Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Anak muda ceburi bidang perniagaan minyak wangi

    Oleh Yusrin Junaidi

    Usahawan anak muda kini semakin berani dan kreatif dalam memilih perniagaan yang diceburi.

    Kalau dulu boleh dikatakan tidak ada anak muda mahu berkecimpung dalam jualan minyak wangi di tepi jalan atau di masjid-masjid tetapi kini mereka mampu menjadi penjual dengan membina jenama sendiri.

    Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman apatah lagi pengetahuan dalam bidang tersebut, ternyata ia bukan satu masalah besar kerana situasi itu masih boleh dipelajari sama ada melalui pengamatan, pengalaman atau internet.

    Begitulah yang dialami oleh Awang Abdul Hakiim Yaakof, 34 tahun seorang usahawan minyak wangi secara kecil-kecilan dengan mendatangkan minyak wangi daripada bahan gaharu dari luar negara khas dari tanah Arab.

    Semasa temu bual, beliau menyatakan mula berkecimpung dalam perniagaan minyak wangi sejak bulan Mac 2019.

    Awang Hakiim ketika menjual minyak wangi kepada jemaah masjid dan menerangkan tentang jenis minyak wangi.
    Pakej baharu untuk pelanggan vip.

    “Saya memulakan perniagaan ini di kawasan letak kereta Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop,“ ujarnya. Tambahan pula masjid tersebut sering dikunjungi beliau untuk beribadah.

    Dalam masa yang sama, beliau belum mempunyai sebarang pekerjaan dan hanya memikirkan konsep dan modal yang diperlukan untuk membeli minyak wangi, kerusi dan meja, lalu merealisasikan konsep berkenaan dengan modal yang beliau pinjam daripada bapa saudaranya.

    “Waktu itu, saya hanya menjual tiga jenis minyak wangi yang saya letakkan di atas meja,” katanya.

    “Pada mulanya, saya agak gementar melayan pelanggan kerana belum ada pengalaman langsung dalam bidang perniagaan apatah lagi saya secara peribadi seorang yang pemalu, tetapi Alhamdulillah setelah beberapa hari rasa gementar mulai hilang dan saya sangat senang hati melayan para pelanggan dan menerangkan jenis-jenis wangian yang ada,” jelasnya.

    “Matlamat saya ketika itu adalah untuk memberikan kesegaran haruman kepada jemaah masjid dengan wangian yang berkualiti dan harga mampu milik,” tambahnya.

    Potensi jualan

    Menyedari potensi jualan minyak itu, Awang Hakiim mula berkecimpung dalam jualan minyak wangi khasnya wangian untuk sembahyang sejak lima tahun lalu.

    “Memandangkan minyak wangi untuk kegunaan ketika solat berjemaah digemari ramai, saya secara kecil-kecilan cuba menjualnya secara dalam talian dan di luar perkarangan masjid. Alhamdulillah sambutan memang menggalakkan,” jelasnya.

    “Walaupun tidak semua masjid atau surau mengizinkan saya berniaga namun ada sebilangan pihak yang membenarkan dalam waktu-waktu tertentu sahaja,” ujar Abdul Hakiim ketika ditemui wartawan.

    Menurutnya, setelah beberapa tahun beliau berjaya menambah koleksi minyak wangi dan menetapkan harga mampu milik sekali gus beliau berjaya menaik taraf perniagaannya.

    Ketika ditanya mengenai minyak wangi yang dijual, menurutnya produk berkenaan memang sangat bernilai

    kerana ia didatangkan dengan kualiti terbaik, beliau sendiri cuba memberanikan diri untuk mencuba di dalam jualan minyak wangi yang dihasilkan oleh syarikat terkenal di tanah Arab.

    “Minyak wangi dari timur tengah ini saya dapatkan dari negara-negara seperti Arab Saudi, Dubai, India dan Asia,” jelasnya.

    Antara koleksi minyak wangi beliau yang terkini adalah attar-attar klasik yang sering dibawa pulang jemaah haji dan umrah. Beliau juga menjual minyak wangi yang dibuat secara asli dan murni seperti minyak gaharu dari Brunei, Borneo, Thailand dan Kemboja, dan juga minyak kasturi Himalaya.

    “Alhamdulillah sambutan sangat baik dan kebanyakan pembeli adalah dalam kalangan jemaah tetap yang sering beribadah di Masjid Mohamed Bolkiah dan juga jemaah yang singgah di masjid berkenaan,” ujarnya.

    Antara kenangan terpahit beliau adalah semasa COVID melanda dan masjid-masjid ditutup, menjejaskan perjalanan sekali gus membantutkan usahanya pada waktu itu, tambahan pula kawasan masjid ketika itu memang menjadi tapak untuknya berjual.

    Beliau tetap tabah mengharungi kesusahan pada waktu itu dengan mencari pekerjaan sementara sebagai mata pencarian untuk menyara keluarga, tetapi Alhamdulillah situasi semakin pulih dan masjid mula dibuka semula.

    Waima pun demikian, menurutnya perniagaan seumpama ini juga harus mengharungi pelbagai cubaan, beliau sering kali berdepan dengan cabaran cuaca namun itu bukanlah penghalang yang dapat mematahkan semangatnya untuk terus berniaga.

    Perniagaan berkonsep pop-up

    Selain menjual minyak wangi di masjid, beliau juga belajar memasarkan jualan secara dalam talian melalui media sosial seperti Instagram tetapi dalam dunia perniagaan wangian, konsep perniagaan pop-up beliau di kawasan letak kereta masjid ini adalah lebih berkesan daripada secara dalam talian kerana minyak wangi itu dapat dihidu secara langsung bagi menarik minat dan menambah kepuasan terhadap pembeli.

    Menyentuh mengenai waktu jualan, Awang Hakiim berkata, beliau beroperasi dalam waktu yang tidak menentu, kadang-kadang bermula dari waktu Asar hingga waktu Maghrib atau Maghrib hingga ke Isyak asalkan jualan beliau mendatangkan hasil walaupun sedikit, beliau tetap bersyukur. Di samping itu juga beliau harus menjaga anaknya yang mengidap penyakit autisme (non verbal) yang turut ikut berniaga.

    Menurutnya dalam dunia perniagaan pendapatan adalah tidak tetap tetapi Alhamdulillah, dia belajar bahawa dalam perniagaan minyak wangi, peniaga harus menyediakan pelbagai jenis pilihan minyak wangi kerana setiap pembeli mempunyai citarasa yang berbeza.

    “Memang pada awalnya, perniagaan ini tidak seberapa untuk menyara keluarga, namun setelah saya mendapatkan pelanggan-pelanggan tetap dan menaiktaraf perniagaan dari segi penampilan jenama saya iaitu Abdul Hakiim & Sons, dan juga koleksi wangian yang setiap bulan semakin bertambah, saya mendapati pendapatan juga semakin meningkat,” jelasnya.

    “Yang penting apabila kita menerima hasil pendapatan yang sedikit, kita harus bersabar manakala jika hasil pendapatan bertambah, kita bersyukur,” tambahnya.

    “Harapan saya adalah untuk menaiktaraf lagi usaha saya dengan mewujudkan tapak baharu yang tidak jauh dari tapak saya sekarang, di mana saya dapat membuka sebuah showroom untuk memaparkan koleksi minyak wangi kepada para pembeli.

    “Dengan penaiktarafan ini nanti saya tidak lagi perlu risau sekiranya keadaan cuaca memburuk,” ujar beliau.

    Keyakinan diri dan ketabahan beliau ini harus diberi pujian kerana beliau sanggup mengharungi segala kepayahan dan tanggung segala risiko apabila melibatkan diri dalam dunia perniagaan tanpa sebarang pengalaman.

    Kesungguhan beliau seharusnya dijadikan contoh terhadap anak-anak muda kini untuk tidak hanya bergantung kepada kelulusan semata-mata bagi mengharungi kehidupan pada masa hadapan.

    Awang Hakiim menerangkan kenapa dia terus melibatkan diri dalam dunia perniagaan dan mengatakan bahawa dia tidak suka bekerja hanya untuk mengejar gaji semata-mata dan bidang perniagaan merupakan satu bidang yang dianggap mencabar dan mengajar erti kesabaran yang tinggi untuk memperoleh sesuatu kejayaan.

    Di samping itu, pengusaha anak tempatan ini juga mencabar diri sendiri bagi memastikan apa yang diusahakannya tidak hanya separuh jalan.

    “Saya memilih untuk memasarkan produk berasaskan wangian kerana mempunyai prospek yang bagus dan boleh berjaya pada masa hadapan,” tambahnya lagi kepada media.

    “Dalam masa yang sama, saya amat meminati wangian. Sudah pasti apa yang diminati akan menjadikan kita lebih mengambil tahu dan ingin mempelajarinya,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...