Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Cabaran STEM serlah kemahiran pelajar

    Oleh Sim Y.H.

    Dalam mencapai Matlamat 1 Wawasan Brunei 2035, iaitu untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya, adalah amat penting untuk memastikan warga dan penduduk negara diberikan pendidikan holistik.

    Ke arah itu, semua pihak yang berkepentingan perlu sama-sama menumpukan kepada memastikan pelajar-pelajar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran abad ke-21.

    Oleh itu, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan pelbagai program, insiatif serta aktiviti untuk membantu memberikan pendedahan kepada para pelajar supaya mereka memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran abad ke-21.

    Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan

    Salah satu aktiviti berkenaan ialah Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan di mana ia merupakan pertandingan tahunan kebangsaan yang dibukakan kepada sekolah-sekolah menengah kerajaan, institusi vokasional, teknikal dan pengajian tinggi yang telah dibekalkan dengan peralatan mesin Denford bagi pembuatan replika kereta mini For-mula-1 (F1).

    Pertandingan itu memberikan peluang kepada para peserta untuk bersaing menggunakan kemahiran-kemahiran abad ke-21 dalam versi akademik F1 di mana mereka memanfaatkan proses reka bentuk dan seni kreatif yang mereplikakan kereta F1 sebenar.

    Pasukan Synergy06 dari Sekolah Menangah Tanjong Maya bergambar ramai semasa pertandingan berkenaan.
    Pasukan Panglima Kilat dari Universiti Teknologi Brunei bergambar bersama hadiah yang dimenangi.

    Para pelajar dicabar untuk menghasilkan kereta mini F1 melalui penggunaan perisian Computer Aided Design (CAD) seperti Autodesk Inventors serta membina kereta mini F1 masing-masing, menggunakan Computer Aided Manufacturing (CAM) seperti mesin DENFORD dan pencetak 3D.

    Di samping itu, mereka juga menggunakan perisian analisis iaitu Computational Fluid Dynamics (CFD) Ultimate atau Autodesk Flow bagi mereka untuk membandingkan hasil kerja mereka iaitu kereta mini F1 yang direka dengan menggunakan simulasi fizikal seperti terowong angin dan terowong asap.

    Semasa cabaran itu, para guru dan pelajar turut diberikan bimbingan berterusan oleh Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) melalui penyertaan berpandu di sepanjang program dilaksanakan.

    Cabaran dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori F1 Junior Class bagi pelajar-pelajar sekolah menengah serta Kategori F1 Senior Class bagi pelajar-pelajar pusat tingkatan enam (PTE), teknikal dan vokasional dan institusi pengajian tinggi.

    Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan ke-5, 2022-2023

    Sebanyak 23 buah pasukan daripada 13 buah sekolah menengah, dua buah PTE dan dua buah institusi pengajian tinggi mendaftar untuk menyertai program cabaran ke-5 yang dijadualkan berlangsung bermula 2022 hingga 2023 dengan beberapa perubahan kepada elemen dan format pertandingan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

    Pasukan-pasukan yang menyertai cabaran berkenaan merupakan sekolah menengah, PTE, institusi teknikal dan vokasional serta institusi pengajian tinggi yang semuanya telah dibekalkan dengan mesin-mesin Denford.

    Acara kemuncak perlumbaan telah berlangsung selama tiga hari bermula 28 Februari hingga 2 Mac 2023 serta Knock-Out Racing pada 11 Mac 2023 di mana ia berlangsung di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei.

    Setelah melalui kesemua peringkat cabaran berkenaan, juara keseluruhan bagi Kategori F1 Junior Class disandang oleh Pasukan Synergy06 dari Sekolah Menengah Tanjong Maya.

    Pasukan berkenaan juga telah memenangi hadiah bagi Best Verbal Presentation dan Best Engineered Car.

    Manakala itu, juara keseluruhan bagi Kategori F1 Senior Class disandang oleh Pasukan Panglima Kilat dari Universiti Teknologi Brunei. Pasukan berkenaan juga telah memenangi hadiah bagi Best Engineered Car, Best Analysis dan Best Verbal Presentation.

    Hadiah bagi pertandingan berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Manakala itu, Pengurus Pasukan Panglima Kilat yang muncul juara keseluruhan kategori senior, Dayang Nurul Jazlina binti Noramirudin juga menyatakan bahawa kemenangan itu merupakan sesuatu kejutan yang indah bagi mereka serta tidak menyangka akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

    Beliau juga menekankan pentingnya semangat berpasukan, kerjasama dan komunikasi di antara anggota pasukan merupakan kunci kejayaan bagi mereka. Menurutnya, pasukan berkenaan yang kesemuanya terdiri daripada pelajar-pelajar jurusan yang sama iaitu kejuruteraan juga membantu mereka untuk merancang serta mengurus masa mereka dengan bijak bagi pertandingan itu.

    Dayang Nurul Jazlina juga menyata-kan bahawa pertandingan berkenaan amat mencabar dan menguji daya tahan mereka di mana persiapan baginya mengambil masa kira-kira setahun dengan masa kira-kira empat bulan untuk menghasilkan serta menguji kereta mini F1 mereka.

    Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan nama pasukan, Panglima Kilat, Dayang Nurul Jazlina berkata nama pasukan mereka datangnya daripada legasi pasukan senior terdahulu mereka iaitu Pahlawan dan Wira di mana mereka ingin untuk mengekalkan legasi nama berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...