Friday, May 10, 2024
23 C
Brunei

    -

    Waspada dengan produk perapi gigi

    PARIS – Dengan menayangkan senyuman yang sempurna, pempengaruh kecantikan dalam talian telah terbukti mahir meyakinkan pengikut muda mereka bahawa mereka juga boleh memiliki gigi putih berkilauan, gigi rapi sempurna dengan harga murah, tanpa membazir banyak masa atau usaha.

    Namun produk pemutihan atau perapian gigi yang dipromosikan oleh pempengaruh ini – selalunya melalui iklan tajaan di platform media sosial seperti Instagram dan TikTok – boleh menimbulkan risiko jika digunakan secara salah, doktor gigi mengingatkan.

    Dan sesetengah syarikat yang mempromosi produk di rumah yang murah ini telah gagal memenuhi janji-janji manis mereka.

    Firma SmileDirectClub yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) secara agresif mengiklankan dalam talian untuk pendakap plastik yang dipakai setiap hari untuk merapikan gigi.

    Bagaimanapun, firma itu memfailkan kemuflisan pada bulan Disember, menyebabkan ramai pelanggan dalam perasaan bingung.

    Pendakap plastik yang dipakai setiap hari untuk merapikan gigi. – Freepik
    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Chantelle Jones, seorang warga Britain berusia 32 tahun yang membayar firma itu £1,800 (AS$2,300), hanya merapikan bahagian gigi atasnya dan tidak pernah menerima rawatan gigi bawahnya.

    “Saya tidak pasti sama ada saya akan mendapatkan semula wang itu,” katanya kepada BBC bulan lalu.

    Syarikat itu telah mengumumkan bahawa ‘jaminan senyuman sepanjang hayat tidak wujud lagi’, menasihati pelanggan untuk mendapatkan bantuan profesional.

    Disebabkan doktor gigi tidak memulakan proses itu, mereka ‘perlu memulakan segala-galanya dari awal’, beritahu pakar bedah pergigian Perancis, Genevieve Wagner kepada AFP.

    Jenis produk ini tidak digunakan semata-mata untuk tujuan estetik, kata David Couchat dari Persekutuan Ortodontik Perancis.

    “Menjajarkan beberapa batang gigi kacip boleh dilakukan dengan cepat tetapi terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan selepas itu tentang bagaimana seseorang akan menggunakan rahang mereka untuk mengunyah,” katanya.

    Ujian dalam talian mudah yang ditawarkan oleh produk berkenaan tidak dapat mengesan kehilangan tulang, kelonggaran gigi atau penyakit gusi, ujar Christophe Lequart, pakar bedah pergigian dan jurucakap Kesatuan Perancis untuk Kesihatan Mulut.

    Namun jika produk itu digunakan oleh pelanggan yang mengalami masalah sedemikian, ia boleh membawa kepada kerosakan jangka panjang yang serius, katanya.

    Produk lain yang dipromosikan oleh pempengaruh kecantikan dan kesihatan yang bersemangat termasuk jalur pemutihan gigi, pen, gel, lampu dan ubat gigi.

    Sesetengah produk ini dijual dalam talian pada harga serendah AS$20 – berbanding kemungkinan harga beribu-ribu untuk prosedur pemutihan yang dijalankan oleh doktor gigi.

    Bahan pemutihan aktif dalam kebanyakan produk berkenaan, sebatian kimia hidrogen peroksida, dikawal ketat di United Kingdom dan Kesatuan Eropah.

    Kepekatan hidrogen peroksida tidak boleh melebihi 0.1 peratus dalam produk tanpa preskripsi doktor di UK dan EU. Doktor gigi, bagaimanapun, boleh menggunakan atau menetapkan produk yang mempunyai kepekatan sehingga enam peratus.

    Namun ia tidak menghalang pempengaruh Perancis, Poupette Kenza daripada mempromosi Crest 3D Whitestrips, di mana ujian telah menunjukkan mengandungi sehingga 10 peratus hidrogen peroksida.

    Akhir tahun lalu, pihak berkuasa Perancis mendenda Kenza 50,000 euro (AS$55,000) kerana mempromosikan produk terlarang itu, yang kerap mendapat jutaan tontonan di TikTok di bawah hashtag seperti #crest3dwhite.

    Apabila digunakan dalam kuantiti yang banyak, hidrogen peroksida boleh memudaratkan – terutamanya jika digunakan pada lubang atau kaviti gigi dan gusi yang berpenyakit.

    Sebelum prosedur pemutihan, doktor gigi membersihkan gigi untuk menghilangkan sebarang warna kuning di permukaan, satu proses yang tidak berlaku untuk produk di rumah yang dibeli dalam talian.

    Pakar bedah pergigian, Lequart berkata bahawa menggunakan terlalu banyak produk ini boleh menyebabkan kerengsaan bahkan menyebabkan gusi susut – tanda amaran awal kehilangan gigi pada masa hadapan.

    Seorang pelanggan dalam talian berkata jalur Crest ‘mencerahkan gigi dengan ketara, sudah tentunya, tetapi memberikan sensasi yang teruk semasa memakan hidangan panas atau sejuk’.

    Lequart berkata ‘di rangkaian sosial, khalayak sasaran pada lazimnya agak muda dan mengambil berat tentang penjimatan’.

    Ini boleh membawa kepada potensi ‘kemudaratan dari segi kesihatan mulut’, tambahnya. Lequart memberikan amaran bahawa imej sebelum dan selepas pemutihan di media sosial sering diperkemas menggunakan Photoshop.

    Dan Couchat menegaskan bahawa pempengaruh yang mempromosikan produk berkenaan selalunya mempunyai venir porselin mahal untuk menutupi gigi asal mereka.

    “Mereka mengambil kesempatan atas sifat muda percaya orang ramai. Ia satu penipuan besar,” tambahnya.

    Venir ini juga popular dalam kalangan bintang Hollywood, inspirasi umum bagi ramai yang mengimpikan senyuman yang lebih putih. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Syarikat roti Jepun tarik balik produk berhubung penemuan badan tikus

    TOKYO, 9 MEI - Pengeluar roti dari Jepun, Pasco Shikishima Corp pada Rabu secara sukarela menarik balik kira-kira 104,000 paket jenama roti Chojuku selepas...