Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Berkongsi manfaat pendigitalan PMKS

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Bagi memanfaatkan pendigitalan dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengadakan sesi perkongsian SME360 semasa berlangsungnya Ekspo Produk Tempatan 2022 di Dewan BRIDEX, Jerudong, baru-baru ini.

    Sesi perkongsian bertemakan ‘Enabling Businesses Digitally’ telah menekankan kepentingan untuk perniagaan menjadi proaktif dan inovatif serta menggunakan pendigitalan demi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan PMKS.

    Sesi juga bertujuan mengongsikan perjalanan perniagaan dan kisah kejayaan empat orang pengusaha tempatan yang membina perniagaan di bawah bimbingan BIBD SME360.

    Mereka terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Go Mamam, Hadi Wahab; pengasas Al-Huffaz, Loqman Hamdan; Pengurus Besar, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Fiziq, Hafiz Talip; dan Pengarah Ladang, IAM Food, Ellin Chong.

    Semasa sesi itu, panel penceramah berkongsi cabaran mereka semasa kemuncak pandemik COVID termasuk isu-isu seperti gangguan rantaian bekalan, aliran tunai yang tidak stabil yang menjejaskan kestabilan syarikat, pengekalan tenaga kerja dan masalah logistik.

    Menyentuh mengenai perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Hadi Wahab berkata bahawa berlakunya situasi restoran semakin merundum di mana syarikat-syarikat kecil tampil berinovasi dan mencari cara yang berkesan untuk kekal bertahan.

    Menurutnya, pendigitalan memainkan peranan amat besar dalam membantu perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian memperkenalkan platform melalui laman web atau aplikasi mudah alih untuk memenuhi permintaan pesanan bawa pulang bagi memastikan operasi mereka stabil semasa wabak.

    Sementara itu, Loqman Hamdan juga menjelaskan bahawa pusat pendidikan Al-Quran ditubuhkan sebelum pandemik dan menghadapi tugas yang semakin mencabar untuk kekal bertahan ketika orang mengamalkan penjarakan sosial dan meminimumkan interaksi fizikal. Sehubungan itu, sekolah dan pusat pendidikan telah beralih kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian dan menekankan potensi digital dalam membantu mewujudkan model perniagaan yang kukuh dan mampan.

    Manakala Ellin Chong turut menyatakan keyakinan bahawa pertanian agri-tech akan mengalami pendigitalan pada masa hadapan dan bank akan berpeluang menyokong petani tempatan dalam perkembangan bidang tersebut.

    Bagi Hafiz Talip, beliau menekankan kepentingan bekerjasama dengan pengurus bank yang betul dan sistem sokongan perniagaan yang cekap seperti BIBD SME360 yang stabil, proaktif dan komited untuk memudahkan pertumbuhan PMKS tempatan.

    “BIBD juga berkongsi petua dan idea perniagaan serta memberi panduan kepada kami tentang cara mengembangkan perniagaan kami. Satu lagi faktor yang sangat diambil kira semasa bekerja dengan BIBD SME360 adalah perasaan ‘Bruneian at Heart’ yang menunjukkan kepercayaan mereka terhadap keupayaan kami untuk berkembang daripada perniagaan kecil kepada pertubuhan yang lebih besar,” tambahnya.

    Salah seorang pengusaha tempatan mengongsikan pengalamannya pada sesi SME360 yang berlangsung di Dewan BRIDEX, Jerudong, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...