Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Rumah takdir ‘markas’ pupuk perpaduan kaum

    GEORGE TOWN – Rumah Takdir. Itulah nama yang dipilih oleh bekas Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk rumah kediamannya selepas bersara sebagai pemimpin nombor satu negara pada tahun 1970.

    Rumah dua tingkat itu dibeli pada harga RM180,000 menggunakan wang ganjaran yang diperoleh bagi tempoh berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

    Pada asalnya rumah itu terletak di No 16, Ayer Rajah Road, Pulau Tikus di sini, namun nama jalan ditukar kepada Jalan Tunku Abdul Rahman sebagai pengiktirafan kepada Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu itu.

    Rekaan klasik kediaman bertemakan ‘reka bentuk Inggeris’ di tanah berkeluasan sekitar 19,651.07 meter persegi ini cukup cantik bukan sahaja ruang dalaman tetapi juga bahagian luarnya.

    Semua ruang dalaman dicat warna putih, lantai berwarna coklat dan dari segi hiasan dinding, kebanyakannya gambar semasa Almarhum Tunku bersama pemimpin dan rakyat, sewaktu menjadi Perdana Menteri.

    Untuk bahagian luar rumah, terdapat kawasan lapang berumput dan beberapa pokok di sekeliling rumah. Kebiasaannya kawasan lapang dijadikan tempat berkumpul orang ramai pelbagai kaum dan majlis yang diadakan.

    Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. – Wikipedia
    Rumah Takdir, nama yang dipilih oleh bekas PM pertama Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj setelah bersara. – Bernama

    Himpun pelbagai kaum
    Berkongsi sejarah Rumah Takdir, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff memberitahu Bernama, beliau antara rakan terdekat yang menyaksikan bagaimana Rumah Takdir menjadi saksi serta ‘markas’ Almarhum Tunku menyemai semangat perpaduan kaum.

    Mohd Yussof yang ketika itu berusia sekitar 50an berkata, beliau sering dipanggil ke rumah berkenaan untuk beberapa urusan antaranya berkaitan buku dan artikel dalam akhbar, malah sering melihat masyarakat dari pelbagai kaum datang khusus untuk berjumpa dengan Almarhum Tunku.

    “Selepas Tunku bersara, beliau memilih untuk tinggal di Pulau Pinang kerana bagi Tunku, negeri ini begitu dekat dengan hatinya. Beliau pada mulanya tinggal di sebuah rumah teres di Western Close namun selepas itu ditawarkan oleh seorang rakannya sebuah rumah di Ayer Rajah Road.

    “Ketika itu Almarhum Tunku baru sahaja menerima ganjaran atau sagu hati daripada kerajaan selepas bersara sebagai perdana menteri dan beliau terus membeli rumah berkenaan dengan menamakannya Rumah Takdir,” katanya.

    Tidak pernah sunyi
    Rumah Takdir tidak pernah sunyi kerana selain dijadikan sebagai ‘pusat pertemuan’ pelbagai kaum, ia juga sering menjadi lokasi pertemuan Almarhum Tunku dengan pemimpin besar dalam dan luar negara.

    Menurut Mohd Yussof, Almarhum Tunku sentiasa menyambut baik kehadiran orang ramai tanpa mengira batas kaum dan agama ke rumahnya.

    “Paling meriah pada setiap 8 Februari kerana masyarakat berbilang kaum datang dengan masing-masing mengenakan pelbagai fesyen pakaian dan membawa banyak juadah untuk sama-sama meraikan sambutan hari ulang tahun kelahiran Almarhum Tunku.

    “Tunku juga sebenarnya sangat gembira kerana Rumah Takdir itu antara lain menjadi tempat memupuk semangat perpaduan kaum. Jika ada sebarang keraian atau majlis, Almarhum akan menyampaikan ucapan mengingatkan supaya masyarakat terus sentiasa bersatu hati.

    “Almarhum juga mahu orang ramai daripada pelbagai kaum sentiasa ingat bahawa menerusi perpaduan kaumlah negara ini dapat mengecap nikmat kemerdekaan. Mereka harus menerapkan nilai perpaduan tersebut sehingga ke anak cucu supaya ia menjadi kekuatan negara,” katanya.

    Mohd Yussof menambah, ketika itu, masyarakat memang mementingkan perpaduan dan masing-masing bertolak ansur antara satu sama lain dalam usaha memastikan negara terus maju dan bebas daripada cengkaman penjajah.

    Melihat sejarah Rumah Takdir, beliau berpendapat adalah wajar sekiranya kediaman itu dijadikan sebagai ‘Rumah Perpaduan’ kerana di situ lahirnya penyatuan kaum dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang sekian lama diterapkan oleh Almarhum Tunku.

    Beliau dimaklumkan rumah itu yang diwarisi oleh anak Almarhum dijual kepada seorang pembeli sebelum dibaiki di bahagian dalamnya kerana lama tidak didiami.

    Menjadi harapan beliau agar Kerajaan Pusat mengambil pendekatan untuk membeli daripada pemilik berkenaan dan memulihara Rumah Takdir bagi memperingati jasa dan pengorbanan Almarhum Tunku.

    “Kediaman itu merupakan peninggalan Almarhum yang perlu dipelihara demi memperingati pengorbanan Almarhum kepada negara suatu ketika dahulu malah ia adalah tempat berkumpul masyarakat dalam usaha memupuk perpaduan kaum,” katanya menambah, kediaman berkenaan menjadi pilihan kediaman Almarhum Tunku sebelum mangkat pada tahun 1990.

    Lokasi mualaf berkumpul
    Sementara itu, aktivis warisan Khoo Salma Nasution pula berkata, beliau difahamkan Rumah Takdir turut menjadi lokasi berkumpul mualaf.

    Menurut beliau, Almarhum Tunku yang turut dikenali sebagai ‘Bapa PERKIM’ iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia sentiasa menjadi tumpuan mualaf dan Rumah Takdir itulah tempat mereka berkumpul selepas Tunku bersara.

    “Selain rumah perpaduan, rumah berkenaan juga adalah tempat mualaf berkumpul untuk bertemu Tunku bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa, jadi saya berpendapat kediaman itu perlu dikekalkan sebagai rumah warisan.

    “Kediaman itu perlu terus menjadi lambang perpaduan kaum kepada semua masyarakat terutama untuk generasi muda supaya mereka tahu kejayaan sekarang ini adalah hasil perpaduan kaum generasi terdahulu,” katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang.

    Selain terdapat cadangan untuk menjadikan Rumah Takdir sebagai muzium, baru-baru terdapat laporan yang menyebut kediaman itu juga dibuka untuk jualan pada harga RM62 juta dan boleh disewa pada harga RM25,000 sebulan oleh pihak persendirian mahupun organisasi. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...