Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Lima pengimport tempatan terima anugerah KBRI

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Lima pengimport tempatan telah menerima anugerah daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan atas sokongan mereka mengetengahkan produk Indonesia di Negara Brunei Darussalam.

    Anugerah-anugerah tersebut diserahkan secara langsung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko pada majlis yang berlangsung di KBRI, kelmarin.

    Pengimport-pengimport berkenaan ialah Syarikat H Sky Trading dan Syarikat Malar Setia yang menerima anugerah kategori platinum; Hui Huang Enterprise dan Shiv Trading Company sebagai penerima anugerah kategori perak; dan Bintang Ria Sdn Bhd sebagai penerima anugerah kategori gangsa.

    TYT Dr Sujatmiko dalam ucapannya berkata, “Kami memberikan anugerah ini sebagai bentuk penghargaan atas inisiatif usahawan tempatan di Brunei membawa produk Indonesia.”

    Dengan adanya usaha itu, tambah beliau, jumlah dagangan antara kedua-dua negara terus meningkat dari setahun ke setahun termasuk dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini walaupun ekonomi global semakin perlahan.

    Tuan Yang Terutama mendedahkan bahawa majlis malam anugerah itu bertepatan dengan momentum aktiviti tahunan Ekspo Perdagangan Indonesia (TEI) yang bermula pada 19 Oktober lalu.

    Beberapa ahli perniagaan Brunei yang hadir telah melawat Jakarta untuk menghadiri ekspo tersebut.

    “Kami berharap usahawan Brunei berjaya menggunakan TEI untuk mendapatkan rakan kongsi baharu dan produk berpotensi untuk dipasarkan di Brunei,” katanya sambil menambah, TEI masih berjalan secara maya sehingga 19 Disember depan.

    Empat kategori anugerah yang diberikan adalah berdasarkan jumlah pembelian produk dari Indonesia iaitu platinum untuk nilai import melebihi AS$4.5 juta; emas untuk import bernilai antara AS$3 hingga AS$4.5 juta; perak untuk import AS$1.5 hingga AS$3 juta; dan gangsa untuk nilai import antara AS$1 hingga AS$1.5 juta.

    TYT Dr Sujatmiko bergambar ramai bersama penerima anugerah. – Gambar serahan KBRI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...