Saturday, May 18, 2024
31.2 C
Brunei

    -

    Pemimpin dunia gesa solidariti tangani cabaran global

    NEW YORK, 21 SEPT – Pemimpin dunia, dalam perbahasan masing-masing pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), menyeru solidariti dalam menangani cabaran global.

    Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol berkata ancaman terhadap kebebasan dan keamanan mesti ditangani melalui solidariti, selain berani melaksanakan komitmen rangka kerja global sejagat yang sudah tersedia dalam sistem PBB.

    Tema Perbahasan Umum tahun ini, ‘Detik perubahan: penyelesaian transformatif kepada cabaran yang saling berkait,’ merangkumi krisis global, menggariskan peranan serius PBB, lapor Xinhua.

    “Langkah pertama dalam perjalanan kami untuk mencari jawapan yang akan membantu kami mengharungi zaman bergelora ini, bermula dengan solidariti dan menghormati norma global yang diterima pakai secara universal, serta sistem PBB yang diwujudkan sejak beberapa dekad lalu,” kata Yoon.

    Dalam menjayakan agenda nyahkarbon dunia, negara yang memiliki teknologi hijau perlu berkongsi teknologi baharu serta tenaga boleh diperbaharui dengan negara lain. Dalam era kecanggihan digital, antara tugas segera yang perlu dilakukan oleh komuniti dunia dan PBB adalah mempromosi kerjasama global bagi merapatkan jurang digital yang mewujudkan polarisasi antara negara.

    Komuniti antarabangsa mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk berkongsi tanggungjawab dan bergabung tenaga, apabila perlu, untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi, katanya.

    “Sekali lagi, saya menyeru rakyat global dan pemimpin dunia supaya memberi sokongan berkekalan kepada sistem PBB dan norma global sejagat, ketika kami berusaha mencari jawapan dalam detik penting ini.” – Bernama

    Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol bercakap pada sesi UNGA ke-77 di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bandar New York pada 20 September 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...