Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kes COVID catat peningkatan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Dalam tempoh 24 jam lalu, seorang pesakit COVID telah meninggal dunia namun tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Norma Baharu COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam dalam kesempatan yang sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan menunjukkan sedikit peningkatan di mana kadar purata harian kes pada minggu lepas ialah 649 kes sehari, berbanding 611 kes sehari pada minggu sebelumnya.

    Sebanyak 54,880 keputusan ujian antigen pantas (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 8.2 peratus adalah ujian ART yang positif.

    Sementara itu, sebanyak 702 kes baharu telah dilaporkan hari ini iaitu 693 kes hasil ujian ART dan sembilan kes hasil daripada 91 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Manakala itu, tiga kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala dua kes kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sehingga kelmarin, kadar liputan vaksinasi COVID kekal di tahap yang tinggi dengan 78.8 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.1 peratus juga telah mendapatkan dos keempat,” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan trend kes influenza dan jangkitan serupa influenza (ILI) pada minggu lalu terus menunjukkan penurunan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...