Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Forum bincang keselamatan dan kesihatan wanita

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Sumbangan wanita memainkan peranan yang penting dalam memastikan bahawa perkara-perkara yang berkaitan seperti dasar dan membuat keputusan berhubung dengan kesihatan serta keselamatan tempat kerja adalah komprehensif dan inklusif.

    Walaupun dari segi sejarah, bidang keselamatan dan kesihatan sering dilihat sebagai bidang yang didominasi oleh lelaki tetapi perubahan kepada kepercayaan dan harapan masyarakat telah menyaksikan ruang dibukakan bagi penyertaan wanita dalam bidang berkenaan.

    Oleh itu, kita tidak boleh leka kerana masih banyak yang boleh dan harus dilakukan untuk menyokong dan menggalakkan wanita dalam mencapai aspirasi dan memenuhi potensi penuh mereka.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib sebagai ahli Lembaga Pengarah SHENA dalam ucaptama pada Forum Memperkasa Wanita dalam Keselamatan dan Kesihatan yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Rekaan dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

    Beliau menyatakan lagi bahawa sebagai satu bangsa dan sejajar dengan wawasan 2035, terdapat usaha-usaha bagi memastikan peluang sama rata untuk kaum wanita ke arah pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta dalam mencapai keselamatan dan kesihatan bertaraf dunia.

    Menyentuh mengenai forum berkenaan, Hajah Farida berkata, ia mengetengahkan ahli panel wanita terkemuka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang meluas dalam bidang keselamatan dan kesihatan di mana ia akan meningkatkan kesedaran mengenai pertimbangan khusus bagi wanita dalam tenaga kerja serta kepada peranan organisasi dalam memastikan kesaksamaan jantina di tempat kerja.

    Beliau turut menyatakan bahawa forum berkenaan akan mengetengahkan perbincangan mengenai bidang keselamatan dan kesihatan sebagai laluan kerjaya bagi wanita.

    Hajah Farida turut menyatakan harapan forum itu bukan sahaja akan menggalakkan perniagaan dan organisasi untuk mempertingkatkan perlindungan kesihatan dan keselamatan wanita tetapi juga untuk memberikan inspirasi kepada wanita-wanita supaya menjadi sebahagian daripada inisiatif dan pasukan kesihatan dan keselamatan organisasi-organisasi berkenaan.

    Hajah Farida menyampaikan ucaptama semasa forum berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...