Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Banjir: Penduduk terkesan harga makanan melambung

    LAHORE, PAKISTAN, 30 OGOS – Malapetaka banjir akibat hujan monsun di Pakistan telah menyebabkan harga makanan melambung, mengakibatkan makanan asasi tidak mampu diperolehi oleh penduduk miskin ketika negara itu bergelut dengan kekurangan bekalan.

    Banjir telah menenggelamkan satu pertiga negara itu, mengorbankan lebih 1,100 orang dan menjejaskan lebih 33 juta orang penduduk. Kos pemulihan mungkin menelan lebih AS$10 bilion, menurut kementerian perancangan.

    Hujan – yang mula turun sejak Jun, dan berpunca daripada perubahan iklim – merosakkan sebahagian besar kawasan pertanian dan ladang padi. Beberapa bahagian di kawasan pergunungan di utara dan selatan terputus hubungan kerana jalan-jalan dan jambatan telah dihanyutkan.

    “Semua barang menjadi semakin mahal kerana banjir dan kami tidak mampu membeli apa-apa,” kata Zahida Bibi, yang pulang dari pasar di pusat bandar Lahore untuk membeli sayur bagi hidangan makan malam.

    Dia memberitahu AFP bahawa dia perlu melupakan niat untuk membeli barang masakan kerana tidak mampu membelinya gara-gara inflasi.

    Orang ramai beratur untuk mendapatkan makanan di bandar Dera Allah Yar selepas kejadian banjir akibat hujan monsun di Pakistan.- AFP

    “Apa yang boleh kami lakukan? Kami tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli bahan yang sangat mahal.”

    Bawang dan tomato – bahan penting dalam kebanyakan masakan Pakistan – adalah yang paling terjejas.

    Harga bagi kedua-dua bahan itu meningkat 40 peratus, menurut Biro Statistik Pakistan pada Jumaat.

    Tetapi kelmarin, Menteri Kewangan, Miftah Ismail berkata harga bawang meningkat lebih lima kali ganda dan kerajaan cuba untuk mengenakan dasar untuk menstabilkan harga makanan dengan segera – termasuk mengimport dari India.

    “Kami perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan sayur-sayuran dari negara jiran,” dia memberitahu penyiar Geo News.

    “Kami mesti melakukannya kerana keadaan harga dan kekurangan yang kita alami…Inflasi telah memberi kesan kepada penduduk.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...