Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    SMARTER Brunei lancar karnival mini

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Pelbagai usaha telah dilakukan dalam memberikan akses pendidikan dan peluang pekerjaan kepada mereka yang mengidap autisme agar golongan berkenaan dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

    Ke arah itu, SMARTER Brunei menganjurkan Mini Carnival Fun Fair SMARTER yang berlangsung dua hari bermula hari ini di Pusat EDGE SMARTER, Kampung Mata-Mata, Gadong.

    Acara tersebut merupakan salah satu aktiviti SMARTER selain pelancaran Kafe BJAK yang diadakan pada Jun 2021 bagi menangani diskriminasi dalam peluang pekerjaan untuk orang dewasa yang menghidap autistik.

    Hadir melancarkan karnival mini berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohammad.

    Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang semasa berucap pada majlis berkenaan berkata, ramai individu autistik masih menghadapi cabaran yang sama untuk berintegrasi ke dalam masyarakat, walau bagaimanapun, mereka dapat mengadaptasikan situasi berkenaan dengan baik.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan pelancaran karnival mini dua hari berkenaan.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sijil kepada penerima pada majlis pelancaran karnival mini yang berlangsung di Pusat EDGE SMARTER, Kampung Mata-Mata, kelmarin.

    Beliau menyeru agar semua pihak memahami dan mengetahui lebih banyak tentang autisme dan memberikan ruang serta peluang untuk mereka, dan mengamalkan kebaikan di samping menggalakkan ibu bapa mendapatkan intervensi awal untuk anak-anak mereka jika perlu.

    Menurut beliau lagi, pada ketika ini, SMARTER Brunei telah mengendalikan tiga pusat dan menjaga seramai 115 individu autisme daripada semua peringkat umur yang berdaftar di seluruh negara dengan sokongan lebih 40 orang kakitangan yang berpengalaman dalam bidang berkenaan.

    Maka dengan itu, bagi memastikan SMARTER Brunei beroperasi secara berterusan, ia memerlukan sekurang-kurangnya bajet minimum sebanyak $50,000 setiap bulan.

    Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan ia merupakan satu perjuangan yang amat mencabar untuk mendapatkan jumlah yang diperlukan secara konsisten setiap bulan,
    ujar beliau.

    Menurutnya lagi, kemunculan penularan virus COVID di negara ini telah memberi kesan kepada organisasi berkenaan, yang secara tidak langsung menyebabkan gangguan kepada aktiviti harian dan perkhidmatan di pusat-pusat yang menjadi tumpuan kanak-kanak autisme.

    Oleh itu, ujar beliau lagi, dengan sokongan yang ada daripada pelbagai pihak, terutamanya melalui pengumpulan dana secara langsung, ia dapat memberi manfaat dan memastikan organisasi tersebut terus berfungsi untuk lebih lama lagi dan sentiasa mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada individu autisme.

    Karnival berkenaan merupakan acara kebajikan yang diisikan dengan pelbagai aktiviti dan disertai oleh warga SMARTER, ibu bapa, dan orang ramai.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...