Saturday, May 18, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    KKM sediakan strategi hadapi jangkitan cacar monyet

    KUALA LUMPUR, 26 MEI – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan lima pelan strategi bagi menghadapi risiko kemasukan wabak cacar monyet atau monkeypox ke Malaysia.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia merangkumi pengesanan awal kes, memperkukuh diagnostik, pengurusan kes, pengurusan wabak dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti.

    “Strategi menangani monkeypox di Malaysia objektif umumnya adalah untuk kita mencegah kemasukan dan penularan jangkitan tersebut. Setakat ini kita masih belum ada kes monkeypox di Malaysia,” katanya pada sidang media khas secara maya dari Geneva, Switzerland hari ini.

    Beliau berkata KKM turut mewujudkan Health Alert monkey-pox dalam aplikasi MySejahtera yang akan diaktifkan mulai esok dengan pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes cacar monyet akan menerima Health Alert tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

    “Ini adalah ciri baharu yang akan aktif esok. Mereka tidak akan terima HSO (arahan pengasingan di rumah) tetapi mereka akan terima pop-up alert. Kenapa tempoh 21 hari, ini kerana tempoh pengasingan diri bagi cacar monyet adalah sehingga 21 hari,” katanya.

    Gambar menunjukkan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin ketika sidang media selepas Program Hari Asma Sedunia 2022 pada 19 Mei 2022. – Bernama

    Negara endemik yang melaporkan kes cacar monyet adalah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.

    Sementara negara bukan endemik yang telah melaporkan cacar monyet adalah Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

    Selain itu, Khairy berkata KKM juga sedang merancang untuk membuat vaksinasi kepada kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan cacar monyet terhadap mana-mana individu.

    Menurutnya buat masa ini terdapat dua makmal yang boleh menjalankan ujian cacar monyet iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di bawah KKM.

    “Cadangan penambahan jumlah makmal, kita akan tambah empat lagi MKAK di Sarawak dan Hospital Langkawi bagi pengesanan virus monkeypox,” tambahnya.

    Mengulas mengenai perkembangan Perhimpunan Kesihatan Dunia (WHA) kali ke-75 di Geneva, Khairy berkata Malaysia bersetuju untuk meningkatkan sumbangan kewangan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai tanda sokongan kepada pertubuhan itu yang melaksanakan peranan penting dalam memberi nasihat berhubung kesihatan awam dan kesihatan kecemasan.

    Beliau berkata Malaysia turut bersedia untuk terus menjadi tuan rumah kepada Pusat Servis Global WHO berpangkalan di Cyberjaya yang disifatkan sebagai sumbangan sukarela kepada pertubuhan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...