Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Usia bukan halangan terus belajar seni

    YECHEON, GYEONGSANG UTARA – Muzium Seni Sinpung yang kecil dan persendirian di Yecheon, Wilayah Gyeongsang Utara, dipenuhi dengan gelak tawa dan celoteh pelawat yang memecah kesunyian di sebuah perkampungan pertanian luar bandar dengan penduduk di bawah 1,500.

    Kampung ini terletak kira-kira dua jam setengah pemanduan ke tenggara Seoul, atau satu jam setengah dari Daegu, bandar terbesar berdekatan. Mungkin tidak ramai yang mengenali Muzium Seni Sinpung sekarang, tetapi ia telah mula mendapat pengiktirafan dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk artis tempatan yang tidak dijangka iaitu nenek-nenek Sinpung.

    Tiba dengan bergaya dengan menaiki skuter, menolak troli beli-belah mini atau dalam van putih, wanita warga emas semuanya kelihatan tersenyum dan teruja.

    Muzium Seni Sinpung menjemput 30 wanita berusia 70an hingga 90an ke kelas seni pada hari Rabu, memberi peluang kepada matron yang telah menghabiskan seluruh hidup mereka menjaga keluarga dan ladang mereka untuk merasai dunia seni.

    “Hari ini, kita akan melukis sesuatu yang berkaitan dengan musim luruh. Apakah jenis warna yang muncul di fikiran awda ketika menggambarkan tentang musim luruh? Awda boleh melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran,” kata pengarah Muzium Seni Sinpung, Lee Seong-eun, menandakan permulaan kelas.

    Lukisan akrilik bertajuk Throwing Away Hwatu, Drawing Hwatu, hasil karya Kim Kyeong-hee. – ANN/The Korea Herald
    Nenek-nenek Sinpung melukis dengan tema musim luruh semasa kelas seni. – ANN/The Korea Herald
    Beberapa orang warga emas mengecat dinding di sebuah kampung di Sinpung-ri, Yecheon, Wilayah Gyeongsang Utar. – ANN/The Korea Herald
    Lakaran bunga matahari dan rama-rama kelihatan satu dinding di di Sinpung-ri, Yecheon. – ANN/The Korea Herald

    Apabila kertas, pensel warna dan bahan seni lain diletakkan di atas meja, wanita yang berceloteh bertukar menjadi pelajar yang serius dan bersemangat. Walaupun goresan pastel mereka mungkin kelihatan tidak profesional, nenek-nenek Sinpung mula meluahkan gambaran mereka sekali gus, tanpa teragak-agak.

    “Sekolah Seni untuk warga emas kami bermula sebagai program pendidikan seni pada 2010. Semuanya bermula dengan keputusan mengikut suami saya, yang ingin menjaga ibunya di Sinpungri, Yecheon, 12 tahun lalu,” kata Lee kepada The Korea Herald.

    Program ini bertujuan sebagai satu bentuk terapi seni.

    “Selepas memulakan kehidupan baharu di kampung kecil itu, saya menyedari bahawa ramai di kalangan orang hal-mae (‘nenek’ dalam bahasa Korea) mengalami kemurungan. Mereka hanya tahu menyimpan emosi mereka dalam diri tanpa menyatakan dalam bentuk lain. Dan seorang halmae tua meninggal dunia kerana membunuh diri. Saya benar-benar mahu membantu mereka,” kata Lee.

    Lee, yang mengambil jurusan pendidikan seni dan sejarah, menawarkan pelbagai pengalaman seni untuk pelajar, daripada kraf tangan hingga lukisan akrilik. Program ini mempunyai masa makan tengah hari, lawatan lapangan dan tempoh percutian, seperti sekolah biasa, menurut Lee, yang menekankan kepentingan makan tengah hari bersama.

    Menurut Lee, ramai wanita yang lebih tua di kampung itu seolah-olah menjadi sedikit acuh tak acuh terhadap makanan harian mereka. Waktu makan tengah hari menyediakan masa yang istimewa untuk mereka bertemu dengan rakan-rakan dan berkongsi cerita menarik.

    Walaupun ramai orang berasa berat hati untuk memasukkan waktu makan tengah hari dalam kelas seni, Lee berkata dia merasakan masa makan tengah hari menjadi intipati kelas seninya, membolehkan para peserta lebih bersikap terbuka. Pengarah dan dua orang penolong guru menyediakan makanan.

    “Saya menantikan hari Rabu, kerana kelas seni. Ia membawa saya kegembiraan yang besar dalam hidup saya.

    “Banyak perkara berlaku dalam seminggu, jadi saya tidak sabar untuk berkongsi cerita dengan halmae lain,” kata Kim Kyeong-hee, seorang nenek berusia 80an, memberitahu The Korea Herald.

    Kim dan rakan sekelasnya berkongsi bahawa satu pengalaman menarik ialah melukis arwah suami mereka, menyebut bahawa ia memberi mereka masa untuk mengimbas kembali rupa kekasih mereka pada masa lalu.

    “Saya mahu meningkatkan kemahiran melukis saya, tetapi tangan saya tidak bergerak seperti yang saya mahu. Jika saya belajar lebih lanjut tentang seni, saya mahu melukis sesuatu seperti Cheong Wa Dae. Masih belum terlambat untuk menjadi seorang artis,” kata seorang lagi wanita yang enggan dikenali.

    Karya nenek Sinpung telah dipamerkan di beberapa muzium, termasuk Muzium Seni Sinpung, yang mengejutkan pengunjung muzium dari semua peringkat umur.

    Lukisan akrilik bertajuk Throwing Away Hwatu, Drawing Hwatu dan 9-cheop Bansang menarik minat ramai penonton apabila mereka dipaparkan dalam rancangan televisyen termasuk Hometown Report (2021), World Trip (2021) dan The Backpacker Chef.

    Throwing Away Hwatu, Drawing Hwatu, memaparkan imej kad permainan Korea, menyatakan sisi suka bermain nenek, 9-cheop Bansang memaparkan hidangan Korea dengan sembilan lauk dan nasi, menyentuh hati ramai penonton untuk melahirkan rasa kasih sayang nenek kepada keluarga mereka yang tidak dapat menziarahi mereka semasa pandemik COVID.

    “Banyak kerajaan tempatan menghubungi saya dan Muzium Seni Sinpung untuk mengetahui program kami, percaya kelas seni menjadi cara untuk membawa kemeriahan ke kawasan luar bandar dan kampung.

    “Malangnya, kami sebenarnya tidak mempunyai kurikulum yang dirancang. Banyak perkara yang diimprovisasi bergantung kepada keadaan nenek-nenek berkenaan,” kata pengarah itu.

    “Kami melakukan pelbagai percubaan untuk berkongsi karya-karya nenek kepada khalayak lebih luas, termasuk dengan penggunaan teknologi realiti maya. Saya sangat gembira melihat halmae belajar cara untuk meluahkan pemikiran dan imaginasi mereka dengan seni.” – ANN/The Korea Herald

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...