Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    VinFast mula jual EV di Thailand

    BANGKOK, 27 MAC – Pengeluar kereta Vietnam, VinFast mengumumkan kelmarin ia merancang untuk menjual kenderaan elektriknya (EV) di Thailand dan berkata ia telah bekerjasama dengan pengedar kereta untuk membuka bilik pameran di negara itu.

    VinFast, yang hanya mula mengeksport EVnya tahun lepas, menghadapi persaingan sengit di Thailand daripada pembuat kereta China seperti BYD. Tesla juga baru-baru ini menyertai persaingan itu. Kesemuanya mempamerkan model terbaharu mereka di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok.

    Pasaran EV Thailand adalah kecil tetapi berkembang pesat, disokong oleh insentif dan subsidi daripada kerajaan. Negara dengan populasi lebih 70 juta itu merancang untuk menukar 30 peratus daripada 2.5 juta kenderaan yang dihasilkannya setiap tahun kepada EV menjelang 2030.

    VinFast berharap untuk mula menjual kedua-dua skuter elektrik dan SUV elektriknya di negara itu dalam tempoh dua bulan akan datang, beritahu Ketua Pegawai Eksekutif VinFast Thailand, Vu Dang Yen Hang, kepada The Associated Press.

    Butiran mengenai harga dan pembelian EV mungkin akan diumumkan pada akhir tahun ini.
    Thailand menyumbang 58 peratus daripada semua jualan EV di Asia Tenggara pada 2022, mendahului Vietnam dan Indonesia, menurut syarikat penyelidikan pasaran, Counterpoint Research. Tetapi pasaran EV kekal kecil, menyumbang hanya 0.5 peratus daripada jualan EV di seluruh dunia pada tahun 2022.

    Thailand cuba mengubahnya dengan insentif untuk mempromosikan pembuatan dan penjualan EV, seperti mengurangkan duti import dan membayar subsidi untuk menjadikan harganya lebih kompetitif.

    VinFast telah menetapkan sasaran untuk menjual keretanya di 50 pasaran di seluruh dunia menjelang akhir tahun 2024. – AP

    Vu Dang bergambar di hadapan kenderaan elektrik VF7 semasa Pameran Motor Bangkok ke-45 di Nonthaburi, Thailand, pada 26 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...