Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Piala Thomas: Rexy tidak mahu insiden di BATC 2024 berulang

    KUALA LUMPUR, 27 MAC – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap isu kecergasan dan kecederaan yang menimpa skuad lelaki kebangsaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tidak berulang pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China.

    Rexy mengakui agak ‘kusut’ memikirkan insiden yang melibatkan beberapa tonggak utama pada BATC 2024 di Shah Alam, Selangor, memandangkan beliau tidak pernah berdepan situasi terbabit sama ada ketika bergelar pemain ataupun jurulatih sebelum ini.

    “Saya hanya mahu pasukan yang mantap (di Piala Thomas 2024) dan tidak mahu hal di BATC 2024 berlaku lagi. “Bukan saya seorang sahaja malah, saya percaya rakyat Malaysia juga tidak mahu lihat perkara sedemikian terjadi,” katanya ketika ditemui di sesi latihan di sini.

    Pada saingan BATC 2024 bulan lepas, skuad lelaki mengalami detik mencemaskan selepas dua pemain perseorangan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa direhatkan bagi beberapa perlawanan kerana masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang.

    Dalam pada itu, Rexy mengakui ‘pening’ untuk memilih barisan beregu lelaki negara memandangkan pasangan yang berada dalam radarnya untuk ke skuad akhir Piala Thomas 2024 memiliki kelebihan masing-masing.

    Selain gandingan juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beliau berkata antara gandingan yang mungkin berpotensi di-senaraikan adalah pasangan profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta pasangan meningkat naik, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

    “Sze Fei-Nur Izzuddin sering menampilkan persembahan baik pada kejohanan berpasukan. Bagi Hon Jian-Muhammad Haikal, walaupun pernah bermain di BATC 2024 baru-baru ini, adakah mereka bersedia main pada tahap setinggi Piala Thomas,” katanya. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...