Saturday, May 18, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Mula perjalanan baharu – Presiden

    COLOMBO, 31 JULAI – Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe secara rasmi menjemput ahli parlimen untuk menyertai kerajaan perpaduan semua parti bagi memulihkan ekonomi muflis negara itu, dengan melaksanakan reformasi menjerihkan, kata pejabatnya, hari ini.

    Wickremesinghe mengambil alih jawatan itu pada awal bulan ini selepas kemarahan rakyat terhadap krisis ekonomi terburuk di negara pulau itu sehingga memaksa presiden sebelum ini, Gotabaya Rajapaksa meninggalkan Sri Lanka dan meletak jawatan.

    Dalam pertemuan dengan sami berpengaruh Kuil Gigi di Kandy, salah satu kuil paling suci bagi agama Buddha, kelmarin, Wickremesinghe menggariskan rancangannya.

    “Sebagai presiden, saya ingin memulakan perjalanan baharu. Saya ingin mengumpulkan semua pihak dan meneruskan perjalanan itu serta membentuk kerajaan semua parti,” kata Wickremesinghe, yang dipetik sebagai memberitahu sami dalam pertemuan pertamanya dengan pendeta Buddha yang berkuasa sejak memegang jawatan itu.

    Beliau menulis surat kepada semua penggubal undang-undang untuk meminta mereka menyertai kerajaan perpaduan tersebut.

    Wickremesinghe, 73, yang juga bekas ahli parlimen pembangkang, memegang jawatan perdana menteri buat kali keenam pada Mei lalu selepas abang Gotabaya, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan dan tidak ada orang lain yang mengambil alih jawatan itu.

    Wickremesinghe menjadi presiden selepas Gotabaya melarikan diri pada 9 Julai lalu apabila puluhan ribu penunjuk perasaan yang marah terhadap krisis ekonomi menyerbu istana presiden.

    Dia melarikan diri ke Singapura dan meletak jawatan lima hari kemudian diiku-ti Wickremesinghe menjadi presiden sementara, yang kemudian memenangi undi di parlimen bagi mengesahkan jawatan presiden.

    Seramai 22 juta penduduk Sri Lanka terputus bekalan elektrik selama berbulan-bulan, merekodkan inflasi dan kekurangan makanan, bahan api serta ubat-ubatan. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Ranil Wickremesinghe semasa ditemu bual di Colombo pada 11 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...