Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Pengamal sukan Jiu Jitsu Brazil (BJJ) di Negara Brunei Darussalam, Eazy Anuar telah menjadi lelaki pertama di Negara Brunei Darussalam yang menerima tali pinggang hitam.
Pakar mixed martial arts (MMA) itu mendapat penggredan tali pinggang melalui seminar yang dianjurkan oleh komuniti BJJ Brunei dan Khalifa Mixed Martial Arts yang bertempat di Khalifa MMA Gym baru-baru ini.
“Kami bersyukur dengan kehadiran profesor di sini. Gembira dapat melihat kemajuan dan kenaikan pangkat anak-anak buah.
“Kami bersyukur jurulatih ada di sini untuk membantu meningkatkan lagi kemahiran kami,” katanya.
Seminar tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan tahunan jurulatih dan mentor dari Brazil, Alexsandro ‘Leke’ Machado ke Brunei.
Lawatan Machado itu membuka peluang kepada para pelajar untuk menunjukkan teknik-teknik terbaru yang dipelajari, serta memberi gred kepada mereka.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Brunei sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.
Seminar yang dihadiri oleh seramai 40 orang tersebut diadakan bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan BJJ di dalam negara dan untuk mengumumkan pemegang tali pinggang hitam pertama di negara ini.
