Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Penentang ‘Baju Merah’ Thailand ditahan

    BANGKOK, 28 MAC – Seorang penentang ‘Baju Merah’ yang terkenal di Thailand kembali ke negara itu hari ini selepas 15 tahun hidup dalam buangan sendiri dan ditahan oleh polis dengan serta-merta, kata peguamnya.

    Jakrapob Penkair pernah menjadi jurucakap kerajaan untuk bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, dan kemudian menjadi ahli penting dalam pergerakan ‘Baju Merah’ yang menyokong beliau selepas digulingkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006.

    Menghadapi pelbagai tuduhan termasuk memiliki senjata haram dan melanggar undang-undang fitnah diraja yang ketat di negara itu, Jakrapob melarikan diri dari Thailand pada 2009 untuk tinggal dalam buangan.

    Jakrapob mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok pada pagi hari ini dan segera ditahan polis.

    “Beliau akan menjalani proses undang-undang dan kami akan lihat apa yang boleh kami lakukan,” kata peguamnya, Chokchai Angkaew kepada wartawan.

    Sebelum pulang ke negara, Jakrapob memuat naik video yang menunjukkan dirinya bercakap kepada peminat.

    “Saya telah pergi selama 15 tahun, kini saya akan kembali ke Thailand… dan saya berharap untuk mengatasi semua cabaran undang-undang,” katanya.

    “Saya harap saya dapat berbakti kepada negara.” – AFP

    Foto bertarikh 30 Mei 2008 menunjukkan Jakrapob bercakap semasa sidang akhbar mengumumkan peletakan jawatannya di Rumah Kerajaan di Bangkok. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...