Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    China rekod 3,400 kes harian COVID

    BEIJING, 13 MAC – Pihak berkuasa China melaporkan hampir 3,400 kes COVID hari ini, berganda dari hari sebelumnya, memaksa sekatan pergerakan ke atas titik tumpu virus ketika negara itu bergelut dengan penularan teruknya dalam masa dua tahun.

    Pertambahan kes di seluruh negara itu telah menyaksikan pihak berkuasa menutup sekolah-sekolah di Shanghai dan menutup beberapa bandar di timur laut, ketika hampir 19 wilayah bergelut menangani kluster varian Omicron dan Delta.

    Bandar Jilin ditutup separuh, dengan ratusan kejiranan dikurung, umum pegawai hari ini, sementara Yanji, sebuah kawasan bandar hampir 700,000 penduduk bersempadan Korea Utara, telah ditutup sepenuhnya.

    China, di mana virus itu pertama kali dikesan pada lewat 2019, telah mengekalkan dasar ‘sifar-COVID’ yang dikuatkuasakan oleh sekatan pergerakan pantas, sekatan perjalanan dan ujian besar-besaran apabila kluster meningkat.

    Namun kebangkitan baharu itu, dipacu oleh varian Omicron yang mudah berjangkit dan peningkatan dalam kes asimptomatik, adalah cabaran yang dihadapi.

    Zhang Yan, seorang pegawai di suruhanjaya kesihatan wilayah Jilin, mengakui hari ini bahawa respons virus pihak berkuasa setakat ini mengalami kekurangan.

    “Mekanisme respons kecemasan di beberapa kawasan belum cukup kukuh, terdapat kekurangan dalam pemahaman ciri-ciri varian Omicron – dan pertimbangan tersebut juga tidak tepat,” katanya semasa sidang media kerajaan.

    Penduduk Jilin telah menyelesaikan enam pusingan ujian calitan besar-besaran, kata pegawai tempatan. Hari ini bandar itu melaporkan lebih 500 kes varian Omicron.

    Bandar kejiranan Changchun – pangkalan industri yang mempunyai sembilan juta penduduk – telah disekat pada Jumaat.

    Bandar-bandar kecil Siping dan Dunhua, kedua-duanya di wilayah Jilin, dikenakan perintah berkurung pada Khamis dan Jumaat, menurut pengumuman rasmi. – AFP

    Para petugas mengumpulkan barangan untuk penduduk yang diarah untuk terus berada di rumah. Jumlah kes jangkitan COVID di China melonjak hampir 3,400 kes, kelmarin.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...