Tuesday, May 7, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Pakistan isytihar darurat, perlu bantuan a’bangsa

    SUKKUR, PAKISTAN, 26 OGOS – Hujan lebat melanda sebahagian besar Pakistan sehingga kerajaan mengumumkan darurat untuk menangani banjir monsun yang menurutnya menjejaskan lebih empat juta orang.

    Monsun tahunan adalah penting untuk mengairi tanaman dan membekalkan air ke tasik-tasik dan empangan di sub-benua India, namun setiap tahun ia juga membawa gelombang kemusnahan.

    Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) hari ini mengatakan lebih 900 orang telah terbunuh tahun ini – termasuk 34 orang dalam masa 24 jam lalu – disebabkan hujan monsun yang bermula pada Jun. Pegawai mengatakan banjir tahun ini adalah sama dengan bencana 2010 – terburuk dalam rekod – apabila lebih 2,000 orang mati dan hampir satu perlima negara itu ditenggelami air.

    Menteri Perubahan Iklim, Sherry Rehman yang pada Rabu menggelar bencana itu sebagai ‘malapetaka berskala epik’ mengatakan kerajaan telah mengisytiharkan darurat dan merayu bantuan antarabangsa.

    Pakistan memerlukan bantuan antarabangsa untuk menghadapi malapetaka itu, katanya dalam wawancara di televisyen. Barangan keperluan seperti khemah, kelambu dan kain terpal diperlukan untuk penduduk yang terjejas banjir.

    “Kami telah menghubungi penderma, negara yang mesra dan institusi kewangan antarabangsa untuk mendapatkan bantuan bagi menangani bencana banjir,” kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

    Dalam pada itu, seorang petani warga emas, Rahim Bakhsh memberitahu AFP berhampiran Sukkur, di wilayah selatan Sindh bahawa dia tidak pernah melihat banjir sebesar itu sepanjang hayatnya.

    Seperti beribu-ribu orang lain di kawasan pedalaman Pakistan, Brohi sedang mendapatkan perlindungan di sebelah lebuh raya kebangsaan, memandangkan lebuh raya yang ditinggikan itu adalah antara beberapa buah kawasan yang masih kering di kelilingi kawasan-kawasan yang ditenggelami air. – AFP

    Rakyat Pakistan terjejas banjir berlindung di kem sementara di lebuh raya selepas hujan lebat melanda daerah Nawabshah di wilayah Sindh, selatan Pakistan. Lebih 900 maut sejak banjir pada Jun dan ribuan lagi terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Diplomat Afghanistan letak jawatan susulan kes seludup emas AS$2 juta

    NEW DELHI, 6 MEI - Seorang diplomat tertinggi Afghanistan di India telah meletak jawatan beberapa hari selepas dia dilaporkan ditangkap oleh pihak berkuasa lapangan...