Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Sekuriti tenaga perlu dipertingkatkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Industri minyak dan gas terus melalui perubahan besar yang tidak ada penghujungnya disebabkan oleh kemajuan pesat dalam teknologi, peningkatan tekanan masyarakat dan peristiwa global yang mengganggu.

    Oleh itu, kita telah menyaksikan negara-negara meningkatkan penekanan terhadap sekuriti tenaga, melihat kepada mengimbangkan mampu milik, ketersediaan dan penerimaan, jelas Pengarah Teknikal Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dr Erik Legius dalam pembentangan ucaptama bertajuk What the Caterpillar Calls the End, the Rest of the World Calls a Butterfly, semasa Forum Kejuruteraan Petroleum 2022 (PEF 2022) yang berlangsung di Dewan Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Forum yang dianjurkan oleh BSP dengan kerjasama UBD itu telah dilancarkan oleh Pemangku Naib Canselor UBD, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra. Dihadiri oleh pelajar-pelajar daripada institusi pengajian tinggi Brunei, ia bermatlamat untuk meningkatkan dan melengkapi pembelajaran mereka di dalam bilik darjah dengan ilmu pengetahuan dunia sebenar.

    Dr Erik Legius dalam pembentangannya juga mengongsi mengenai persoalan utama yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas dalam persekitaran yang huru-hara untuk memastikan keseimbangan yang tetap serta bagaimana persoalan yang sama dikaitkan kepada Brunei dan bagaimana pilihan berkenaan akan membawa kepada lebih banyak perubahan pada masa hadapan. Sementara itu, pembentang ucaptama bertajuk UBD Geosciences Past, Present and Future: Way-Forward for UBD-BSP Collaboration, Profesor Madya dan Ketua Program Geosains, UBD, Dr Mohd Aminul Islam mengongsi mengenai perkembangan program geosains di UBD dan kolaborasi bersama BSP yang telah membantu mengembangkan program berkenaan.

    Beliau turut mengongsi mengenai harapan bagi kolaborasi lanjutan di antara UBD dan BSP khususnya dalam menangani cabaran-cabaran baharu termasuk Revolusi Industri 4.0, pendigitalan dan teknologi hijau. Manakala itu, Ketua Peralihan Tenaga, BSP, Shirley Sikun dalam pembentangan ucaptama bertajuk Preparing for an Integrated Energy Landscape, menyentuh mengenai tenaga sebagai bahagian penting dalam kemajuan, inovasi dan kehidupan termasuk mengongsi dapatan daripada prospek tenaga ASEAN, baru-baru ini, yang menunjukkan bahawa bahan api fosil diunjurkan untuk terus membekalkan kebanyakan permintaan tenaga serantau.

    Namun begitu, peralihan kepada tenaga lebih bersih terus menjadi satu keutamaan disebabkan oleh Perjanjian Paris, di mana kesemua negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam merupakan penandatangan kepada perjanjian berkenaan. Dalam hubungan itu, industri minyak dan gas harus menjadi nadi kepada penyelesaian bagi perubahan iklim dan kita semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Terdahulu, Ketua Jurutera Petroleum BSP, Gert-Jan Mohammed Ziad Reijnders dalam kata alu-aluannya menekankan bahawa kolaborasi erat antara BSP dan universiti serta politeknik menjana peluang bagi para pelajar menubuhkan rangkaian serta menjadikan mereka bersedia untuk masa hadapan di mana mereka akan dapat mengenal pasti jurang yang perlu mereka rapatkan.

    Beliau turut memberikan penekanan mengenai tiga perkara penting iaitu kreativiti, rasa ingin tahu dan pemikiran kritikal dalam menangani serta mengharungi perubahan dalam industri minyak dan gas. Melalui forum berkenaan, BSP berharap untuk memastikan perkongsian strategik amalan industri terbaik dengan pelajar bagi menyediakan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kurikulum akademik mereka dan apabila mereka memasuki tenaga kerja nanti.

    Semasa forum sehari berkenaan, jurutera petroleum BSP, ahli geosains dan rakan kongsi perniagaan BSP telah berkongsi pelbagai maklumat dan pembentangan dengan para pelajar serta peserta forum mengenai trend penyelidikan dalam bidang geokimia, pengurusan data serta Carbon Capture and Storage (CCS).

    Dr Erik Legius membentangkan ucaptama bertajuk, What the Caterpillar Calls the End, the Rest of the World Calls a Butterfly, semasa PEF 2022 yang berlangsung di UBD.
    Antara yang menyertai PEF 2022 yang berlangsung di Dewan Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...