Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pengalaman sendiri jadi inspirasi perniagaan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tidak dapat dinafikan, setiap penyakit itu pasti ada penawarnya kecuali kematian, dan atas izin Allah SWT juga seseorang itu akan dapat sembuh daripada penyakitnya.

    Begitulah yang dialami Dayang Nurul sendiri, yang pernah mengalami masalah kulit sejak zaman sekolah lagi dan menghidapi alahan yang teruk di wajah selama berbulan-bulan sekitar tahun lepas, namun dengan izin Allah SWT kini insan ini begitu mensyukuri nikmat kesembuhannya sehingga ke detik ini dengan pengamalan lulur.

    Dayang Nurul ketika berkesempatan ditemui penulis, mengongsikan pesanan begitu berharga bersulam kasih-sayang seorang nenek suatu ketika dahulu bagi dirinya yang sering mengingatkan mengamalkan air beras untuk mencuci muka sekali gus merawat masalah kulit

    “Dari situlah terdetik hati ini untuk berkongsi petua alami orang-orang tua kita kepada insan-insan yang senasib dengan diri ini terutamanya yang mengalami masalah kulit.

    “Pada saat itu juga saya mula mencari dan menerokai kebaikan beras untuk dijadikan bahan lulur secara peribadi terutamanya pembelajaran daripada para penjual lulur yang berpengalaman di negara ini.

    “Selama sebulan saya mencuba sendiri dan hasilnya semakin pulih maka dari situlah saya memberanikan diri untuk mula memperkenalkannya kepada lingkungan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sehingga ke detik ini respon begitu memberangsangkan oleh para penggemarnya,” ujarnya tulus yang mula berjinak-jinak dalam mewarnai bidang keusahawanan kecil-kecilan sekitar penghujung tahun lalu menerusi platform media sosial dengan nama Lulur Mahkota Tiara.

    Lulur yang sudah diproses menjadi serbuk yang halus siap untuk dibungkus.
    Dayang Nurul ketika berkesempatan ditemui penulis.
    Terdapat tiga jenis lulur iaitu Lulur Mutiara, Lulur Ratu dan Masker Permata yang secara amnya memiliki manfaat yang tersendiri yang dijual oleh Dayang Nurul.
    Beras merupakan bahan utama dalam produk lulur keluaran Dayang Nurul yang dianggarkan proses penghasilan ketiga-tiga produk lulurnya mengambil masa dua hingga enam jam.

    Memiliki manfaat alami tersendiri

    Dayang Nurul yang menetap di Kampung Mata-Mata kini mengusahakan produk lulur beliau secara sampingan. Terdapat tiga jenis lulur iaitu Lulur Mutiara, Lulur Ratu dan Masker Permata yang secara amnya memiliki manfaat yang tersendiri.

    Antaranya bagi mengecutkan jerawat, mengecilkan pori-pori, melambatkan penuaan, memutihkan dan menyegarkan kulit wajah dan badan; dan juga menghilangkan bau badan.

    Dalam meniti perusahaan ini, beliau turut dibantu oleh ahli keluarga lain dalam menghasilkan produk lulur ini yang kesemuanya menggunakan bahan-bahan alami seperti kunyit di samping beras sebagai bahan utamanya. Proses penghasilan ketiga-tiga jenis produk berkenaan dalam anggaran masa dua hingga enam jam dalam sehari sehingga terhasilnya serbuk lulur yang halus.

    Menyentuh mengenai cara penggunaannya, pengusaha lulur yang kini berusia 35 tahun ini menjelaskan ringkas dengan mengambil serbuk lulur yang dicampur air secukupnya kemudian dibiarkan selama seminit hingga lima minit agar ia sebati sebelum di sapukan pada kulit wajah dan juga anggota badan sehingga kering kira-kira 10 minit dan akhirnya dibilas dengan air bersih.

    “Perlu diingatkan sapuan lulur pada bahagian wajah sebaik-baiknya digunakan sebanyak empat kali seminggu manakala pada anggota badan boleh dilakukan setiap hari,” tambahnya.

    Jangan takut mencuba

    Berkongsi pengalaman sebagai pengusaha, meski pun masih baharu lagi namun Dayang Nurul bersyukur dengan menerokai bidang ini mengajar erti semangat berdikari dalam mencari rezeki yang halal dalam kehidupan sehari-hari bersama ahli keluarga yang lain.

    “Terbuka minda dengan nilai-nilai kreatif, itulah antara kemahiran yang diperoleh sepanjang menjalankan perusahaan ini kerana segalanya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh bukan hanya berteraskan kuantiti penghasilan produk namun ketelitian dalam memenuhi kualiti adalah paling mustahak.

    “Percaya kepada diri sendiri apabila ingin melakukan sesuatu. Untuk menjadi pengusaha buanglah sifat malu dan jangan takut untuk menimba pengetahuan dari hari ke hari serta minta tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman,” ucapnya di akhir pertemuan.

    Beliau turut menaruh harapan suatu hari nanti dapat menembusi pasaran di luar negara dan mampu membantu lebih ramai lagi golongan agen dalam kalangan anak-anak tempatan untuk sama-sama mencari pendapatan dalam kehidupan sehari-hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...