Wednesday, May 1, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    M’sia tidak akan laksanakan PKP, darurat

    TANGKAK, 11 FEB – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar-Bernama) hari ini mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun darurat walaupun kes COVID-19 dilihat kembali meningkat.

    Beliau berkata rakyat kini perlu hidup dengan COVID-19 dan menganggapnya sebagai endemik sebagaimana penyakit-penyakit mudah berjangkit yang lain.

    “Kementerian Kesihatan, saya sendiri pun mengatakan bahawa kita terpaksa (hidup) bersama COVID-19. COVID-19 ini dianggap endemik seperti penyakit-penyakit lain, seperti demam selesema, denggi dan sebagainya yang mana kita perlu meneruskan kehidupan, tetapi kita kena kawal daripada segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya,” katanya. 

    Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua UMNO bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sekatan pergerakan dan penutupan sektor ekonomi akan kembali membebankan rakyat, yang baharu kembali memulakan kehidupan mereka.

    “Ekonomi juga kita dah buka, tak mungkin kita akan tutup balik ekonomi. Kita tahu betapa sukarnya kehidupan rakyat apabila PKP dilaksanakan, dan kita dah buka (sektor ekonomi).

    Mereka yang nak berniaga, baharu nak mulakan perniagaan, tiba-tiba kita tutup. Nanti kalau tutup semula, habis… mereka akan tutup selama-lamanya.

    “Begitu juga pergerakan. Kita dah benarkan pergerakan daerah, negeri… cuma sempadan sahaja kita tak buka lagi sebab kes yang tinggi di luar negara, dan mereka (negara lain) pun tak menerima kedatangan kita ke negara mereka,” katanya.

    Beliau bagaimanapun berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan kerajaan di sesebuah lokaliti jika kes COVID-19 meningkat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hamas, Fatah berunding di Beijing

    BEIJING, 30 APRIL - China berkata hari ini kumpulan Palestin, Hamas dan Fatah bertemu di Beijing baru-baru ini untuk ‘perbincangan mendalam dan menggalakkan perdamaian...