Tuesday, May 21, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Nikmati keindahan bunga berkembang mekar

    MALAYSIA – Bunga yang berbeza berkembang mekar pada masa yang berbeza, dan tempat juga. Walau bagaimanapun, musim bunga di mana-mana rantau lazimnya apabila flora yang paling indah dan berwarna-warni mekar, menjadikannya salah satu masa terbaik untuk melawat tempat berkenaan.

    Berikut adalah enam ladang bunga di seluruh dunia yang boleh awda lawati sepanjang musim.

    LADANG BUNGA CARLSBAD, CALIFORNIA, AMERIKA SYARIKAT

    Di suatu tempat di daerah San Diego di California, terletak Ladang Carlsbad, rumah kepada ladang bunga yang besar di atas bukit.

    Bunga utama yang ditanam di sini ialah Giant Tecolote Ranunculus, yang mekar selama enam hingga lapan minggu dari awal Mac. Ledakan warna tahunan ini menandakan kedatangan musim bunga di selatan California, dan telah menjadi bahagian penting dalam gaya hidup komuniti Carlsbad.

    Selain menikmati pemandangan, pengunjung boleh menyertai aktiviti lain di ladang seperti tunggangan gerabak traktor dan lawatan lapangan. Terdapat juga satu-satunya lingkaran pagar bunga yang dipanggil Sweet Pea Maze, taman bunga mini, rumah hijau dan taman rama-rama untuk dikunjungi.

    Laluan dalam bangunan dikelilingi pelbagai warna bunga petunia di Taman Flora Cameron Highlands. – ANN/The Star
    Bunga canola berkembang mekar di Pulau Jeju, Korea. – ANN/The Star
    Ladang bunga di Hokkaido, Jepun. – ANN/The Star

    LADANG CONFETTI, WORCESTERSHIRE, BRITAIN

    Di daerah Inggeris Worcestershire, kunjungi Wyke Manor Estate untuk melihat Ladang Confetti. Bunga-bunga di sini tidak mekar pada musim bunga tetapi pada hari-hari pertengahan musim panas (akhir Jun atau awal Julai).

    Ladang Confetti diuruskan oleh keluarga Hudson, yang telah mengusahakan tanah di kampung Wick selama lebih daripada 250 tahun.

    Pada 1990an, pewaris Wyke Manor Estate, Charles Hudson, mengemukakan idea untuk mencipta ‘konfeti kelopak bunga’ yang boleh terbiodegradasi, menurut laman web rasmi Ladang Confetti.

    Jadi, setiap tahun pada pertengahan musim panas, selepas bunga Delphiniumnya mekar sepenuhnya dalam pelbagai warna, ia dipetik dan kemudian diproses sebagai ‘konfeti’.

    Konfeti kelopak bunga Wyke Manor Estate telah digunakan dalam puluhan ribu majlis perkahwinan di seluruh dunia, termasuk majlis perkahwinan diraja dan selebriti.

    TESSELAAR KABLOOM, VICTORIA, AUSTRALIA

    Di Banjaran Dandenong di negeri Victoria, Australia, musim luruh – Mac hingga Mei – adalah masa terbaik untuk melihat bunga mekar. Rancang untuk lawat Tesselaar Kabloom tahunan: Festival Bunga, yang biasanya diadakan semasa cuti Easter.

    Terdapat padang rumput dan taman yang dipenuhi dengan marigold, salvia, cleomes, petunia, geranium yang cantik dan banyak lagi. Terdapat juga aktiviti untuk dinikmati pengunjung seperti pertandingan bercerita untuk kanak-kanak, mencari telur Easter atau memburu arnab dan persembahan istimewa oleh rombongan Sarkas Oz.

    PESTA CANOLA JEJU, KOREA SELATAN

    Di Korea Selatan, musim bunga tiba dahulu di Pulau Jeju. Canola adalah salah satu bunga pada musim bunga yang terkenal di pulau itu. Bunga canola kuning terang akan mula mekar pada penghujung musim sejuk dan akan berterusan sepanjang musim bunga di kawasan selatan Jeju.

    Bunga canola ditanam dengan banyak di Jeju pada tahun 1960an, dan hari ini, ia boleh ditemui di seluruh pulau itu. Ini disebabkan oleh fakta bahawa mereka tumbuh subur di tanah gersang Jeju, dan tumbuh dengan baik di sana.

    Walaupun awda sebenarnya boleh melihat bunga kuning ini sepanjang tahun, kami mencadangkan awda pergi ke sana semasa Festival Bunga Canola Jeju di bandar Gasi-ri. Tempat ini terkenal dengan jumlah bunga canola yang banyak.

    PADANG BUNGA FURANO, HOKKAIDO, JEPUN

    Hokkaido lazimnya terkenal dengan musim sejuk dan makanan lautnya, tetapi tahukah awda bahawa bunga juga istimewa di sana?

    Di bandar Furano, sebagai contoh, beribu-ribu pelancong – tempatan dan antarabangsa – datang berduyun-duyun ke ladang yang terletak di Ladang Bunga Furano untuk melihat bunga lavender pada Julai.

    Terdapat beberapa jenis lavender, termasuk Noushi Hayazaki, Youtei, Misetosekka, Lavandin dan Okamurazaki, dan semuanya mekar pada masa yang berbeza pada bulan Julai. Ini memberi lebih banyak peluang kepada pelawat untuk melihat salah satu daripada bunga yang sedang mekar.

    Beberapa ladang yang perlu diperhatikan ialah Farm Tomita, Hinode Lavender Garden, Furano Jam Garden, Choei Lavender Farm dan Lavender East, ladang lavender terbesar di Jepun.

    Kebanyakan ladang akan memetik dan memproses bunga menjadi minyak pati.

    Sesetengah ladang juga akan menganjurkan lawatan yang menunjukkan cara-cara mereka mengekstrak minyak daripada bunga.

    TAMAN FLORA CAMERON HIGHLANDS, PAHANG, MALAYSIA

    Sudah tentu, Malaysia juga mempunyai banyak ladang bunga di seluruh negara. Taman Flora Cameron Highland di Pahang, misalnya, mempunyai banyak spesies bunga yang berkembang dalam pelbagai warna.

    Taman Flora Cameron juga mempunyai rumah hijau di mana awda boleh menemui pelbagai spesies tumbuhan yang endemik sama ada di Cameron Highlands atau Malaysia.

    Pengunjung boleh menikmati pemandangan menyeluruh di tanah tinggi di Jambatan Golden Maple berdekatan.

    Terdapat laluan pejalan kaki di sini yang diapit oleh batas bunga petunia pelbagai warna.

    Kunjungi Flora Hills di mana terdapat laluan dan denai berbeza yang boleh awda lalui, dengan pelbagai jenis bunga dan tumbuh-tumbuhan yang ditanam di sekelilingnya.

    Jika awda rasa ingin berkelah di taman ini … bolehlah mengunjungi Sakura Garden yang dilengkapi dengan air pancut kecil. Mereka yang inginkan sesuatu yang lebih ‘premium’ boleh menikmati sesi hi-tea di Kampung Hobbiton. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...