabangsa.

    Salah satu inisiatif dan program yang dimaksudkan ialah jerayawara kesihatan mental di tempat kerja sebagai satu hak asasi yang telah dilancarkan pada 10 Oktober 2023 bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.

    Jerayawara yang dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan kesihatan mental khususnya dalam kalangan para penjawat awam.

    Ini adalah kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) khususnya Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) khususnya Unit Kaunseling Jabatan Perkhidmatan Awam dan disokong juga oleh unit-unit kaunseling dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Persidangan MMN ke-20 yang berlangsung di Dewan Majlis kelmarin – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara berkenaan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin mengenai isu kesihatan mental dan stigma serta langkah-langkah menangani isu berkenaan, semasa pembentangan peruntukan Kementerian Kesihatan pada hari ke-16 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.

    Selain itu, tambah Yang Berhormat Dato, Jerayawara Kesihatan Mental bersama pihak Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di institusi pendidikan tinggi telah dilaksanakan pada Oktober lalu di Daerah Brunei dan Muara dan akan disambung pada suku tahun ini ke daerah-daerah lain.

    Ini adalah bagi meningkatkan kesedaran di kalangan penuntut pengajian tinggi tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental dalam menjadikan mereka lebih cakna akan kepentingan kesihatan mental dan seterusnya memperkasa kedayatahanan diri di masa mendatang.

    Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan akan terus meningkatkan kesedaran penduduk khususnya di sektor swasta dan pihak berkepentingan dalam penjagaan kesihatan mental tersebut termasuklah meneliti keperluan penambahan jumlah tenaga kerja untuk perkhidmatan Talian Harapan 145 dari semasa ke semasa.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan pada masa ini, Kementerian Kesihatan memiliki seramai 29 orang penasihat kesihatan mental yang mengendalikan perkhidmatan Talian Harapan 145.

    Kementerian Kesihatan bakal laksana 3 projek RKN ke-11

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Kesihatan akan melaksanakan tiga projek Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 yang dibawa ke hadapan dengan harga rancangan sejumlah $185,688,000 dan di bawah RKN ke-12, empat projek infrastruktur baharu dirancang dengan harga rancangan berjumlah $133,345,000.

    Dengan harga rancangan sejumlah $319,033,000 berkenaan, sejumlah $48,171,000 diperuntukkan dalam tahun kewangan 2024/2025.

    Projek-projek berkenaan dirancang untuk meningkatkan kedayatahanan sistem kesihatan di negara ini.

    Salah satunya bagi keperluan persiapan awal bagi kerja-kerja pembinaan blok baharu di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang sedang giat dilaksanakan. Projek berkenaan telah diluluskan dalam RKN ke-11.

    Blok baharu berkenaan akan memberikan tambahan sebanyak 500 buah katil dan lebih banyak ruang rawatan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kepakaran.

    Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa pembentangan peruntukan Kementerian Kesihatan pada hari ke-15 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, kelmarin.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa pembinaan bangunan perkhidmatan kecemasan Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait juga akan dilaksanakan tidak lama lagi. Projek berkenaan asalnya diperuntukkan di bawah RKN ke-11 dengan penambahan harga rancangan daripada $2.2 juta kepada $3.18 juta.

    Selain itu, projek lain yang telah dirancang oleh Kementerian Kesihatan, jelas Yang Berhormat lagi, menjurus kepada projek bagi penggantian sistem BruHIMS yang ada sekarang kepada sistem yang terkini iaitu BruHIMS 2.0, yang mampu menyediakan analitik bagi tujuan rawatan yang lebih komprehensif, lengkap dan dapat mendukung sistem kecerdasan buatan (AI).

    “Sistem ini merupakan penaiktarafan daripada pelbagai aspek dengan mempunyai ciri-ciri baharu seperti pengintegrasian dengan sistem-sistem bukan kesihatan di seluruh negara; Intelligent Electronic Medical Record (EMR), Intelligent Care Plan dan Clinical Pathway yang memudahkan penilaian risiko kesihatan, meramalkan diagnosis dan pembentukan pelan penjagaan peribadi, di samping pengumpulan data dengan lebih berstruktur dan berkualiti.

    “Modul Critical Care Information System (CCIS) khusus bagi perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam pengurusan dan pemantauan pesakit kritikal dengan tepat dan berkesan; pengintegrasian dengan aplikasi mudah alih BruHealth supaya aplikasi tersebut akan dapat dimanfaatkan dengan lebih baik oleh pengguna; dan mampu untuk dilaratkan ke hospital dan klinik swasta bagi memastikan arah tuju 1 Patient 1 Record dapat dicapai,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Bagi projek-projek di bawah RKN ke-12 ialah pembinaan sebuah blok baharu bagi pembedahan dan sebuah Pusat Rehabilitasi bagi Dewasa dan Kanak-kanak di Hospital SSB.

    Blok baharu tersebut akan menjadikan pengendalian kes-kes kecemasan yang memerlukan pembedahan segera lebih efisien dan teratur; pemberian penjagaan kesihatan yang lebih efektif dan berkualiti; dan menjamin keselamatan pesakit (patient safety).

    Manakala itu, Pusat Rehabilitasi bagi Dewasa dan Kanak-kanak pula akan membolehkan pemberian perkhidmatan pemulihan yang komprehensif dan holistik melalui pengumpulan kepakaran dalam pelbagai bidang ke arah meningkatkan tahap kualiti kehidupan pesakit-pesakit dewasa dan kanak-kanak berkenaan.

    Tambahnya, dua projek lain pula bertujuan bagi memastikan liputan penjagaan kesihatan asasi di negara ini kekal diberikan melalui Liputan Kesihatan Sejagat.

    Pencegahan awal atasi risiko demensia

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Penyakit demensia mempunyai bermacam jenis dan pesakit akan dikenal pasti terlebih dahulu oleh general practitioner atau primary medicine doctor untuk dirujuk ke klinik neurologi atau psikiatrik.

    Manakala itu, ubat demesia yang ubat digunakan pada ketika ini khas untuk penyakit alzheimer, namun ia bukan memulihkan semula sebaliknya hanya untuk memperlahankan dan menstabilkan kemerosotan penyakit seseorang itu

    Perkara paling penting untuk mengurangkan gejala demensia adalah dengan melakukan aktiviti yang sihat, seperti kegiatan fizikal dan latihan otak, dan paling penting adalah pencegahan dari awal kerana demensia berkait dengan penyakit tidak berjangkit (NCD), ianya berkaitan dengan pengawalan NCD seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

    Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa memberi respons kepada persoalan yang dikemukakan pada hari ke-16 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato turut menekankan bahawa Kementerian Kesihatan akan memastikan penjagaan kesihatan dan sukarelawan yang dilatih dengan secukupnya sehingga mereka dapat memberikan nasihat dan perkhidmatan kesihatan yang relevan bagi semua individu yang menghidap penyakit demensia, ahli keluarga dan penjaga mereka.

    Gambar Freepik

    Walaupun diakui masih belum mencukupi, jelas Yang Berhormat Dato, ia akan menambah keterlibatan pihak kementerian dan sukarelawan untuk sama-sama menangani masalah berkenaan.

    Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan bekerjasama rata dengan pelbagai agensi seperti Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di seluruh negara.

    Beliau turut menjelaskan, Pertubuhan WARGAMAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dimensia Brunei meningkatkan kesedaran tentang demensia, dan melaksanakan intervensi dan aktiviti yang berkaitan dengan demensia.

    Selain itu, pelbagai aktiviti dan jerayawara juga telah diadakan bersama persatuan Demensia Brunei, antaranya sesi pemeriksaan demensia dalam kalangan masyarakat, sesi ceramah kesihatan bagi warga emas di semua cawangan PKWE dan Pertubuhan WARGAMAS secara berjadual.

    Beliau mengongsikan, program itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada warga emas di seluruh negara.

    Yang Berhormat Dato turut memaklumkan, kementeriannya mempunyai perancangan sederhana dan panjang dalam menangani isu penjagaan warga emas tidak terhad kepada pesakit demensia sahaja, dengan meningkatkan kakitangan yang berkemahiran dan penjagaan warga emas dan demensia, serta menyediakan kemudahan atau daycare yang mesra warga emas.

    Menurutnya lagi, perancangan untuk blok-blok baharu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan menyediakan wad-wad mesra pengguna.

    Cadangan kereta api rentas Borneo dapat perhatian kerajaan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Cadangan kereta api rentas Borneo yang dilaporkan oleh pihak media telah mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) di mana Kajian Kereta Api Rentas Sempadan akan bermula pada tahun ini.

    Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi setakat ini mengetahui terdapat dua buah syarikat yang memaparkan cadangan projek membina dan mengadakan perkhidmatan kereta api yang menghubungkan negara-negara di kepulauan Borneo iaitu Negara Brunei Darussalam, Negeri Sabah dan Sarawak, Malaysia serta Kalimantan, Indonesia.

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa pembentangan peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Tahun Kewangan 2024/2025 pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    “Walau bagaimanapun, setakat kini, belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenainya.

    “Akan tetapi, di peringkat ASEAN ada terdapat satu sub-working group, iaitu ASEAN Railway Sub-Working Group yang membincang hal-hal berkaitan mengenai railway connectivity di dalam ASEAN. Mungkin perkara ini akan ditimbulkan di situ pada masa akan datang,” tambahnya.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya berkata, pihak kementeriannya mengambil maklum mengenai aspirasi syarikat-syarikat berkenaan untuk mengadakan perkhidmatan kereta api di kepulauan Borneo dengan tujuan untuk meneruskan ketersambungan (connectivity) dan mobiliti di Pulau Borneo.

    Katanya lagi bahawa difahami ia masih memerlukan kajian lanjut daripada syarikat-syarikat berkenaan terutama daripada segi kebolehlaksanaan, pelaburan, liabiliti dan komitmen daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk mengambil kira sebarang komitmen di peringkat kerajaan.

    Gambar Web Unsplash

    Kemudahan bot ambulans, temuai masih cukup

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Setakat ini, kemudahan dua buah bot ambulans dan dua buah temuai yang tersedia bagi keperluan panggilan kecemasan di Kampong Ayer masih pada tahap yang mencukupi.

    Walau bagaimanapun cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Kesihatan berkaitan mengenai bot ambulans ini terutamanya dari segi mencari pemandu bot dan pencaruk.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara berkenaan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin berhubung adakah jumlah bot ambulans nega-ra mencukupi untuk menangani sebarang permintaan perubatan kecemasan dan jika terjadinya kecemasan atas sungai dan perairan negara, semasa berlangsungnya hari ke-16 Persidangan MMN di Dewan Majlis, hari ini.

    Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan begitu memerlukan pemandu bot ambulans dan pencaruk yang begitu kenal dengan kawasan Kampong Ayer bagi memudahkan pencarian alamat rumah di kawasan berkenaan.

    Maka dalam hal ini, Yang Berhormat Dato turut berkesempatan mengalu-alukan warga penduduk dari Kampong Ayer yang memiliki kemahiran berkenaan untuk mengisi sebarang iklan pekerjaan itu jika dibukakan sebagai persiapan untuk mengganti para petugas pemandu bot dan pencaruk yang sedia ada sebelum mereka berpencen.

    Terdahulu, Yang Berhormat Dato mengongsikan berdasarkan statistik pada tahun lepas, sebanyak 154 panggilan kecemasan telah dicatat di Kampong Ayer manakala setakat pada tahun ini, sebanyak 40 panggilan kecemasan telah dicatat.

    Antara yang hadir semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Cadangan menempatkan jururawat di sekolah disambut baik

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Cadangan mengenai menempatkan jururawat di sekolah-sekolah secara sepenuh masa turut dibangkitkan dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari ke-16 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed itu.

    Cadangan tersebut adalah bagi mengukuhkan lagi langkah pencegahan penyakit dalam kalangan pelajar, seterusnya dapat mengurangkan jurang dalam infrastruktur kesihatan dan menyokong pendidikan serta kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.

    Yang Berhormat Dato berkata bahawa jika dilihat, sekolah-sekolah antarabangsa di negara ini semua mempunyai jururawat masing-masing.

    “Ini akan dapat membantu pelajar dan ibu bapa serta penjaga lebih-lebih lagi jika pelajar tersebut mengalami sakit,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menjelaskan, pada masa ini dengan sumber manusia yang ada, hospital dan klinik yang diutamakan dahulu.

    Antara yang hadir semasa persidangan berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    JKKS pastikan ruang siber selamat

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Dalam era digital pada masa ini, tidak dapat dinafikan bahawa orang ramai kini banyak bergantung dengan teknologi maklumat dan komunikasi serta akses Internet dalam menjalani pelbagai aspek rutin harian.

    Dalam hubungan itu, orang ramai sebagai pengguna boleh terdedah dengan ancaman jenayah siber seperti penipuan dalam talian, berita palsu, maklumat berunsur fitnah, kebocoran data peribadi melalui pelbagai platform serta juga boleh berunsur rentas sempadan.

    Oleh itu, aspek keselamatan siber mendapat perhatian serius dengan Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber (JKKS) akan meneruskan usaha ke arah memastikan ruang siber yang lebih selamat dan menangani aspek yang berkait rapat dengan keselamatan siber iaitu manusia, proses dan teknologi.

    “Ia juga ditubuhkan untuk memantau dan mengemas kini National Cyber Security Strategy (NCSS) dalam memastikan pelaksanaanya berjalan dengan teratur,” jelas Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa pembenta-ngan peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Tahun Kewangan 2024/2025 pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.

    Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, tegasnya, komited dalam memastikan persekitaran digital yang selamat dan terjamin untuk semua pengguna di mana dalam hal berkenaan, sebanyak $8.75 juta telah diperuntukkan bagi pengurusan keselamatan siber bagi Tahun Kewangan 2024/2025.

    Seterusnya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menerangkan antara usaha Cyber Security Brunei (CSB) dalam mewujudkan ekosistem digital yang resilient adalah pelaksa-naan Perintah Keselamatan Siber, 2023.

    “Ini akan menjadi salah satu fokus utama CSB bagi tahun kewangan ini, manakala bagi AITI, mereka akan menumpukan perhatian kepada penyediaan rangka kerja perundangan bagi perlindu-ngan data peribadi,” tekannya.

    Pada masa yang sama, kempen-kempen kesedaran awam sedang giat diusahakan melalui BruCERT dengan menggunakan pelbagai saluran penyampaian sama ada melalui media tradisi seperti TV dan radio dan juga baharu seperti melalui media sosial, supaya tidak ada kelompok masyarakat yang tercicir dalam mengetahui risiko keselamatan dalam penggunaan berbagai-bagai platform yang tersedia dalam talian.

    MTIC diperuntukkan hampir $140 juta

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bagi Tahun Kewangan 2024/2025 diperuntukan sejumlah $138,394,150 di mana daripada jumlah berkenaan sebanyak $113,584,280 iaitu 82 peratus terdiri daripada perbelanjaan biasa termasuk gaji kakitangan dan perbelanjaan berulang-ulang.

    Selebihnya, sebanyak $24,809,870 iaitu 18 peratus terdiri daripada perbelanjaan untuk membiayai Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 bagi Tahun Kewangan 2024/2025.

    “Ini merupakan 14 peratus daripada Harga Rancangan RKN ke-12 yang diperuntukkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya.”

    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan peruntukan itu dalam membentangkan peruntukan bagi MTIC dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun Kewangan 2024/2025 pada hari ke-16 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa dengan peruntukan yang disediakan itu, perancangan dan peluang penambahbaikan telah dikenal pasti dapat meningkatkan serta memantapkan lagi sumbangan sektor pengangkutan dan infokomunikasi dalam pembangunan negara khususnya yang meliputi tiga perkara kekal menjadi pemacu nilai bagi kementerian berkenaan.

    Tiga pemacu nilai berkenaan ialah menjamin keselamatan sektor pengangkutan dan juga alam siber, meningkatkan kesejahteraan orang ramai melalui penyediaan perkhidmatan yang cekap, bersih dan memanfaatkan teknologi serta pemudah cara bagi mendukung kemajuan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan.

    Dalam pembentangannya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyatakan, jabatan-jabatan di bawah kawalan kementeriannya telah dapat menyumbang kepada pendapatan kerajaan kira-kira $33 juta.

    Selain itu, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) telah menyumbangkan hasil sebanyak $20.9 juta. Manakala itu, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) akan menyumbangkan sebanyak $50 juta kepada kerajaan daripada pendapatan terkumpulnya beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Ini jelas menunjukkan bahawa sektor pengangkutan dan infokomunikasi berperanan penting di dalam menjana hasil pendapatan untuk kerajaan,” tambah beliau.

    Berikutan dengan penubuhan badan-badan berkanun iaitu AITI dan PBMP, sebagai pengawal selia, ia dilihat berkemampuan untuk menambah nilai daripada segi mempertingkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan serra juga meningkatkan hasil pendapatan kerajaan selain daripada mengembangkan sektor masing-masing dengan lebih teratur dan berkesan untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

    Beliau menyatakan walaupun terdapat cabaran-cabarannya tersendiri, usaha menubuhkan badan kawal selia untuk pengangkutan darat dan penerbangan awam terus dilaksanakan dengan jabatan-jabatan berkenaan akan mula mengambil langkah-langkah asas khususnya dalam mengemaskini struktur dan aliran kerja di organisasi berkenaan supaya mereka akan lebih bersedia bila tiba masanya untuk melalui transformasi organisasi.

    Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa tumpuan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 adalah juga kearah melaksanakan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos.

    “Ini adalah berikutan dengan pewartaan Perintah Perkhidmatan Pos, 2023 selaku pemboleh bagi mewujudkan operasi dan penyediaan sistem dan perkhidmatan pos secara korporat. Seterusnya ia juga pemangkin kearah mempromosikan industri pos yang efisien dan berdaya saing,” tambah beliau.

    Lesen memandu kereta automatik diperkenal

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pindaan kepada Jadual Perintah Trafik Jalan Raya untuk memperkenalkan kategori lesen memandu 3A diwartakan, iaitu bagi kenderaan bermotor tanpa clutch, iaitu automatik bagi kenderaan di bawah berat 3,000kg, kereta biasa.

    “Ini adalah contoh usaha berterusan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dalam mengemaskinikan dan memodenkan peraturan-peraturan yang sedia ada secara berperingkat-peringkat.”

    Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa pembentangan peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Tahun Kewangan 2024/2025 di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Hasrat untuk memperkenalkan kelas lesen berkenaan adalah untuk memberi pilihan dan kemudahan kepada orang ramai untuk belajar dan memandu kenderaan dengan transmisi automatik.

    Pemandu yang memilih lesen memandu kelas 3A tidak dibenarkan untuk memandu kenderaan transmisi manual, jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary berucap semasa Persidangan MMN di Dewan Majlis. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    “Dengan terdapatnya pilihan ini diharapkan ia juga dapat meningkatkan fokus dan menumpukan masa belajar lebih kepada latihan dan etika pemanduan selamat.

    “Pemberigaan kepada sekolah-sekolah memandu, orang ramai dan pihak-pihak berkenaan akan disusuli selepas ini,” jelasnya.

    Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary turut menyentuh mengenai perancangan penubuhan syarikat penerbangan tempatan alternatif atau syarikat industri penerbangan yang berpangkalan di Brunei seperti cadangan-cadangan yang diterima daripada Gallop Air Sdn Bhd dan AeroAsia Holdings Corporation yang mendapat liputan media.

    “Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Penerbangan Awam memang akan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang berhasrat untuk mengembangkan jumlah penerbangan, pergerakan penumpang dan kargo yang menjurus kepada mengoptimumkan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei masa kini mahupun mengembangkannya dengan lebih lanjut lagi, jika perlu.”

    Dalam hubungan itu, beliau mengongsi bahawa dalam proses mempertimbangkan permohonan untuk menubuhkan syarikat penerbangan tempatan, pencadang perlu mendapatkan Sijil Pengendali Penerbangan Udara (AOC) dan juga untuk mendapatkan kelulusan Kelayakan Pengurusan Penerbangan Udara Beterusan (CAMO).

    “Dalam hubungan ini, untuk memperolehi AOC, pencadang perlu menjalani lima fasa proses penilaian dari sudut keselamatan, modaliti perniagaan, kecekapan, kesediaan operasi dan jenis pesawat (aircraft type approval) yang menepati piawaian Peraturan Penerbangan Awam dan Keperluan Penerbangan Brunei yang bersandarkan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary berkata bahawa buat masa ini, bagi aircraft type approval, piawaian rujukan yang diguna pakai adalah bagi pesawat yang memiliki sijil yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang diiktiraf seperti Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA AS) atau Kanada.

    “Untuk makluman, status pada masa ini adalah masih dalam fasa 1 iaitu pra permohonan,” tambah beliau.

    Kementerian Kesihatan naik taraf kualiti perkhidmatan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Selaras dengan perancangan strategik Kementerian Kesihatan untuk sentiasa berusaha mengukuhkan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada orang awam demi peningkatan kualiti hidup rakyat sepertimana matlamat Wawasan Brunei 2035, beberapa inisiatif telah berjaya dilaksanakan yang menjurus kepada penambahbaikan dan penaiktarafan di dalam perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

    Ini termasuk pengubahsuaian dan penaiktarafan infrastruktur seperti pengubahsuaian dan penaiktarafan dua buah bilik bedah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha khusus bagi pembedahan mata, ortopedik dan neurosurgery; dan tambahan blok baharu di Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong yang akan mula digunakan dalam sedikit masa lagi.

    Blok baharu ini menempatkan kemudahan-kemudahan bagi Perkhidmatan Kesihatan Asasi dan Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak.

    Begitu juga bagi pengubahsuaian kemudahan Perkhidmatan Pengambilan Darah di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong dan Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait khusus bagi memperbaiki accessibility dan memenuhi keperluan golongan-golongan tertentu seperti warga emas dan orang kelainan upaya.

    Perkara berkenaan telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa pembentangan mukadimah peruntukan Kementerian Kesihatan pada hari ke-15 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa Persidangan MMN ke-20. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Yang Berhormat Dato turut menambah salah satu inisiatif lain yang telah berjaya dilaksanakan untuk aspek penambahbaikan dan penaiktarafan di dalam perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan yang disediakan iaitu dari segi perkembangan dan pembaikan perkhidmatan antaranya perkhidmatan kecemasan perubatan diperkukuhkan dengan tambahan sebanyak 30 buah ambulans pada bulan Disember 2023 untuk menampung keperluan kecemasan dan penghantaran pesakit, dan di samping itu sebanyak lima buah jenis pacuan empat roda adalah dalam proses pendaftaran dan dua buah lagi jenis ICU ambulans masih dalam peringkat tawaran.

    Begitu juga menerusi Perkhidmatan Klinik Program Saringan Pendengaran Anak Damit telah dilaratkan ke Daerah Belait pada bulan Ogos 2023 sebagai langkah menjadikan liputan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan accessible yang membolehkan sebarang masalah pendengaran di kalangan anak-anak damit dikesan awal dan diberikan rawatan.

    Jelas Yang Berhormat Dato, penglaratan perkhidmatan saringan ini diperlukan adalah disebabkan terdapatnya peningkatan tahunan kepada jumlah anak damit yang didapati mempunyai masalah pendengaran. Pada tahun 2023 sahaja, seramai 50 anak damit dikesan mempunyai masalah pendengaran berbanding 18 orang pada tahun 2015.

    Antara yang turut disentuh oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan ialah kesihatan mental turut menjadi salah satu keutamaan untuk ditangani melalui pendekatan yang holistik iaitu mengimbangi antara ikhtiar keagamaan dengan rawatan konvensional dalam menangani masalah kesihatan mental.

    Oleh itu, dalam memperkukuhkan perkhidmatan rawatan kesihatan mental serta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman orang ramai mengenainya, beberapa inisiatif telah dan giat diusahakan seperti jerayawara-jerayawara kesihatan mental atau psychoeducation (proses mengajar pesakit dan ahli keluarga mereka tentang sifat penyakit, termasuk etiologi, perkembangan, akibat, prognosis, rawatan, dan alternatif) bagi orang ramai dilaksanakan dengan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkepen-
    tingan bagi kumpulan-kumpulan sasaran tertentu dan untuk mengurangkan mahupun menghapuskan stigma terhadap kesihatan mental yang boleh jadi penyebab seseorang tidak mendapatkan bantuan.

    Begitu juga penerbitan buku panduan seperti e-buku Student Wellness: A Mental Health Guideline for Students dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan, JIWA dan Buku Panduan Doa-Doa dan Zikir untuk Kesihatan Mental, dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) turut telah dijayakan dilaksanakan.

    2 buah bangunan di ibu negara akan dibaik pulih

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Menerusi projek RKN-12 di bawah peruntukan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) iaitu Hab Industri Kebudayaan dan Kreatif (CCI Hub) dan Perpustakaan Komuniti sememangnya bertujuan bagi membaikpulih dan menaik taraf dua buah bangunan di ibu negara iaitu bangunan bekas Ibu Pejabat Radio Televisyen Brunei (RTB) dan bangunan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Bandar Seri Begawan.

    Kedua-dua bangunan masing-masing dicadangkan untuk dijadikan sebagai CCI Hab dan Perpustakaan Komuniti di mana projek berkenaan disatukan adalah bagi keperluan mewujudkan Akademi Seni Budaya Brunei.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad menjelaskan perkara berkenaan bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai fungsi sebenar CCI Hub dan juga sasaran yang telah ditetapkan dan akan dicapai oleh program CCI dari segi meningkatkan penglibatan pihak yang berkepentingan dalam pembangunan industri yang dimaksudkan sebagaimana yang turut diperuntukkan dalam RKN-12 di bawah KKBS, semasa berlangsungnya pada hari ke-15 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Tambah Yang Berhormat Dato, dengan pelaksanaan projek di bangunan-bangunan berkenaan adalah dihasratkan mengukuhkan infrastruktur kebudayaan dan kesenian di negara ini yang penuh dengan dinamik lagi kreatif terutama kepada belia-belia negara.

    “Selaras dengan pelan strategik kementerian ini yang mengan-dungi aspirasi budaya dinamik dan pemeliharan warisan dalam mencapai visi bangsa Brunei cemerlang, maka tiba masanya juga bahawa kedua-dua bangunan berkenaan melaksanakan penjenamaan baharu yang mengambil kira keperluan semasa serta kedudukan bangunan-bangunan yang strategik di pusat bandar.

    “Dengan terbinanya hasrat tujuan projek berkenaan adalah akan menjadi mercu tanda ilmu, gedung ilmu serta pusat komuniti yang menjurus ke arah perkembangan dan kemajuan sektor kebudayaan dan kesenian di negara ini,” ujarnya.

    Tahukah Awda

    00:03:35

    Mitos atau Fakta

    00:02:17

    Popular