Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Sama-sama berperanan lahir rakyat berpendidikan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Institusi pendidikan dan persekolahan swasta juga sama berperanan seperti institusi pendidikan dan persekolahan kerajaan dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya seperti yang dihasratkan
    dalam Wawasan Brunei 2035.

    “Bagi mencapai wawasan 2035, kita juga menyatakan azam untuk bersatu padu dalam tiga perkara iaitu kesetiaan kepada sultan dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam, dan keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik.

    “Ketiga-tiganya telah dimaktubkan serentak seiring dengan wawasan yang dihasratkan,” tekan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Institut KEMUDA ke-7 di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.

    Menurutnya lagi, tiga perkara itu menjadi paksi utama kenegaraan. Ruh atau semangatnya telah membudaya dalam kehidupan kita bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

    “Maka ia perlu dilestarikan. Ia perlu dipupuk dikembangkan menerusi pendidikan.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menyampaikan ucapan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Oleh yang demikian semua institusi pendidikan, swasta dan kerajaan, tentu sama berperanan menanam dan memupuk kesedaran dalam kalangan murid dan pelajar, generasi demi generasi, terhadap ketiga-tiga aspek paksi kenegaraan kita itu,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Institut KEMUDA, katanya lagi, adalah sebuah institusi pendidikan swasta yang sudah bergiat lebih 30 tahun dengan menyediakan peluang dan ruang pengajian yang juga bermutu tinggi.

    Selain itu kursus atau pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi swasta adalah dalam bidang-bidang kemahiran yang diperlukan oleh sektor-sektor pekerjaan dan majikan swasta.

    Dalam hal itu, Institut KEMUDA yang bekerjasama dengan Cambridge, United Kingdom, konsisten menawarkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat iaitu suatu bidang ilmu yang pesat berkembang yang perlu sama dipelajari dan dikuasai.

    “Maksud mempelajari dan menguasai ilmu dan kemahiran teknologi maklumat itu setentunya institusi-institusi pendidikan swasta sama berperanan seperti institusi pendidikan kerajaan kerana masing-masing menampung semua murid dan pelajar dalam semua peringkat persekolahan dan pengajian,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

    Sebagai landasan, menurut beliau, adalah suatu panduan dan peringatan bahawa negara yang dihasratkan maju dengan rakyatnya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi dan berjaya, berkehidupan yang berkualiti tingi dengan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan seperti yang dihasratkan itu adalah rakyat dan negara Brunei yang kukuh pada landasannya iaitu bersatu padu dalam kesetiaan kepada raja dan negara, meyakini nilai-nilai Islam dan memelihara keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...