Sunday, April 28, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Tempoh kuarantin pengembara dikurangkan kepada seminggu

    PHNOM PENH, 21 APRIL – Kemboja hari ini mengurangkan syarat tempoh kuarantin dari dua minggu kepada seminggu bagi pengembara yang belum mendapatkan vaksinasi lengkap, diumumkan selepas negara itu secara konsisten mencatatkan jumlah kes jangkitan yang rendah dalam masa beberapa hari kebelakangan ini.

    Kementerian Kesihatan turut berkata pengembara yang tiba melalui laluan udara namun belum mendapatkan vaksinasi lengkap mereka mesti menjalani ujian pantas antigen (ART) pada hari terakhir tempoh kuarantin. Ketibaan melalui darat – kebanyakannya pekerja Kemboja di negara jiran – dimestikan untuk melakukan ujian ART semasa ketibaan dan pada hari terakhir kuarantin.

    Kemboja sudah membuka sempadannya bagi pengembara yang sudah lengkap divaksinasi sejak 15 November dalam usaha untuk merancakkan semula ekonomi negara yang bergantung kepada pelancongan.

    Perubahan diumumkan hari ini dibuat kira-kira sebulan selepas satu lagi pelonggaran sekatan berkaitan pandemik bagi pengunjung dari luar negara, termasuk membatalkan ujian COVID mandatori bagi pengembara yang sudah lengkap divaksinasi. Visa ketibaan turut dikembalikan bulan lalu.

    Sebelum pandemik, Kemboja membangunkan industri pelancongannya menjadi sebuah sumber pendapatan yang penting, dan pada 2019 negara itu mengalu-alukan 6.61 juta pengunjung luar yang membelanjakan kira-kira AS$5.31 bilion, hampir 20 peratus dari KDNK negara, menurut statistik Kementerian Pelancongan.

    Kementerian kesihatan hari ini melaporkan 29 kes baharu COVID, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu kepada 136, 146 kes sejak pandemik bermula, termasuk 3,056 kematian.- AP

    Kemboja telah mengurangkan syarat tempoh kuarantin dari dua minggu kepada seminggu bagi pengembara yang belum mendapatkan vaksinasi lengkap.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...