Sunday, May 19, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Cipta arca steampunk daripada motosikal kitar semula

    Gambar ANN/The Star & Mohammad Kasat

    SARAWAK – Mohamad Kasat Bujang Narawi, 45 tahun, mengutip serpihan logam dari kedai membaiki motosikal dan dia tidak malu mengakui itu.

    “Banyak bahagian motosikal yang dibongkar boleh digunakan semula dan diubahsuai menjadi benda baharu.

    Tercetus rasa kepuasan dan kegembiraan apabila dapat memberi nafas baharu kepada benda-benda lama yang tidak diingini,” kata tukang kraf steampunk Sarawak yang merupakan salah seorang peserta pameran di Hari Kraf tangan Kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Kraf tangan steampunk merupakan sebahagian daripada genre fiksyen sains dan genre sains-fantasi yang berlatarkan zaman industrial di Eropah pada abad ke-19 dahulu atau juga boleh disematkan pada zaman ‘koboi’ Amerika dahulu.

    Pada pameran Hari Kraf tangan Kebangsaan itu, beliau mempamerkan banyak hasil karya yang mengagumkan terinspirasi daripada watak-watak filem yang memenangi anugerah seperti Aliens, Alien vs Predator dan Avatar. Terdapat juga rekaan lain seperti naga, ikan terubuk Sarawak yang terkenal dan kapal penerokaan angkasa USS Enterprise daripada siri TV Star Trek.

    Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru, yang paling penting adalah mempunyai minat dan semangat, kata Mohamad Kasat.
    Sebuah patung ikan yang dicipta dengan rantai rol motosikal.
    Chopper steampunk Mohamad Kasat diilhamkan daripada filem ‘Ghost Rider’.
    Segala sesuatu yang lama mempunyai potensi untuk diubah menjadi sesuatu yang baharu dan indah.
    Figurin steampunk dari filem-filem seperti ‘Predator’ (kiri) dan ‘Aliens’ yang dibuat daripada bahagian-bahagian motosikal lama.

    Peminat filem fiksyen sains itu juga berbakat dalam mencipta patung-patung steampunk yang rumit daripada bahagian-bahagian motosikal yang dibuang, termasuk gegancu, gerigi dan rantai motosikal.

    Bapa kepada lima orang anak sentiasa terpesona dengan keindahan dan kerumitan sebuah mesin. Beliau suka mengubahsuai barang lama dan mengubahnya menjadi sesuatu yang baharu dan indah.

    Mohamad Kasat merasai kepuasan apabila mengetahui bahawa beliau sedang mengambil peranan untuk menjadikan dunia sedikit lebih hijau. Beliau berbangga dalam mencipta karya seni yang dihasilkan dengan teliti yang unik dan mesra alam sekitar.

    “Siapa yang pernah terfikir bahawa bahagian-bahagian motosikal yang dibuang dapat diubahsuai menjadi karya seni? Yang diperlukan hanyalah minat, kreativiti, dan keinginan untuk memelihara bumi kita. Penting untuk mengajar orang lain tentang signifikannya kelestarian,” katanya.

    Sampah menjadi wang

    Mohamad Kasat menghabiskan hujung minggunya menaiki motornya mengunjungi kedai-kedai motosikal di sekitar kawasan perumahannya di Sadong Jaya dan Kota Samarahan untuk mencari bahan-bahan terpakai.

    “Ramai juruteknik motosikal di kawasan perumahan kenal saya. Mereka akan tersenyum apabila melihat saya datang ke kedai mereka.

    “Saya selalu membawa baldi plastik untuk mengutip bahagian-bahagian motosikal.

    “Juruteknik ini gembira untuk menjual barang pada harga yang lebih murah kerana mereka tahu bahawa ia akan digunakan semula untuk membuat patung logam,” kata bekas jurukimpal yang berhenti kerjanya untuk memberi tumpuan pada minatnya itu.

    Mohamad Kasat mula mendalami minat untuk mencipta seni daripada logam pada tahun 2016.

    Beliau mula melakukan uji kaji menggunakan besi terbuang, menggunakan segala ilmu kimpalan untuk mencipta barang seperti bunga dan haiwan.

    Pada tahun yang sama, beliau mengambil bahagian dalam Cabaran Perniagaan Luar Bandar Felcra Sarawak (SRBC), satu pertandingan untuk usahawan pemula yang tinggal di pinggir bandar negeri tersebut.

    “Untuk pertandingan itu, saya melayari Internet dan terjumpa figura steampunk yang diilhamkan oleh filem dan siri TV fiksyen sains. Saya teruja dengan konsep itu dan memutuskan untuk menggunakan kepakaran kerja logam saya untuk mencipta sesuatu yang serupa.

    “Saya mula membuat uji kaji pelbagai bahagian motosikal seperti gegancu, gerigi, rantai penggelek, jari-jari dawai dan palam pencucuh untuk membuat figura.

    “Pada awalnya, saya mengalami kesukaran untuk kedudukan kukuh, tetapi saya bertekad untuk menjadikan sesuatu yang indah daripada bahan terbuang,” kata Mohamad Kasat, yang muncul sebagai finalis dalam SRBC.

    Selepas pertandingan, beliau terus membuat patung logam secara sambilan. Seiring reputasinya yang meningkat, beliau dikenali di seluruh Sadong Jaya sebagai tukang kraf patung logam.

    Hasil karyanya sangat diminati, dan beliau mula menerima tempahan daripada peminat di Borneo dan Semenanjung Malaysia.

    Semasa pandemik, beliau memutuskan untuk mengambil risiko dan mengubah hasratnya menjadi perniagaan sepenuh masa.

    “Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Yang paling penting adalah mempunyai minat dan niat.

    “Setakat ini, perniagaan saya baik-baik saja dan pendapatan saya menguntungkan,” kata Mohamad Kasat, yang mengeluarkan sekitar RM10,000 untuk memulakan perniagaan dari rumah. Beliau juga menerima beberapa dana dari Felcra Berhad Wilayah Sarawak.

    Setiap hari, beliau menghabiskan kira-kira lapan hingga 10 jam di bengkelnya untuk menghasilkan karya yang sempurna. Ia mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan setiap figura yang rumit.

    Beliau mengatakan, kesan luka di jari-jari, pergelangan tangan dan perutnya adalah risiko pekerjaannya.

    “Baru-baru ini, serpihan logam masuk ke dalam mata saya. Saya meraung kesakitan dan terfikir bahawa saya akan buta akibat kecederaan itu.

    “Saya bernasib baik kerana kerosakan tidak terlalu teruk,” kata Mohamad Kasat, yang berkongsi gambar karya-karyanya di Facebook.

    Walaupun menghadapi cabaran demi cabaran, beliau terus mencari kegembiraan dalam mengubah objek yang paling tidak signifikan menjadi perhiasan atau karya yang luar biasa.

    “Semua benda lama mempunyai potensi untuk diubah menjadi sesuatu yang baharu dan indah.

    “Apa yang ingin saya sampaikan adalah tentang kelestarian, nilai kitar semula dan kekuatan seni untuk mengubah dunia kita,” kata Mohamad Kasat. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...