Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Perlawanan persahabatan bakal diadakan

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Brunei Darussalam akan menganjurkan siri perlawanan persahabatan antarabangsa bagi memulakan aktiviti sukan bola sepak berikutan penggantungan akibat penularan COVID, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Negara Brunei Darussalam (FABD), hari ini.

    Siri perlawanan persahabatan itu akan bermula dengan pasukan bawah 20 tahun kebangsaan bermain menentang pasukan bawah 20 tahun Sarawak sementara pasukan A kebangsaan dijangka bertemu Laos dan Maldives bulan hadapan.

    Perlawanan bagi pasukan bawah 20 tahun akan diadakan di padang bola sepak rumput tiruan FABD pada 28 Ogos pukul 4 petang.

    Sementara itu, tempat bagi perlawanan antarabangsa melibatkan pemain senior kebangsaan masih belum ditentukan.

    Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan berkata, “Hampir tiga tahun FABD tidak mengadakan sebarang perlawanan antarabangsa di negara ini.

    Gambar fail menunjukkan aksi pemain kebangsaan Brunei Darussalam cuba melepaskan diri daripada kawalan permain lain semasa menentang Laos dalam perlawanan persahabatan.

    “Kini, Alhamdulillah, pasukan bawah 20 tahun dan pasukan A akan bermain menentang pasukan yang telah dikenal pasti dan dijemput untuk bersaing di negara ini.”

    Sementara itu, Timbalan Presiden FABD, Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin berkata, “Alhamdulillah, kami telah diberikan peluang untuk membawa pasukan kebangsaan ke Brunei Darussalam.

    “Ini memberikan peluang bukan sahaja untuk penduduk di negara ini tetapi peminat bola sepak bagi menyaksikan perlawanan antarabangsa yang tidak pernah disaksikan semasa pandemik COVID,” tambahnya.

    Beliau menambah mereka telah menjemput Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk bermain menentang pasukan bawah 20 tahun Sarawak yang membuat persediaan untuk Sukan Malaysia (SUKMA).

    Ini akan menjadi perlawanan antarabangsa pertama diadakan di padang bola sepak rumput tiruan FABD.

    Padang tersebut mempunyai pengiktirafan untuk menganjurkan perlawanan persahabatan antarabangsa meskipun kapasiti untuk penonton adalah terhad.

    Beliau kemudian mengongsikan akan ada satu perlawanan Tier 1, perlawanan senior antarabangsa yang diiktiraf oleh FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), yang mungkin mengubah ranking pasukan kebangsaan Brunei Darussalam.

    “Insya-Allah, tiga perlawanan menentang Laos dan Maldives akan diadakan di negara ini bermula 21 September.

    “Kami belum dapat mengesahkan tempat perlawanan tetapi kami akan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa yang relevan. Kami akan mencari tempat yang lebih besar untuk menempatkan lebih ramai peminat.

    “Kami teruja untuk membawakan empat perlawanan antarabangsa di negara ini untuk peminat,” tambahnya.

    Pasukan A kebangsaan dijadualkan bertemu Maldives pada 21 September dan menentang Laos pada 27 September.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...