Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Brunei MYCE tarik pasaran pelancongan MICE

    Oleh Sim Y. H.

    Dengan matlamat untuk menarik pasaran pelancongan MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Events) khususnya business travellers ke Negara Brunei Darussalam, Acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) akan diadakan selama lima minggu bermula 1 Jun hingga 2 Julai di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Brunei MYCE 2022 dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan, yang mana ia merupakan tahun kedua ia dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu di antara yang dikongsi semasa sidang media bagi mengongsi maklumat acara Brunei MYCE 2022 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Brunei MYCE 2022 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP, baru-baru ini.

    Turut hadir di sesi sidang media berkenaan ialah setiausaha-setiausaha bersama Jawatankuasa Brunei MYCE 2022 yang terdiri daripada rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), setiausaha tetap Kementerian Pembangunan, setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), setiausaha tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), naib canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), timbalan setiausaha tetap Kementerian Tenaga, wakil Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd dan beberapa pegawai kanan daripada agensi-agensi lain yang terlibat.

    Semasa sidang media berkenaan, Hajah Tutiaty menyatakan Brunei MYCE memfokuskan kepada acara-acara persidangan dan pameran yang menghimpunkan pakar-pakar dan pemain-pemain utama dari dalam dan luar negara dalam bidang-bidang tertentu.

    Sidang media Brunei MYCE 2022 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, baru-baru ini.
    Kluster Islamik dikekalkan sebagai kluster utama Brunei MYCE 2022 berikutan mengambil kira Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara MIB yang mengamalkan dan menitikberatkan ajaran-ajaran agama Islam dalam sistem pentadbiran negara.
    Kluster Teknologi Digital turut dikekalkan dalam Brunei MYCE 2022 kerana bertepatan dengan usaha negara ke arah transfomarsi digital di era Revolusi Industri 4.0.

    “Ianya adalah salah satu inisiatif bagi mencapai matlamat strategik Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP untuk menarik pasaran pelancongan MICE khususnya business travellers ke Negara Brunei Darussalam.”

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa objektif utama Brunei MYCE 2022 ialah untuk menggalakkan perkongsian ilmu, percambahan fikiran, pemberigaan penemuan-penemuan baharu dalam pelbagai bidang dan peningkatan aktiviti networking dan perniagaan di kalangan para ilmuan dan para pengusaha dari dalam dan luar negara, yang mana diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

    “Melalui penglibatan pembentang dan peserta dari dalam dan luar negara, maka inisiatif ini adalah selaras dengan visi Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), iaitu untuk meningkatkan jumlah pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan aktiviti-aktiviti perekonomian termasuk perhotelan, penerbangan, restoran, pengangkutan dan seumpamanya.” jelas Hajah Tutiaty lagi.

    Brunei MYCE 2022 membawa tema Inclusive, Resilient and Sustainable Economic Growth – Brunei Darussalam Perspective di mana acara-acara persidangan dan pameran akan berkisar dengan lima kluster utama iaitu Islamik, Teknologi Digital, Tenaga, Perubahan Iklim dan Ekonomi.

    Kluster pertama iaitu Islamik merupakan salah satu kluster Brunei MYCE 2021 yang dicadangkan untuk dikekalkan sebagai salah satu kluster utama Brunei MYCE 2022.

    Ini adalah mengambil kira Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB) yang mengamalkan dan menitikberatkan ajaran-ajaran agama Islam di dalam sistem pentadbiran negara yang turut memainkan peranan penting dalam membentuk budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini, maka Kluster Islamik adalah difikirkan sangat relevan dikekalkan dalam Brunei MYCE 2022.

    Kluster Teknologi Digital, merupakan salah satu kluster 2021 yang turut dikekalkan pada 2022, yang akan memfokuskan kepada aspek infokomunikasi, pengangkutan pintar dan industri kreatif.

    Ini adalah bertepatan dengan usaha negara ke arah transformasi digital di era Revolusi Industri 4.0, yang mana penekanan harus diberikan kepada pembudayaan/penggunaan teknologi digital di kalangan komuniti serta mempromosikan peluang-peluang perniagaan di dalam sektor teknologi digital. Peneraju utama bagi kluster ini ialah MTIC dengan kerjasama UTB serta beberapa syarikat di dalam sektor teknologi infokomunikasi (ICT).

    Kluster Tenaga, juga masih dikekalkan pada 2022. Ini adalah mengambil kira pencapaian negara dalam sektor minyak dan gas selama lebih 90 tahun yang memberikan negara ini kelebihan di segi pengalaman dan kepakaran teknikal antaranya dalam bidang penerokaan, penggerudian dan pengekstrakan, pemprosesan dan pengeluaran minyak dan gas.

    Selain daripada itu, banyak yang boleh dikongsikan dan dipelajari di segi cabaran dan strategi negara-negara pengeluar minyak dan gas ke arah pembangunan sumber tenaga yang bersih dan mampan. Peneraju utama bagi kluster ini ialah Kementerian Tenaga dengan kerjasama Brunei Shell Joint Ventures (BSJV) dan syarikat-syarikat lain di dalam sektor tenaga.

    Kluster Perubahan Iklim diketengahkan di mana perubahan iklim merupakan salah satu isu terbesar yang perlu ditangani oleh setiap peringkat masyarakat di seluruh dunia. Mengambil kira kelebihan negara ini yang komited dengan pemuliharaan hutan dan ekosistem.

    Dengan adanya Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi mengatasi fenomena pemanasan global, maka perubahan iklim itu difikirkan sesuai untuk diketengahkan sebagai salah satu kluster utama tahun ini. Peneraju utama bagi kluster ini ialah Kementerian Pembangunan melalui Sekretariat Perubahan Iklim Brunei Darussalam (BCCS); Kementerian Tenaga dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Kluster Ekonomi pula mengambil kira aspirasi negara untuk meningkatkan lagi pertumbuhan KDNK, dan dalam mempergiatkan usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi negara serta mengambilkira cabaran yang dihadapi akibat daripada penularan wabak COVID-19, maka kluster Ekonomi ini sangat relevan untuk diketengahkan sebagai salah satu kluster baharu bagi Brunei MYCE 2022. Peneraju utama bagi kluster ini ialah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama UNISSA dan UTB.

    Di antara pengisian yang telah dirancang bagi acara persidangan dan seminar setakat ini adalah ‘Persidangan Mengenai Waqaf: Merealisasikan Perlaksanaan dan Pengurusan Waqaf Secara Komprehensif di Negara Brunei Darussalam’, anjuran KHEU, ‘International Seminar on Halal Tourism and Hospitality (ISHTaH 2022)’, anjuran UNISSA, ‘Brunei Darussalam Syariah Advisory Conference 2022: Syariah Governance Framework: Quality VS Compliance’, anjuran Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) melalui Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam (BILIF), ‘Brunei Darussalam Conference on Digital Technology: Towards A Transformed New Norm’; anjuran MTIC, ‘Hybrid International Conference on Current Trends of Islamic Technology in Research and Innovation’, anjuran UNISSA, Seminar dan simposium berkaitan ‘Oil and Gas Upstream and Downstream’ dan ‘Renewable Energy’, anjuran Kementerian Tenaga dan Brunei Shell Joint Ventures (BSJC)BSJV, ‘Conference on Climate Change’, anjuran bersama Kementerian Pembangunan melalui BCCS, Kementerian Tenaga dan UBD, Seminar dan simposium bertemakan ‘Ke Arah Ekonomi yang Dinamik dan Berdayatahan’, anjuran MOFE, ‘Forum Ekonomi Islam’, anjuran UNISSA serta ‘Borneo International Conference on Agrotechnology’, anjuran UTB.

    Selain itu, akan turut diadakan acara pameran sempena Brunei MYCE 2022 yang akan dikendalikan oleh Syarikat D’Sunlit Sdn Bhd yang akan menampilkan konsep yang berbeza pada setiap minggu dan menawarkan pelbagai program dan aktiviti menarik untuk pengunjung.

    Acara Brunei MYCE 2022 dianjurkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGOs)serta beberapa universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi dari dalam dan luar negara. Acara itu juga disokong oleh Syarikat Datastream Digital Sdn Bhd (DST) selaku rakan rasmi telco (telco partner) bagi Brunei MYCE 2022.

    Pihak penganjur juga akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan dan pihak ICC bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam pengendalian acara berkenaan termasuk para pengunjung mematuhi langkah-langkah pencegahan wabak COVID seperti mana yang digariskan di dalam prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    Ini termasuk menjalankan pemeriksaan suhu badan, mengamalkan pembersihan tangan, melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi serta mengamalkan penjarakan fizikal.

    Para pengunjung juga dikehendaki untuk mengimbas kod QR BruHealth di pintu-pintu masuk utama dan mana-mana peserta atau pengunjung yang demam atau mengalami tanda-tanda jangkitan adalah tidak dibenarkan menghadiri seminar dan pameran itu nanti.

    Pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan juga akan menyelaras dengan pihak Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi memastikan segala saranan dan prosedur sentiasa dipatuhi.

    Mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Brunei MYCE 2022 boleh memperolehinya melalui laman sesawang https://www.bruneitourism.com/brunei-myce/ dan akaun Instagram @bruneimyce.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...