Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pengemaskinian mudahkan pengurusan pesakit COVID, kontak terdekat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Aplikasi BruHealth sedang dikemaskini dan diperbaharui pada masa sekarang dalam usaha memudahkan pengurusan pesakit-pesakit positif COVID dan kontak-kontak terdekat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa sekarang.

    Antara perubahan dalam ciri BruHealth ialah Notis Pengasingan di Rumah yang diperkenalkan bagi menggantikan Perintah Kuarantin Digital yang telah diberhentikan pada 24 Februari lalu.

    Ciri itu adalah khusus bagi kes-kes yang disahkan positif COVID-19 sahaja iaitu mereka yang di dalam kategori 1 atau 2A, meliputi laporan harian status kesihatan, notifikasi dalam aplikasi mengenai tarikh ujian ART masing-masing dan tempoh pengasingan diri yang diselaraskan secara automatik dengan pengemaskinian keputusan ART.

    Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media harian jangkitan di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung kelmarin di Kementerian Kesihatan.

    “Dengan adanya ciri baru, Notis Pengasingan di Rumah ini, pesanan ringkas yang sebelum ini dikeluarkan untuk mengesahkan seseorang itu ialah seorang kes COVID adalah dengan ini diberhentikan,” tambahnya.

    Menurutnya, dengan pelancaran ciri ART di dalam aplikasi BruHealth pada 26 Februari lalu, yang membolehkan orang ramai melaporkan keputusan ART atau memohon bekalan kit ART, orang ramai kini tidak lagi perlu membuat panggilan ke Talian Darussalam 123 bagi melaporkan keputusan ujian ART mereka atau membuat permohonan kit ART.

    Dengan melakukan triaj kendiri (self-triage) di dalam ciri ART itu, akan membolehkan seseorang dikategorikan mengikut kategori 1, 2A atau 2B.

    Yang Berhormat Dato berkata, “Sebagaimana yang telah dilaksanakan sejak aplikasi BruHealth mula diperkenalkan pada tahun 2020, kod BruHealth berwarna merah adalah bagi menandakan seseorang itu merupakan kontak terdekat kepada kes positif COVID.”

    Pada masa ini, seseorang boleh mengisytiharkan dirinya sebagai kontak terdekat di dalam aplikasi BruHealth melalui beberapa cara seperti dengan mengisikan maklumat di dalam ciri Penilaian Kendiri (Self-Assessment Tool) pada hari pertama membuat pelaporan penilaian kendiri di mana ia hanya perlu dilakukan sekali di sepanjang tempoh pengasingan diri, dengan melaporkan status kontak terdekat melalui ciri Laporan Kendiri Harian (Daily Self-Report) dan menghantar keputusan ART pertama setelah mengetahui telah mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19 melalui ciri ART atau dengan membuat permohonan mendapatkan kit ART melalui ciri ART.

    Di samping itu, pada masa ini, tempoh pengasingan diri bagi kontak-kontak terdekat telah dikurangkan daripada 14 hari kepada lima hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...