Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Elak pembaziran, hidupkan Ramadan dengan ibadat

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Bulan Ramadan banyak rahsia, pengajaran dan iktibar yang boleh dimanfaatkan bagi mengharungi kehidupan dengan lebih sempurna, berlandaskan ajaran agama Islam.

    Antara perkara yang dituntut untuk dijauhi ialah amalan pembaziran yang amat dilarang oleh Allah SWT sehinggakan orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Isra’, ayat 27 yang tafsirnya ‘Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya’.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menekankan perkara itu ketika
    berkenan bersabda pada Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1444H/2023M di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, di ibu negara, kelmarin.

    “Marilah kita meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna, dan jauh daripada amalan yang tidak menguntungkan itu. Selain meningkatkan ibadat puasa pada siang hari, kita juga janganlah melepaskan peluang untuk menyemarakkan malam-malam di dalamnya dengan memperbanyakkan ibadat seperti sembahyang tarawih, bertadarus, bersedekah dan mengerjakan sembahyang sunat lainnya.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan bersabda pada Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Bulan Ramadan 1444H/2023M.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan kurma kepada salah seorang wakil.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai pada majlis tersebut.
    ATAS & BAWAH: DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan pengagihan kurma kepada wakil-wakil.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan berangkat ke majlis santap.

    Antara yang hadir pada majlis tersebut.

     

    “Semoga dengan amalan-amalan tersebut, kita dan negara tidak sepi daripada dilimpahi rahmat dan inayah serta perlindungan dan pemeliharaan Allah SWT jua. Amin,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia merafakkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana Negara Brunei Darussalam yang bertuah ini sekali lagi akan menerima buah kurma kurnia peribadi KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai juadah berbuka puasa pada bulan Ramadan tahun ini.

    “Walaupun kita masih berdepan dengan wabak COVID, usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan berupaya mengembalikan keyakinan kita untuk meneruskan usaha-usaha murni ini bagi memastikan setiap rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini dapat menikmati kurma kurnia peribadi Paduka Ayahanda berkenaan.

    “Saya percaya pengalaman yang diperolehi sebelum ini akan dapat memberkesankan lagi tatacara pelaksanaan pengagihan kurma kurnia peribadi tersebut. Oleh itu, pihak pengurusan Yayasan hendaklah sentiasa memantau dan beker-jasama dengan rakan-rakan strategik bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat yang diharap-harapkan,” sabdanya.

    Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia juga merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Yayasan, kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan; pegawai-pegawai daerah, para penghulu mukim dan ketua kampung; Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan; dan semua lapisan masyarakat yang terlibat dalam mengurus serta mengendalikan amanah dan tanggungjawab yang berkebajikan ini dengan jayanya.
    “Mudah-mudahannya usaha dan kerjasama murni yang disumbangkan oleh semua pi-hak akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT jua.

    “Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga Paduka Ayahanda akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan afiat yang berpanjangan, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada di bawah perlindungan dan pemeliharaan Allah SWT serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin,” Duli Yang Teramat Mulia mengakhiri sabdanya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan, pada tahun ini sejumlah 157.5 tan metrik buah kurma jenis

    ‘Safawy’ bakal diagihkan kepa-da seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di seluruh negara, tidak mengira had umur dan kerakyatan di mana setiap seorang akan menerima satu kotak kecil kurma yang mengandungi 300 gram.

    Terdahulu, sejurus keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis itu, Surah Al-Fatihah telah dibacakan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. Ia diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan juga selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sebelum Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyempurnakan pengagihan buah-buah kurma kurnia peri-badi Baginda Sultan kepada wakil-wakil pasukan beruniform, orang awam, penjawat awam (sektor kerajaan), pekerja swasta dan persatuan-persatuan saudara baharu.

    Pasukan beruniform diwakili oleh pemerintah-pemerintah tentera serta komandan ABDB dan pengarah-pengarah jabatan PPDB.

    Orang awam diwakili oleh pegawai-pegawai daerah serta sebahagian ketua kampung dari keempat-empat daerah, penjawat awam dan pekerja sektor swasta diwakili oleh pengarah-pengarah jabatan pengurusan, pentadbiran dan tenaga manusia.

    Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

    Dengan pelancaran tersebut, bermulalah pengagihan buah kurma kurnia peribadi Baginda Sultan tahun ini kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini.

    Pengurniaan kurma kurnia peribadi Baginda Sultan itu mencerminkan sikap pemedulian dan kasih Baginda dan wajar bagi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khususnya mereka yang beragama Islam untuk menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia itu.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...