Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Bas terjunam dari jambatan di Afrika Selatan, membunuh 45 orang

    CAPE TOWN, 29 MAC – Sebuah bas yang membawa jemaah menuju ke perayaan Paskah terjunam dari jambatan di laluan gunung dan terbakar di Afrika Selatan, kelmarin, mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, kata pihak berkuasa.

    Satu-satunya yang terselamat dalam nahas itu ialah seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, yang sedang menerima rawatan perubatan, menurut pihak berkuasa di wilayah utara Limpopo. Mereka berkata kanak-kanak itu cedera parah.

    Kerajaan wilayah Limpopo berkata bas itu melencong dari jambatan Mmamatlakala dan terjunam 50 meter (164 kaki) ke dalam gaung sebelum terbakar.

    Operasi pencarian sedang dijalankan, kata kerajaan wilayah, tetapi banyak mayat terbakar sehingga tidak dapat dikenali dan masih terperangkap di dalam kenderaan itu.

    Pihak berkuasa berkata mereka percaya bas itu dalam perjalanan dari negara jiran Botswana ke bandar Moria, yang menjadi tuan rumah ziarah Paskah yang popular. Mereka berkata, nampaknya pemandu itu hilang kawalan dan merupakan salah seorang yang maut.

    Menteri Pengangkutan, Sindisiwe Chikunga berada di wilayah Limpopo untuk kempen keselamatan jalan raya dan menukar rancangan untuk melawat tempat kejadian, kata Jabatan Pengangkutan negara. Beliau berkata siasatan sedang dijalankan mengenai punca nahas dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

    Kerajaan Afrika Selatan sering memberi amaran tentang bahaya kemalangan jalan raya semasa cuti Paskah, yang merupakan masa yang sangat sibuk dan berbahaya untuk perjalanan jalan raya. Lebih 200 orang maut dalam kemalangan jalan raya pada hujung minggu Paskah tahun lalu.

    Gereja Kristian Zionis mempunyai ibu pejabatnya di Moria dan ziarah Paskahnya menarik ratusan ribu orang dari seluruh Afrika Selatan dan negara jiran. Tahun ini adalah kali pertama ziarah Paskah ke Moria ditetapkan untuk diteruskan sejak pandemik COVID. – AP

    Bas yang membawa penumpang menuju ke perayaan Paskah terjunam dari jambatan di laluan gunung dan terbakar di Limpopo, Afrika Selatan, kelmarin, membunuh ramai orang, kata pihak berkuasa. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...