Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Protes tuntut lebih banyak bantuan banjir

    SYDNEY, 9 MAC – Puluhan pembantah di bandar yang terjejas banjir di timur Australia meluahkan keberangan mereka hari ini ketika Perdana Menteri Scott Morrison mengunjungi nadi zon bencana itu.

    Penunjuk perasaan menuntut lebih banyak bantuan dan tindakan iklim lebih kukuh ketika Morrison jelajah ke Lismore, yang mengalami banjir terburuk dalam hampir dua minggu di sepanjang pantai timur yang meragut kira-kira 21 nyawa.

    “Kami perlukan bantuan!” laung para pembantah ketika Morrison mengunjungi bandar itu.

    Ramai yang memegang sepanduk dengan mesej menyalahkan krisis iklim termasuk, “Arang dan gas melakukan ini’ dan ‘inilah rupa bentuk perubahan iklim’.

    Selepas banjir kedua terbesar dalam masa setahun, timbunan sampah dan sisa, perabot yang terjejas air berlonggokan di sepanjang jalan bandar itu.

    Pegawai bomba dan penyelamat tiba di kawasan perumahan yang dibanjiri dari sungai Hawkesbury yang melimpah di sub bandar Sydney, Windsor pada 9 Mac. – AFP

    Ramai orang terpaksa memanjat ke bumbung besi rumah mereka untuk menyelamatkan diri daripada air bah deras minggu lalu ketika banjir memuncak di bandar utara New South Wales.

    Ada di antara mereka menunggu selama berjam-jam untuk diselamatkan oleh penduduk tempatan menggunakan bot peronda diubah usai, bot perkhidmatan kecemasan atau helikopter tentera ketika paras air semakin naik di sekeliling mereka.

    Banjir hampir di seluruh pantai timur kembali surut ketika turunan hujan berkurang hari ini, namun amaran banjir besar masih dikuatkuasakan di beberapa kawasan termasuk di Sungai Hawkesbury barat Sydney.

    Arahan pemindahan yang menjejaskan sekitar 40,000 orang di New South Wales telah dikuatkuasakan pada pagi ini. Lebih 90,000 orang dibenarkan untuk kembali pulang ke rumah mereka.

    Jumlah kematian akibat banjir pantai timur meningkat 21 orang ketika polis menemui mayat pemandu trak penghantaran berusia 50an dalam bencana di barat Sydney.

    Berdepan persoalan tajam pada sidang media di bandar itu, Morrison mempertahankan rekod iklim kerajaannya dengan menekankan komitmennya untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang tahun 2050.

    Sementara itu menurut laporan Xinhua, Morrison akan mengumumkan pengisytiharan darurat susulan banjir buruk yang melanda kawasan timur laut negara itu.

    Pengisytiharan itu akan memberi kerajaan persekutuan lebih kuasa untuk menempatkan Pasukan Pertahanan Australia (ADF) dan sokongan kewangan ke kawasan terjejas.

    Ini adalah kali pertama darurat diisytiharkan selepas undang-undang berkaitan perkara itu digubal susulan krisis kebakaran belukar 2019/20.

    Morrison mengumumkan AUS$25 juta (AS$18.2 juta) dalam bentuk pembiayaan untuk bantuan kecemasan, makanan dan perkhidmatan kaunseling serta AUS$31.2 juta (AS$22.7 juta) untuk perkhidmatan jangka panjang bagi kesihatan mental.

    “Kami tidak boleh memandang rendah soal kesihatan mental jangka panjang yang akan dihadapi komuniti. Kerajaan akan memantau dengan teliti keadaan untuk memahami bantuan lain yang diperlukan orang ramai apabila mereka pulih daripada bencana ini,” kata Morrison. – AFP/Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...