Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Lelongan amal raih $29,500 untuk Pusat Ehsan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Kedutaan AS di Brunei Darussalam

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam telah menganjurkan lelongan amal bagi mengumpulkan dana untuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam pada majlis yang berlangsung di kediaman Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kedutaan AS, lelongan amal itu telah berjaya mengumpulkan sejumlah $29,500 untuk menyokong misi organisasi bagi menyediakan bantuan dan penjagaan bagi golongan berkeperluan khas.

    Berangkat ke majlis lelongan itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.

    Turut hadir ialah Penaung Pusat Ehsan, Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Haji Abdul Aziz, Duta AS, pemimpin perniagaan, pegawai kerajaan dan orang kenamaan serta dermawan tempatan.

    Lelongan telah mempamerkan lukisan pelajar Pusat Ehsan, potret kanvas yang ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Pada majlis itu para hadirin turut berpeluang membida set kotak edisi terhad filem dokumentari Prince Azim: Son of the Arts, topi polo yang ditandatangani oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan sebuah karya seni mozek khas Eiffel Tower yang diperbuat daripada manik mikro.

    PYT Caryn McClelland dalam ucapan alu-aluanya mengesahkan komitmen AS untuk memperkasa hak sama rata bagi golongan kurang upaya.

    “Kami percaya semua orang berhak mendapat akses penuh dan peluang sama rata dalam setiap lapisan masyarakat,” tambahnya. Lelongan amal itu dianjurkan sebelum berlangsungnya Hari Orang Kelainan Upaya Antarabangsa dan meraikan Hari Kesyukuran AS.

    Acara dianjurkan bersama oleh Kedutaan AS dan Pusat Ehsan dan dana lelongan akan digunakan untuk membantu membina sekolah baharu bagi pelajar berkeperluan khas.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan YAM Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi berkenan menghadiri lelongan amal yang berlangsung di kediaman Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS. Turut hadir ialah Datin Paduka Seri Hajah Mariam dan PYT Caryn McClelland.
    Antara barangan lelongan amal yang dipamerkan semasa berlangsungnya majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...