Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Lapan ditahan miliki barang tegahan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Lapan individu telah ditahan kerana memiliki barang-barang tegahan kastam dalam tiga gerakan operasi berasingan yang melibatkan pemeriksaan rumah di Jalan Beribi, Jalan Jaya Negara, Kuala Belait serta pemeriksaan rumah dan gerai di Kampung Mata-Mata, Gadong, baru-baru ini.

    Operasi gerakan tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

    Menurut kenyataan JKED, hari ini, hasil daripada gerakan operasi pertama yang dijalankan pada 14 Jun lalu melibatkan pemeriksaan dua buah rumah di Jalan Beribi, Daerah Brunei dan Muara, JKED telah berjaya menahan empat orang lelaki warganegara asing.

    Lelaki-lelaki tersebut yang berumur lingkungan 22 hingga 54 tahun ditahan kerana dipercayai memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu dua karton, 19 peket dan 19 batang rokok pelbagai jenis. Sementara itu, hasil gerakan operasi kedua yang dijalankan pada 15 Jun lalu, melibatkan pemeriksaan sebuah rumah di kawasan Jalan Jaya Negara, Daerah Belait, telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 43 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu 128 karton, 19 peket dan 12 batang rokok pelbagai jenis serta tiga kotak mercun dan bunga api.

    Manakala itu, hasil gerakan operasi ketiga yang dijalankan pada 16 Jun lalu, melibatkan pemeriksaan sebuah rumah dan dua buah gerai jualan di kawasan Kampung Mata-Mata, Gadong, Daerah Brunei dan Muara, telah berjaya menahan dua orang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan.

    Antara barang tegahan yang dirampas semasa operasi berasingan, baru-baru ini.
    Antara barangan tegahan yang dirampas oleh pegawai JKED dalam salah satu operasi baru-baru ini.

    Lelaki-lelaki dan perempuan berkenaan yang berumur lingkungan 26 hingga 48 tahun ditahan, dipercayai memiliki barang tegahan kastam iaitu 67 karton, 40 paket dan 32 batang rokok pelbagai jenis serta wang tunai sebanyak $78 yang dipercayai hasil penjualan barang-barang tegahan kastam.

    Kesemua barangan tegahan telah dirampas dan semua individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

    Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan.

    Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...