Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    7,200 dos vaksin diterima

    Oleh Sim Y. H. & Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Negara Brunei Darussalam telah menerima bekalan vaksin Moderna (Spikevax Bivalent Original/Omicron) sebanyak 7,200 dos kelmarin dan bekalan seterusnya dijangka akan tiba pada 25 dan 27 November nanti.

    “Vaksin bivalent ini digunakan sebagai dos penggalak bagi orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Ubat Negara Brunei Darussalam untuk digunakan di negara ini,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Penggunaan vaksin bivalent ini, katanya, juga mendapat kelulusan pihak berkuasa kawalan ubat dari beberapa negara lain seperti United Kingdom, Australia, Kanada, Singapura dan Kesatuan Eropah.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan dos penggalak sama ada dos ketiga atau keempat bolehlah menempah slot vaksinasi melalui aplikasi BruHealth.

    Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bermula hari ini, Kementerian Kesihatan akan melancarkan ciri Indeks Kesihatan dan Pemeriksaan Risiko dalam aplikasi BruHealth.

    Vaksin bivalent yang diterima pada 20 November. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    Ciri Indeks Kesihatan itu merupakan satu inisiatif bagi menghasilkan markah kesihatan keseluruhan yang khusus bagi setiap individu berdasarkan beberapa parameter perubatan dan saringan faktor risiko kesihatan.

    Khusus bagi ciri Indeks Kesihatan, satu kajian percubaan akan bermula hari ini dan akan berjalan selama sebulan yang mana kajian ini akan melibatkan 120 individu yang akan menerima notifikasi jemputan melalui aplikasi BruHealth masing-masing bagi menyertai kajian ini.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato semasa menjawab pertanyaan media mengenai vaksinasi kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga lima tahun, beliau memaklumkan ia belum lagi diperlukan buat masa ini.

    Jawatankuasa Penilaian Mengenai Vaksinasi mendapati risiko kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga lima tahun untuk mendapat jangkitan COVID-19 dengan kesan yang berat adalah tidak banyak.

    “Selain itu, manfaat yang diperoleh daripada vaksinasi juga tidak memberangsangkan berbanding dengan vaksinasi bagi kanak-kanak lima tahun ke atas,” jelasnya.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...