Pelajar PB, IBTE terima tawaran COE

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Seramai 207 orang pelajar dari Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah menerima tawaran pekerjaan bersyarat (COE) daripada Hengyi Industries Sdn Bhd.

Para pelajar berkenaan merupakan pelajar yang mengikuti beberapa program di bawah kerjasama antara Hengyi Industries dengan PB dan IBTE.

Majlis penandatanganan bagi COE telah diadakan hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan penandatanganan bersama wakil pelajar dari lapan buah program berkenaan ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Turut hadir menyaksikan penandatanganan itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong.

Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, JPM, Haji Azhar bin Haji Yahya dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melalui Manpower Localisation Taskforce, Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPC), Jabatan Tenaga di JPM, Kementerian Pendidikan serta PB, IBTE, Damai Holdings dan Hengyi Industries Sdn Bhd, telah bekerja rapat untuk membangunkan beberapa program bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dan kemahiran Hengyi.

“Dengan kerjasama rapat yang terjalin, lapan program Diploma Tahap 5 telah berjaya dilancarkan di mana pada 2021, Hengyi Industri telah menawarkan pengambilan pertama COE kepada pelajar PB dalam program ini,” jelasnya.

Pada tahun ini, COE diberikan kepada 207 orang pelajar dari lapan program diploma iaitu Teknologi Makmal, Kejuruteraan Kimia, Peralatan Teknologi Kimia, Loji Tenaga dan Sistem Tenaga, Teknologi Penyimpanan dan Pengangkutan, Thermal Power Plant Technology, Teknologi Rawatan Air dan Kejuruteraan Kawalan dan Automasi.

Pada majlis itu, wakil dari setiap program menandatangani COE bagi mewakili 176 pelajar dari PB dan 31 pelajar dari IBTE yang mana penandatanganan itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Zou Hui. Inisiatif program kerjasama Hengyi Industries ini adalah untuk menghasilkan platform di mana belia Brunei berpeluang untuk mengembangkan dan meningkatkan kemahiran mereka.

Wakil pelajar PB dan IBTE semasa majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas kelmarin. Hadir menyaksikan majlis penandatanganan ialah Haji Khairuddin dan PYT Yu Hong.
Antara pelajar yang hadir pada majlis tersebut.