Tuesday, May 21, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Teruja bertemu pemain legenda EPL

    Oleh James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Peminat-peminat kelab bola sepak Manchester United dan Liverpool di Brunei hari ini berpeluang bertemu pemain legenda kedua-dua kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan semasa sesi Meet and Greet imagine Football Fiesta di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei.

    Pemain-pemain legenda EPL yang hadir pada sesi tersebut ialah Jermaine Pennant, Phil Babb, David Thompson, Luis Garcia, John Durnin, Emile Heskey, Vladimir Smicer, Patrik Berger yang merupakan legenda-legenda Liverpool.

    Manakala itu, dari Manchester United ialah David May, Dimitar Berbatov, Paul Rachubka, Erik Nevland, Eric Djemba-Djemba, Benjamin Thornley, Daniel Webber dan Wes Brown.

    Peminat-peminat bertanya kepada pemain-pemain legenda tersebut sama ada Messi atau Ronaldo pemain kegemaran mereka. Majoriti menyebut Messi namun mereka juga mengiktiraf kehebatan kedua-dua pemain di atas padang.

    Salah seorang peminat bertuah yang bertemu dengan pemain-pemain legenda berkenaan ialah peminat tegar Liverpool, Pengiran Haji Reza Redzuan bin Pengiran Haji Rani.

    Pengiran Haji Reza Redzuan berswafoto bersama pemain legenda Liverpool, Vladimir Smicer dan Patrik Berger. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Awang Hafizan dan isteri, Dayang Shazwani. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam temu bual, Pengiran Haji Reza Redzuan berkata bahawa beliau sangat teruja untuk berada di sana untuk bertemu dengan legenda EPL.

    “Ia adalah peluang keemasan untuk diri saya sendiri. Saya pernah ke Anfield tetapi tidak dapat mendekati pemain istimewa Emile Heskey. Beliau adalah idola saya. Saya bermain bola sepak kerana dia. Dia menunjukkan bahawa lelaki besar pun boleh bermain bola sepak dengan baik,” ujarnya.

    Peminat Liverpool sejak zaman kanak-kanak itu berkata, “Musim ini, saya menaruh harapan tinggi bahawa kami boleh menjadi juara liga tetapi apabila mereka tewas tiga perlawanan dan satu seri, kini kami hanya boleh berharap Manchester City dan Arsenal akan kehilangan mata dalam perlawanan akan datang.”

    Sementara itu, pasangan Awang Hafizan bin Hisham dan Dayang Shazwani binti Haji Shahibulbahri yang turut teruja bertemu legenda-legenda EPL berkenaan berkongsi rasa gembira dan teruja kerana dapat berada dekat dengan pemain EPL kegemaran mereka.

    Menurut Awang Hafizan, yang merupakan peminat Liverpool, beliau sangat gembira dapat bertemu dengan idolanya, Luis Garcia.

    “Dia adalah kegemaran saya kerana kemahiran bola sepaknya. Saya masih ingat golnya menentang Juventus semasa Liga Juara-Juara.”

    Beliau mengimbas semasa masih kanak-kanak sekitar lima tahun, ibu bapanya telah membelikannya jersi Liverpool, jadi dia dipengaruhi oleh ibu bapanya, yang mana bapanya juga seorang peminat Liverpool.

    Pasangan itu juga terlibat dalam klinik bola sepak kelmarin dan berkongsi ia adalah saat penting untuk kanak-kanak yang mengambil bahagian untuk memberi inspirasi untuk menjadi pemain bola sepak profesional masa depan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...