Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    ‘Bagaimana rupa begitulah bayangnya’

    MANAMA – Ia adalah satu pemandangan luar biasa di negara konservatif Teluk, Bahrain, apabila menyaksikan seorang ibu muda di gelanggang bola keranjang tertutup memberikan arahan kepada pemain lelaki.

    Fatima Reyadh berjaya menepis prasangka untuk menjadi penolong jurulatih kelab bola keranjang Al-Najma di ibu negeri Manama – dan dia tidak mempunyai rancangan untuk berhenti pada tahap itu.

    Wanita berusia 33 tahun itu, yang juga memiliki tali pinggang hitam seni mempertahankan diri, memasang impian menjadi ketua jurulatih pasukan bola keranjang pada satu hari nanti dan seterusnya membawa pulang kejuaraan negara.

    “Apabila saya memulakan kerjaya saya, tahap penerimaan pada masa itu tidak sama seperti sekarang,” katanya semasa sesi latihan bersama anak perempuannya yang berusia tujuh tahun, juga mengikut sama dalam sesi itu.

    “Kehadiran wanita dalam sukan dilihat sebagai sesuatu yang pelik, terutamanya dalam sukan bola keranjang, yang dianggap hanya untuk kaum lelaki saja,” kata Reyadh, berpakaian dalam seluar ketat hitam dan kemeja-T longgar warna kelabu.

    Penolong jurulatih pasukan bola keranjang lelaki, Fatima Reyadh (tengah) memerhati semasa sesi latihan di stadium kelab di Manama. – AFP
    Fatima bergambar bersama anak perempuannya, Huma, sebelum sesi latihan. – AFP

    Fatima Reyadh bercakap dengan Nick Ward semasa sesi latihan untuk pasukan di stadium kelab di Manama. – AFP
    Fatima Reyadh mengambil bahagian dalam sesi latihan untuk pasukan bola keranjang Kelab Al-Najma di stadium kelab. – AFP

    “Timbulnya kebimbangan pada mulanya, tetapi menerusi kerja keras dan dedikasi, saya berjaya membuktikan bahawa keraguan mengenai keupayaan saya memimpin skuad adalah tidak berasas sama sekali.”

    Hari ini, dia memikirkan dirinya sama seperti ‘mana-mana jurulatih bola keranjang lain – saya menaruh keyakinan penuh pada diri saya.’

    Beberapa negara di rantau itu telah berusaha untuk melembutkan imej negatif yang menyelubungi wanita menceburi diri dalam bidang sukan yang didominasi pemain lelaki sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan mempromosi lebih ramai wanita dalam sektor tenaga kerja, seni dan sukan.

    Namun adalah sesuatu yang luar biasa melihat seorang wanita naik ke kedudukan tinggi, dan dalam kerajaan monarki konservatif di negara Teluk Arab, jawatan Reyadh adalah amat mengagumkan.

    Reyadh mewarisi minat mendalam dalam sukan itu daripada ibunya, yang membimbing skuad bola keranjang wanita. Ibarat pepatah, bagaimana rupa begitulah bayangnya.

    Dia bermula dengan melatih sepasukan budak perempuan, kemudian budak lelaki sebelum direkrut oleh kelab Al-Najma.

    Pemilihannya merupakan ‘satu keputusan yang berani dan pada masa yang sama agak menakutkan,’ beritahu pengarah teknikal kelab, Raouf Habil.

    “Komunikasi menimbulkan cabaran dan agak sukar pada mulanya dengan pemain, namun lama-kelamaan ia menjadi semakin lancar,” beritahunya kepada AFP.

    Masyarakat di Bahrain dianggap lebih bersikap terbuka berbanding negara Teluk yang lain.
    Angka rasmi menunjukkan wanita, yang membentuk 32 peratus daripada populasi aktif dari segi ekonomi, memegang 54 peratus jawatan perkhidmatan awam di antara tahun 2010 dan 2019.

    Daripada 24 menteri kerajaan, empat terdiri daripada wanita, walaupun tidak ada seorang pun yang memegang portfolio utama.

    Hussein Shaker, salah seorang pemain kelab Al-Najma, memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap jurulatih wanita pasukannya.

    “Fatima Reyadh amat berbakat dan dia merupakan satu contoh unggul wanita Bahrain yang berjaya,” katanya.

    Dia berkata dia berharap dapat melihat ‘lebih banyak contoh’ wanita bekerjasama dengan pasukan lelaki di negaranya, menekankan bahawa ‘saya menyokong seratus peratus wanita bergiat aktif dalam sukan.’ – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...