Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pokok mangga 120 tahun, hasil kerja keras ‘Mango Man’

    MALIHABAD, INDIA – Setiap hari, seorang warga India berusia lingkungan 80an, Kaleem Ullah Khan atau dikenali sebagai ‘Mango Man’ akan bangun pada waktu subuh, berdoa, kemudian berjalan kaki kira-kira satu batu ke pokok mangganya yang berusia 120 tahun, yang telah dijaganya untuk menghasilkan lebih daripada 300 jenis buah yang digemari selama ini.

    Langkahnya semakin laju apabila semakin dekat dan matanya bersinar apabila dia mengintai rapat pada dahan pokok, sambil memegang dedaunan dan menghidu buah-buahan untuk memastikan sama ada ia telah masak.

    “Ini adalah hasil atas kerja keras saya bekerja di bawah terik matahari selama beberapa dekad,” kata lelaki berusia 82 tahun itu di dusunnya di pekan kecil Malihabad.

    “Melihat dengan mata kasar, ia hanyalah pokok. Tetapi jika awda melihat sambil berfikir, ia adalah pokok, kebun, dan himpunan mangga terbesar di dunia.”

    Tercicir dari sekolah sejak masih remaja, dia menjalankan eksperimen pertamanya dalam cantuman, atau menyatukan bahagian tumbuhan untuk mencipta varieti mangga baharu.

    Kaleem Ullah Khan menunjukkan cara dia mencantum pelbagai jenis mangga pada pokok berusia 100 tahun di ladangnya di Malihabad. – AFP
    Gambar menunjukkan mangga yang baru dituai. – AFP
    Kaleem Ullah Khan, yang dikenali sebagai ‘Mango Man’, mengupas mangga di kebunnya di Malihabad, kira-kira 30 km dari Lucknow. – AFP
    Para pekerja menuai mangga di sebuah kebun di Malihabad. – AFP
    Pekerja mengasingkan mangga yang dituai mengikut saiznya. – AFP

    Dia menjaga sebatang pokok untuk menghasilkan tujuh jenis buah baharu, tetapi ia tumbang oleh ribut. Tetapi sejak 1987, kebanggaan dan kegembiraannya adalah spesimen berusia 120 tahun, sumber lebih daripada 300 jenis mangga yang berbeza, masing-masing mempunyai rasa, tekstur, warna dan saiz tersendiri, katanya.

    Salah satu varieti terawal yang dinamakannya ‘Aishwarya’ sempena bintang Bollywood dan pemenang ratu cantik Miss World 1994, Aishwarya Rai Bachchan. Sehingga hari ini, mangga itu kekal sebagai salah satu ‘ciptaan terbaik’ beliau.

    “Mangga itu cantik seperti pelakon. Sebiji mangga mempunyai berat lebih daripada satu kilogram, mempunyai warna merah pada kulit luarnya dan rasanya sangat manis,” kata Khan.

    Yang lain dia namakan sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri Narendra Modi dan wira kriket Sachin Tendulkar. Satu jenis lagi ialah ‘Anarkali’, atau bunga delima, dan mempunyai dua lapisan kulit yang berbeza dan dua pulpa yang berbeza, masing-masing dengan aroma yang tersendiri.

    “Orang ramai akan datang dan pergi, tetapi mangga akan kekal selama-lamanya, dan bertahun-tahun selepas itu, setiap kali mangga Sachin ini akan dimakan, orang akan mengingati wira kriket itu,” kata bapa kepada lapan anak itu.

    Buah yang terkenal
    Pokok mangga berukuran sembilan meter dan mempunyai batang yang tegap dengan dahan-dahan yang lebar dan tebal yang memberikan keteduhan terhadap matahari musim panas India.

    Dedaunan adalah cantuman tekstur dan bau yang berbeza. Di sesetengah tempat, ia berwarna kuning dan berkilat, dan di tempat lain, hijau gelap dan kusam.

    “Tiada dua cap jari yang sama, dan tidak ada dua jenis mangga yang serupa. Alam semula jadi telah menghadiahkan mangga dengan ciri-ciri seperti manusia,” kata Khan.

    Kaedah cantuman beliau adalah rumit, dan melibatkan penghirisan dahan daripada satu varieti secara bersungguh-sungguh, meninggalkan keratan terbuka di mana dahan daripada varieti lain disatukan dengan pita perekat.

    “Saya akan membuka pita perekat itu sebaik sahaja sambungan menjadi kukuh, dan diharapkan cabang baharu ini akan siap menjelang musim depan, dan mengeluarkan varieti baharu selepas dua tahun,” jelasnya.

    Kemahiran Khan telah memenangi pelbagai anugerah, antaranya salah satu penghormatan awam tertinggi India pada 2008, serta jemputan ke Iran dan Emiriah Arab Bersatu.

    “Saya boleh menanam mangga walaupun di padang pasir,” katanya.

    Ancaman iklim
    India merupakan pengeluar terbesar mangga, menyumbang separuh daripada pengeluaran global.

    Malihabad, di negeri utara Uttar Pradesh, mempunyai lebih daripada 30,000 hektar kebun dan menyumbang hampir 25 peratus daripada tanaman negara.

    Kebanyakannya dimiliki oleh keluarga sejak turun-temurun, dusun itu adalah syurga pencinta mangga, dengan varieti yang paling terkenal mungkin Dasheri, dinamakan sempena kampung berhampiran tempat ia berasal pada abad ke-18.

    Tetapi petani bimbang dengan perubahan iklim, dengan gelombang panas tahun ini memusnahkan 90 peratus tanaman tempatan, menurut Persatuan Penanam Mangga All-India.

    Bilangan varieti juga telah menurun, yang dipersalahkan oleh Khan pada teknik pertanian intensif dan penggunaan meluas baja dan racun serangga yang murah.

    Penanam juga menanam terlalu banyak pokok yang dibungkus terlalu rapat, tidak meninggalkan ruang untuk kelembapan dan embun untuk mendap pada daun, katanya. Tetapi dia masih mempunyai kehidupan yang baik, katanya.

    “Saya baru-baru ini berpindah ke rumah baharu di kawasan ladang untuk lebih dekat dengan pokok kesayangan saya, yang akan saya usahakan sehingga nafas terakhir saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...