Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    3,581 anak yatim terima sumbangan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Seramai 3,581 orang anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menerima sumbangan sempena kedatangan bulan Syawal.

    Daripada jumlah berkenaan, 2,329 orang merupakan anak yatim yang berdaftar di Daerah Brunei dan Muara, 559 di Daerah Tutong, 533 di Daerah Belait dan 160 di Daerah Temburong.

    Majlis penyerahan derma anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui JAPEM dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) berkenaan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat bersama bagi menyampaikan derma ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Derma tersebut merupakan gabungan daripada Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara serta sumbangan BIBD pada tahun ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dalam majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara anak-anak yatim yang menerima sumbangan sempena kedatangan bulan Syawal. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Jumlah sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung Anak-Anak Yatim JAPEM adalah sebanyak $358,100, Tabung Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara sejumlah $34,935 dan BIBD berjumlah $179,050.

    Urus Setia Tabung Anak-anak Yatim sangat mengalu-alukan derma daripada orang ramai bagi sama-sama menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah pendaftaran kebangsaan.

    Dengan adanya sumbangan daripada orang ramai itu akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal selain meraih pahala yang berlipat ganda pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cemerlang BIBD kepada 11 orang anak yatim yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam Peringkat A dan O, Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) pada 2023.

    Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.

    Pelajar Cemerlang bagi Peringkat A ialah Dayang Nur Syahirah Najihah binti Mahmood, dan Dayang Najwa Batrisha binti Zul-Fadliy manakala Pelajar Cemerlang bagi Peringkat O ialah Dayang Nurul Alyssa Ataillah@Alyssa Vatsaloo binti Emran.

    Sementara itu, Pelajar Cemerlang bagi STPUB ialah Awang Amir Asyraf bin Haji Asmali, Dayang Wahidah binti Aji, Dayang Siti Nurul Mu’izzah binti Haji Mayadi, Dayang Mazidah binti Madeli, Dayang Siti Nurani Az-Zahraa’ binti Haji Wahid, dan Awang Muhammad Khairulasyar bin Rohaidin.

    Penerima Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan PSR ialah Awang Mohamad Waie Zhafran bin Mohamad Fauzi dan Awang Muhammad Hadi Zaqwan bin Mohamad Irwan.

    Beberapa orang anak yatim yang ditemui pada majlis berkenaan telah berkongsi rasa syukur kegembiraan mereka dengan sumbangan yang diberikan.

    Awang Mohd Aqil bin Zamree dari Rancangan Perumahan Negara Mengkubau melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diberikan yang sedikit sebanyak dapat digunakan untuk membuat persiapan Hari Raya nanti.

    Dayang Nourel Ain Abdur Rahman, pelajar Tahun 10 dari Sekolah Menengah Sayydina Abu Bakar turut mengucapkan terima kasih kepada pihak KKBS atas sumbangan yang diberikan.

    Bagi Awang Ahmad Abyad Naqiuddin bin Sofiyan, 11, pelajar Tahun 5 Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sumbangan yang diterima berkenaan merupakan kali kedua diterima yang mana seperti pada tahun sebelumnya, sebahagian sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli keperluan Hari Raya manakala selebihnya pula akan digunakan untuk persekolahan.

    Manakala itu, Awang Mohd Faris Syazani bin Haji Mohd Sofandi, 10, pelajar Tahun 5 bersekolah di Sekolah Rendah Rimba 3 pula berkata, sumbangan berkenaan akan diberikan kepada ibu dan digunakan untuk membeli barangan persekolahan dan juga Hari Raya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...