Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Majlis Tadarus Al-Quran bermula

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Majlis Tadarus Al-Quran sempena bulan Ramadan bagi masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara telah bermula kelmarin dengan majlis pembukaannya diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.

    Ini diikuti dengan Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Pensyarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Nazirul Mubin bin Haji Ahmad sebelum tadarus Al-Quran dimulakan dari Surah Al-Baqarah oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian.

    Kemudian para jemaah yang hadir bersama-sama membaca Selawat Tafrijiyah tiga kali yang dipimpin oleh pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Tadarus Al-Quran adalah salah satu syiar untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di negara ini tanpa mengira peringkat umur, iaitu dengan sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekali gus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menyemarakkan bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadah semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah SWT.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan tadarus di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ketika menghadiri Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    Majlis Pembukaan Tadarus Al-Quran bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Radio Televisyen Brunei.

    Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengadakan majlis seumpamanya dengan tumpuan utama di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan, pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, peringkat kepimpinan, warga Kementerian Pertahanan serta pegawai dan anggota ABDB.

    Majlis berkenaan juga menandakan bermulanya Program Tahunan Ihya Ramadan dan Jangkauan Ramadan Kementerian Pertahanan pada tahun ini.

    Majlis serupa turut diadakan di kesemua surau ABDB termasuk Masjid Pulau Baru-Baru.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...