Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kukuhkan kerjasama serantau tangani jerebu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Negara Brunei Darussalam mengalami cuaca yang baik, berangin dan hujan kebelakangan ini, sekali gus mengurangkan kesan kejadian jerebu.

    Walau bagaimanapun dengan ramalan cuaca panas dan kering yang berpotensi terjadi pada bulan-bulan akan datang dan kejadian El Nino tahun ini, Brunei menggesa semua negara ahli Jawatankuasa Pandu Menteri-menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan untuk terus bekerjasama rapat dan mengukuhkan kerjasama serantau mencegah pencemaran jerebu.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menghadiri Mesyuarat MSC Mengenai Jerebu Rentas Sempadan ke-24 yang berlangsung di Singapura, kelmarin.

    Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, di sini, mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri, pegawai dan wakil yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta Timbalan Ketua Setiausaha Sekretariat ASEAN.

    Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai bersama menteri ASEAN pada mesyuarat tersebut. – Gambar serahan JASTRe

    Brunei turut diwakili oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

    Mesyuarat turut membentangkan keadaan cuaca dan asap jerebu oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang meramalkan peluang 70 hingga 80 peratus El Nino berlaku mulai Jun sehingga September 2023.

    Manakala, Dipole Lautan India positif dijangka berlaku mulai bulan Jun hingga Julai 2023.

    Kedua-dua fenomena iklim itu diramal akan mengakibatkan turunan hujan di bawah tahap normal bagi sebahagian negara di rantau selatan ASEAN.

    Amaran Tahap 1 juga telah dikeluarkan untuk rantau tersebut pada 29 Mei 2023, menandakan permulaan musim kemarau.

    Selain itu, mesyuarat mengambil maklum peningkatan produk dan perkhidmatan ASMC yang boleh meramal musim, sub musim, memantau kebakaran jerebu dan lain-lain berkaitan iklim di ASEAN dan pembinaan keupayaan serantau yang dilanjutkan sehingga 2027.

    Pada mesyuarat itu, menteri-menteri juga dimaklumkan bahawa musim kemarau tahun ini mungkin lebih lama dan panas berbanding dengan tiga tahun lepas semasa berada di fenomena La Nina, risiko peningkatan titik panas dan kejadian asap jerebu rentas sempadan berada di tahap yang sangat tinggi berbanding pada 2019.

    Sehubungan itu, negara-negara MSC berikrar untuk terus berwaspada dan mempergiatkan pemantauan kebakaran dan usaha pencegahan jerebu untuk mengurangkan kejadian asap jerebu rentas sempadan semasa musim kering.

    Negara-negara MSC mengesahkan kesediaan mereka bagi memberikan bantuan seperti penggunaan sumber teknikal untuk bantuan memadam kebakaran dalam situasi kecemasan jika diperlukan dan berkolaborasi di antara negara-negara MSC dengan kerjasama dan penyelarasan yang kukuh bagi mengurangkan kebakaran tanah dan hutan.

    Mesyuarat juga mengiktiraf kesan perubahan iklim seperti peningkatan kekerapan keadaan kemarau dan kejadian cuaca ekstrem serta bersetuju untuk menambah baik dan mengukuhkan kewaspadaan dan mengambil langkah pencegahan dan prosedur pemadaman kebakaran serta-merta bagi mengurangkan kebakaran tanah dan hutan serta kejadian jerebu rentas sempadan semasa tempoh cuaca kering.

    Mesyuarat turut menekankan usaha pusat-pusat ASEAN dan agensi berkaitan dalam penyediaan data dan maklumat kebakaran hutan untuk ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN.

    Mesyuarat mengambil maklum mengenai usaha ASEAN untuk meningkatkan persediaan dan pengurangan risiko kebakaran hutan dan berkerjasama de-ngan semua pihak berkepentingan, termasuk kalangan masyarakat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta.

    Selain itu, negara-negara MSC turut menekankan komitmen ke arah pelaksanaan penuh dan berkesan terhadap Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dan mengharap Pelan Hala Tuju Tanpa Jerebu 2023-2030 akan mencapai kejayaan dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut (APMS) 2023-2030 yang baharu akan dapat memperkukuhkan dan menangani secara menyeluruh punca pencemaran jerebu rentas sempadan secara mampan.

    Ia juga menekankan perlunya untuk menyelesaikan Establishment Agreement mengenai penubuhan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (ACC THPC) di Indonesia, dan menyambung semula perbincangan mengenai perjanjian dengan negara tuan rumah untuk persetujuan mengikut masa yang ditetapkan, melaksanakannya dengan segera dan berkesan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...