Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Daulatkan BM di pentas antarabangsa

    KUALA LUMPUR –  Polemik tentang penggunaan Bahasa Melayu (BM)  dalam usaha mendaulatkannya, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa, tidak pernah berkesudahan.

    Justeru, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Februari lepas berhubung penggunaan BM dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk pada mesyuarat dan persidangan antarabangsa, disifatkan oleh pejuang bahasa kebangsaan sebagai ‘sinar’ ke arah merealisasikan matlamat itu.

    Keputusan itu juga sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan BM merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia, yang mana kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi contoh terbaik dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan.

    Mengulas mengenainya, Ketua Pengarah  Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata pengumuman perdana menteri (PM) itu bahawa kerajaan akan menggunakan BM dalam semua urusan rasmi termasuk di peringkat antarabangsa, merupakan keputusan tepat dan berani.

    Keputusan itu katanya turut mencerminkan kesungguhan politik Ismail Sabri selaku pemimpin nombor satu negara dalam memartabatkan BM, sekalipun ada suara-suara tertentu yang membantah keputusan beliau.

    Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran – Bernama

    BM sebagai bahasa urusan rasmi
    “Penegasan kerajaan tentang perlunya penggunaan bahasa kebangsaan diberikan keutamaan dalam semua urusan rasmi kerajaan harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, terutamanya pegawai-pegawai kerajaan. 

    “Dalam konteks ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9, Tahun 2011 (Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam) dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1, Tahun 2020 (Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam),” katanya kepada Bernama. 

    Komitmen Ismail Sabri dalam mendaulatkan BM dibuktikan menerusi tindakan beliau menggunakan bahasa kebangsaan ketika menghadiri mesyuarat dua hala dan sidang media dalam lawatan rasminya ke Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

    Malah, PM dilaporkan tidak menolak kemungkinan BM dijadikan bahasa ASEAN pada suatu hari nanti.

    Keberanian beliau menggunakan BM semasa urusan rasmi di luar negara itu menarik perhatian ramai rakyat Malaysia yang berbangga dengan hal berkenaan.

    Pada akhir tahun lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga melakukan perkara sama, berbahasa Melayu selama kira-kira tiga minit ketika berucap pada Persidangan ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland. 

    Ketika mengulas tentang dakwaan penggunaan BM dalam semua urusan rasmi akan membuatkan Malaysia ketinggalan,  Abang Sallehuddin berkata penggunaan bahasa kebangsaan membolehkan negara berjaya dengan acuannya sendiri.

    “Keputusan kerajaan untuk menggunakan BM sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan sejak 1970an telah membawa negara kita maju pada tahap sekarang, dan kami yakin semua pihak yang bangga dengan negaranya tidak akan berasa kerdil untuk menyokong keputusan ini.

    “… ini juga akan meningkatkan imej negara. Jika khidmat terjemahan diperlukan, diharapkan kerajaan akan menyediakan perkhidmatan ini,” katanya. 

    Menurut beliau lagi, keputusan itu juga akan memperkukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kepentingan BM sebagai bahasa kebangsaan, yang bukan sahaja melambangkan perpaduan tetapi juga berperanan sebagai bahasa ilmu.

    “Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa persuratan dan bahasa ilmu sejak sekian lama. Jika ada kelemahan dari sudut penggunaan bahasa kebangsaan, ini bukan kerana kelemahan bahasa itu tetapi berpunca daripada kelemahan penggunanya,” jelas beliau, menambah BM juga mempunyai istilah yang mencukupi dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

    Bagi Felow Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, tidak wujud istilah malu mahupun rasa ketinggalan zaman sekiranya rakyat negara ini, terutamanya penjawat awam, berbahasa Melayu di pentas antarabangsa.

    Mengakui terdapat kumpulan tertentu yang memperlekeh dan melenting sekiranya pemimpin negara berucap dalam BM di luar negara, pakar bahasa itu berkata golongan tersebut mungkin lupa atau “buat-buat lupa” bahawa negara seperti Jerman dan Perancis menggunakan bahasa masing-masing di pentas antarabangsa.

    “Mereka tidak peduli guna Bahasa Jerman mahupun Perancis, begitu juga Belanda, dan di sebelah timur, kita dapat lihat China, Jepun dan Korea pun sama. Pemimpin mereka apabila berucap di pentas antarabangsa, menggunakan bahasa sendiri dan tidak mengunakan bahasa Inggeris pun… begitu juga halnya Indonesia yang telah lama menggunakan bahasa Indonesia dalam sebarang acara,” katanya.

    Malah tegas beliau, seharusnya penggunaan BM di peringkat urus tadbir, sama ada di dalam mahupun di luar negara, dilakukan sejak dahulu lagi.

    “Dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam Tahun 2020, jelas dinyatakan penjawat awam termasuk anggota pentadbiran iaitu menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen dan setiausaha politik, dipertanggungjawabkan untuk memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam,” katanya, menambah BM juga perlu dituturkan dengan baik dan sopan.

    Selain itu, Teo juga melihat penggunaan BM oleh rakyat negara ini membuktikan kewujudan jati diri mereka.

     Sejarah merekodkan bahawa BM diisytiharkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia pada 1 September 1967 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

    Perisytiharan itu menyusuli tindakan Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan dalam mesyuaratnya yang berlangsung pada Mac 1967.

    Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj selaku perdana menteri ketika itu, menegaskan kedaulatan BM sebagai bahasa rasmi telah melengkapkan makna merdeka buat Malaysia. – Bernama 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...