Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Konflik tingkat kelembapan ekonomi global

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Tidak dapat dinafikan perkembangan geopolitik, COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan, telah memberikan kesan kekal kepada ekonomi global.

    Gelombang optimistik muncul pada permulaan 2022, ketika sekatan sempadan dan domestik telah dilonggarkan, di mana ekonomi global serta serantau mula menunjukkan pemulihan yang memberikan harapan bahawa kita akan kembali kepada keadaan normal.

    Namun begitu, prospek global bagi 2022 telah terjejas dengan lebih signifikan dengan sekatan berterusan di China serta konflik di Ukraine telah meningkatkan kelembapan ekonomi global yang membawa kepada inflasi lebih tinggi, keadaan kewangan yang lebih ketat, cabaran-cabaran bekalan serta meningkatkan ketidakpastian dasar.

    Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan globalnya daripada 4.4 peratus kepada 3.6 peratus disebabkan kesan sampingan daripada konflik Ukraine, kejutan bekalan dan inflasi yang lebih tinggi.

    Sementara itu, ekonomi domestik menguncup sebanyak 1.6 peratus pada 2021, jelas Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim dalam kata alu-aluannya semasa Taklimat Penyelidikan Global bagi Separuh Tahun 2022 yang berlangsung secara hibrid di The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.

    Pengiran Aki Ismasufian menyampaikan kata alu-aluannya pada Taklimat Penyelidikan Global bagi Separuh Tahun 2022 yang berlangsung secara hibrid di The Empire Brunei, Jerudong.
    Hajah Rokiah semasa menghadiri Taklimat Penyelidikan Global bagi Separuh Tahun 2022 di The Empire Brunei.
    Antara yang menghadiri Taklimat Penyelidikan Global bagi Separuh Tahun 2022.

    Hadir dan turut menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar.

    Acara hibrid itu turut dihadiri oleh lebih 100 orang klien dan pihak-pihak yang berkepentingan bank berkenaan.

    Pengiran Aki Ismasufian menambah, Bank Pembangunan Asia (ADB), baru-baru ini, telah menaikkan prospek bagi Asia Tenggara kepada 5 peratus bagi 2022 daripada 4.9 peratus di tengah-tengah permintaan domestik yang meningkat disebabkan pengurangan sekatan COVID.

    Pertumbuhan penggunaan Asia Tenggara bagi semua ekonomi serantau telah melantun dengan kuat dalam lima bulan pertama 2022 dengan pengurangan sekatan pergerakan COVID serta pembukaan semula sempadan dan pasaran.

    Beliau berkata bahawa persekitaran luar kekal sukar untuk diramal tetapi asas jangka panjang rantau tidak dapat disangkal.

    “Standard Chartered mempunyai francais yang unik di Asia, meliputi tiga enjin ekonomi iaitu China, ASEAN dan India, disokong oleh dua hab kewangan antarabangsa yang kuat di Hong Kong dan Singapura, menjadikan kedudukan strategik mereka sukar untuk ditandingi,” ujarnya.

    Beliau menambah pihak bank sentiasa bersedia untuk menyokong klien mereka bagi merebut trend struktur peralihan rantaian bekalan global, pertumbuhan aliran intra-Asia, peningkatan kemewahan, pembiayaan mampan serta keperluan inovasi dan juga pembukaan kewangan China.

    Pada taklimat yang membawa tema Near The Tipping Point itu, Ketua Ekonomi ASEAN dan Selatan Asia, Edward Lee serta Ketua Asia FX Research, Divya Devesh mengongsi dapatan dan pandangan mereka mengenai prospek ekonomi global dan serantau bagi 2022 serta membincangkan strategi-strategi bagi iklim perniagaan masa ini.

    Mereka turut menekankan bahawa ekonomi serantau dan global terus dibelenggu oleh kejutan geopolitik, inflasi serta dasar monetari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...