Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kemekaran bunga pic penyeri tahun baharu Cina

    HANOI – Petani di kampung Nhat Tan semakin sibuk memetik bunga yang berkembang mekar menjelangnya perayaan Tahun Baharu Cina atau dikenali sebagai Tet di Vietnam.

    Kampung Nhat Tan terletak di Daerah Tay Ho, Hanoi. Tempat ini dianggap sebagai salah satu pembekal bunga pic terbesar di ibu negara itu.

    Pelbagai jenis pokok pic boleh didapati di sini, daripada bonsai kepada pokok besar, pic mini dan pic semula jadi. Bagaimanapun, jenis yang paling popular dalam kalangan pelanggan adalah pic bonsai, pic antik dan dahan pokok pic yang berbunga.

    Pekebun pokok pic memulakan kerja mereka di Nhat Tan sejak dari awal pagi. Mereka berjalan ke ladang untuk memilih dahan paling cantik, memotongnya dengan teliti dan seterusnya menjualnya di pasar bunga berhampiran Quang Ba.

    Pasar ini dibuka dari pagi hingga lewat malam, menjual pelbagai jenis bunga pic.

    Dahan pokok pic Nhat Tan dijual pada harga agak berpatutan, dari $100,000 dong sehingga $500,000 dong bergantung pada saiz. Bunga pic menjadi pilihan pertama kebanyakan pelanggan disebabkan harganya yang rendah dan menjimatkan ruang apabila dipamerkan di rumah.

    Pokok pic berpasu selalunya memerlukan penjagaan yang lebih canggih dan berharga daripada beberapa juta kepada puluhan juta dong setiap pokok.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan syarikat sering menyewa pokok pic besar untuk menghiasi lobi bangunan mereka. Pokok-pokok berkenaan mempunyai harga sewa daripada $5 juta dong kepada $20 juta dong. Pada akhir cuti perayaan Tet, pekebun pokok pic datang dan mengambil pokok tersebut untuk meneruskan sewa mereka pada tahun berikutnya.

    Selain perniagaan, kampung Nhat Tan juga menawarkan kemasukan percuma kepada pelawat untuk melawat dan mengambil gambar.

    Di tengah kesibukan hidup, memerhati pokok pic berbunga, menikmati pemandangan yang indah di Nhat Tan, pastinya akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk mana-mana pelawat. – ANN/Vietnam News

    Bunga pic yang cantik berkembang mekar. – ANN/Vietnam News
    Pekebun pokok pic memulakan kerja pada awal pagi. – ANN/Vietnam News
    Pelanggan membeli dahan pokok pic di Pasar Quang Ba. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...