Sunday, April 28, 2024
31.9 C
Brunei

    -

    Kompaun akibat buang sampah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Tiga individu dan 10 buah syarikat dikenakan kompaun yang keseluruhannya berjumlah $6,100 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 kerana membuang sampah di tempat awam serta laluan awam.

    Kompaun yang dikenakan kepada individu serta syarikat berkenaan adalah hasil pemeriksaan rutin Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) pada Mac hingga Mei 2023.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBBSB, di sini, berdasarkan pindaan di bawah Perintah Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30, kadar kompaun bagi mana-mana individu atau badan korporat yang dikeluarkan kompaun bagi kesalahan di bawah di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan, bagi individu boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 serta bagi badan-badan korporat boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $2,000.

    Bagi yang gagal menjelaskan kompaun dan diambil tindakan melalui mahkamah, individu yang melakukan kesalahan di bawah bab itu, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Manakala badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab itu boleh dikenakan denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $ 30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Dalam kes-kes berkenaan, individu-individu dan syarikat berkenaan dikehendaki menjelaskan kompaun masing-masing ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jalan Perdana Menteri dalam tempoh masa tujuh hari.

    JBBSB mengingatkan mana-mana individu dan badan korporat untuk sama-sama menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di mana-mana tempat awam dan mana-mana akses bangunan tempat laluan orang awam di bawah kawasan perbandaran Bandar Seri Begawan dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan jika didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1) Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021.

    Pada masa yang sama, jabatan itu turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsi sebarang aduan dan perkongsian maklumat ke talian e-Darussalam 123, e-mel Info@123.gov.bn, laman sesawang www.123.gov.bn, WhatsApp 8333123 atau hotline Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang di talian 7291122.

    Sampah sarap yang telah dibuang secara sembarangan di tempat awam. – Gambar serahan JBBSB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...